Baru balik dari kerja dan ambil anak dari rumah pengasuh. Penat gila. Jadi bro pun lepaklah di depan TV sambil tengok highlights perlawanan Barcelona vs PSG. Boleh tahan juga game tu.
Sekonyong-konyong terdengar bunyi motor kapcai dari luar rumah. "Pon! Pon!", hon motor dibunyikan untuk menarik perhatian. Bro sangkakan ia ditujukan kepada jiran sebelah meminta dibukakan pintu pagar ataupun apa-apa.
Tetapi hon tidak berhenti dan diulang beberapa ketika. Lalu bro pun suruh anak kedua pergi membuat tugas tinjauan.
"Papa, ada orang depan rumah dia cari Papa", anak yang nombor dua datang memberikan laporan hasil tinjauan. Rupanya hon-hon tadi tu ditujukan untuk bro.
Bro pun keluar untuk menyambut tetamu di luar. Posmen Pos Laju rupanya. Dia pun menyapa bro sambil mengeluarkan sebuah bungkusan dan hulur kepada bro. Kemudian dia meminta bro mengisi nama dan tandangan di atas borang penerimaan.
Selesai proses penyerahan, abang posmen pun meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya. Bro pula mula membelek pakej yang diterima. "Bila masa pula aku ada
order barang
online?", hati bro berkata. Lalu bro baca alamat pengirim di muka pakej. Ia tertulis "MCFC Supporters Services".
Seusai membaca nama "MCFC", bro pun terkinja-kinja bak kera mendapat bunga. Anak bro yang pada awalnya terkesima pun turut serta terkinja-kinja bersama ayahnya. Entah hadiah apa pula yang diberikan oleh Manchester City kali ini. Tak sabar rasanya hendak melihat inti pakej.
Bro mula membuka pakej dari Manchester. Ada surat nota di dalamnya.
Selepas dialih bahasa, ia berbunyi lebih kurang begini:
"Amin yang dikasihi,
Kami berharap surat ini selamat sampai ke tangan anda.
Di Manchester City kami menghargai usaha oleh semua peminat antarabangsa kami untuk menyokong kami dan kami dapat tahu dari orang hubungan anda bersama kami bahawa anda adalah salah seorang penyokong terbesar kami di Malaysia!
Kami suka mendengar cerita bagaimana anda menjadi peminat City, bagaimana anda menemui kami di dalam Football Manager bertahun nan lalu, membawa kami mendaki tangga kejayaan dan kemudian jatuh cinta dengan kelab ini. Sebagai menunjukkan tanda penghargaan, kami ingin mengirim kepada anda permainan terbaharu Football Manager agar anda boleh membawa kami ke landasan kejayaan sekali lagi. Siapa tahu, mungkin anda ialah Pep Guardiola yang seterusnya!
Sila pastikan anda sampaikan kepada kami bagaimana perkembangan anda!
#Cityzens
Manchester City Football Club"
Terima kasih Manchester City! City till I die!