City sedang ketinggalan 1-0 kepada Watford. Pellegrini menambah seorang lagi penyerang dengan membawa masuk Wilfried Bony untuk mengejar gol. Mangala menjadi korban pertukaran. Adakah City kini bermain 3-5-2? Rupa-rupanya tidak. Pellegrini memainkan formasi 4-4-2 dengan meletakkan Fernandinho di posisi pertahanan tengah.
Sekali imbas seperti satu keputusan taktikal gila. "Sudah nyanyuk agaknya pengurus tua ini!". Itulah antara komen awal apabila melihat Fernandinho bermain di posisi itu. Namun Fernandinho kelihatan selesa bermain. Malahan beliau tampak lebih meyakinkan berbanding Mangala.
Bagi penulis keputusan Pellegrini tidaklah begitu mengejutkan. Mangala sememangnya bermasalah pada hari itu. Untuk digantikan dengan Demichelis adalah keputusan paling mudah tetapi Demichelis adalah seorang pemain yang perlahan dan City boleh terdedah kepada serangan kilas lawan semasa sibuk mencari gol. Oleh kerana mahu mengekalkan kepantasan bertahan maka pemilihan Fernandinho adalah keputusan paling logik.
Sekadar perbandingan, siapakah pertahanan tengah terbaik City? Mana-mana peminat City pasti akan menjawab Vincent Kompany. Tahukah anda Kompany juga boleh bermain sebagai pemain tengah bertahan (DM)? Kompany memang boleh bermain di kedua-dua posisi semenjak di Anderlecht dan Hamburger tetapi sebenarnya lebih berminat bermain di bahagian tengah.
"Posisi kegemaran saya adalah di bahagian tengah tetapi saya juga berkesan di pertahanan tengah. Saya akan ambil sebarang peluang untuk bermain" - Vincent Kompany (2009), Daily Mail
Superbia in proelio - Blog Bulan Biru