Rabu, 18 Mei 2016

Membongkar Misteri Bilangan Wakil UCL England (Satu Penjelasan Teratur)

Banyak betul persoalan berapa bilangan wakil kelab England ke Liga Juara-Juara musim depan kalau wakil England menjuarai kejohanan Liga Europa. Ada yang menjawab 4 ada pula yang menjawab 5. Yang menjawab 4 berkata kelab di tangga ke-4 di Liga Perdana Inggeris bakal tersingkir ke Liga Europa dan memberi laluan kepada pemenang Liga Europa.

OK ini jawapan mudahnya: LIMA (5)

Penerangan:

Sebelum 2013 hanya maksimum 4 pasukan dari satu-satu negara yang boleh melayakkan diri ke Liga Juara-Juara. Jika pemegang gelaran juara tidak menghabiskan musim liga di kedudukan layak maka mereka boleh mengambil alih slot pasukan terakhir. Seperti kes Real Madrid yang menjadi juara UCL edisi 1999/00 tetapi mengakhiri musim di tangga ke-5 liga La Liga. Real Madrid kemudian mengambil slot UCL daripada Real Zaragoza yang menduduki tangga ke-4.


Tetapi terdapat keistimewaan pada 2005 apabila Liverpool menjadi juara UCL tetapi menduduki tangga ke-5 liga EPL namun keputusan seperti insiden Real Madrid-Real Zaragoza tidak digunapakai.


Pada awalnya sepatutnya itulah yang dilakukan apabila UEFA meminta FA England menyerahkan nama 4 calon UCL mereka. Tetapi masalahnya FA England perlu memilih di antara Liverpool ataupun pasukan di tempat ke-4 musim itu, Everton.

Disebabkan situasi permusuhan setempat Liverpool-Everton maka FA England berdepan dengan keputusan penuh implikasi kerana jika mereka memilih Liverpool, itu bukanlah kali pertama Everton ditidakkan kelayakan ke pertandingan UCL.

Pada 1985 Everton menjadi juara Divisyen Satu (liga tertinggi England waktu itu) tetapi tidak dapat menyertai Piala Eropah (kini UCL) pada musim berikutnya kerana kelab-kelab Inggeris dilarang menyertai sebarang kejohanan Eropah berikutan insiden Heysel (yang juga melibatkan Liverpool).

Jadi jika Liverpool dipilih mengatasi Everton itu bermakna ia adalah kali kedua Everton ditidakkan peluang beraksi di kejohanan tertinggi benua disebabkan Liverpool.

Berdepan dengan pilihan sukar maka FA England berdegil mengingkari perintah UEFA dan tetap mahu menamakan 5 calon UCL dari England dan UEFA akhirnya akur membawa Liverpool sebagai pasukan kelima England.

Kedegilan FA England inilah yang menjadi pemangkin untuk UEFA merombak Regulasi 1.03 dan pemilihan pasukan layak ke UCL tidak lagi berada di tangan badan bolasepak negara. Hasilnya Chelsea merampas slot Tottenham Hotspur sebagai juara UCL 11/12 dan FA England tidak mampu mengulangi kedegilan sepertimana semasa kes Liverpool.


Akhirnya pada 2013 UEFA menaikkan angka maksimum wakil pasukan ke UCL daripada 4 kepada 5 dan kedudukan pasukan tangga ke-4 tidak lagi terancam. KECUALI dalam kes jarang-jarang 2 juara UCL dan UEL adalah dari liga yang sama dan kedua-duanya tidak menduduki tangga 4 teratas liga tempatan mereka maka pasukan di tempat keempat terpaksalah menggigit jari dalam kepasrahan.

Superbia in proelio - Blog Bulan Biru
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.