Isnin, 24 Oktober 2016

Zon Analisis - Disiplin Pertahanan Southampton Hampakan City

Lima belas perlawanan pertama Pep Guardiola bersama Manchester City membawa 2 cerita berbeza. 10 perlawanan pertama diharung megah dengan rekod kemenangan 100% tetapi 5 perlawanan terakhir kini terkumpul tanpa sebarang kemenangan. Beberapa siri kesilapan individu dan kegagalan mengambil peluang menyaksikan City seri 3 dan tewas 2 dalam 5 perlawanan terakhir mereka.

Yang terbaru John Stones membuat kesilapan menghantar bola ke belakang. Bukan rakan sepasukan yang berjaya dicari tetapi sebaliknya Nathan Redmond yang pantas menyempurnakan peluang terhidang.

Dalam perlawanan menentang Southampton. Guardiola sekali lagi menggunakan formasi 3 pemain pertahanan (3-6-1) selepas pendekatan serupa semasa menentang Everton (juga tamat 1-1). Di antara 2 perlawanan ini Guardiola menggunakan formasi 4-6-0 semasa menentang Barcelona. Di sini jelas matlamat Guardiola ialah penguasaan bola di bahagian tengah dengan memperkenalkan pemain ekstra di bahagian tersebut.



Selain itu faktor kehilangan Bacary Sagna dan Pablo Zabaleta juga menjurus kepada pemilihan formasi 3-6-1 ini. Sama seperti perlawanan Everton, City sememangnya berjaya mengawal bola dan dominasi di bahagian tengah begitu jelas. Namun sayang posesi gagal diterjemahkan menjadi cubaan bahaya ke arah gol. Hanya 3 percubaan tepat dilakukan City daripada 14 percubaan keseluruhan.



City begitu buntu hanya 3 percubaan dilakukan di separuh pertama tanpa satu pun tepat ke sasaran. Di separuh masa kedua Kelechi Iheanacho diperkenalkan sebagai pemain sasaran dan persembahan menyerang City bertambah baik. Tidak mengejutkan Iheanacholah yang berjaya mendapatkan gol penyamaan City.

Sergio Aguero pula sebaliknya tenggelam dikunci rapat oleh pemain Southampton yang mempamerkan antara persembahan pertahananan terbaik mereka. Secara keseluruhan serba-serbi pemain Southampton berjaya mengungguli statistik pertahanan perlawanan.






- Bulan Biru

Ahad, 23 Oktober 2016

Satu Jam Pasukan City Terkurung Di Dalam Bilik Persalinan


Satu lagi kesilapan individu menjadi onar dalam persembahan City. Kali ini John Stones membuat hantaran ke belakang yang gagal mencari sebarang rakan sepasukan sebaliknya membuka lorong untuk Nathan Redmond menjaringkan gol untuk Southampton.

Khabarnya Pep Guardiola lewat menghadirkan diri ke sesi media pasca-perlawanan hampir satu jam. Satu jam Guardiola mengurungkan diri di dalam bilik persalinan City bersama pemain-pemain City. Entah apa yang dikongsikan oleh Guardiola. Mungkin sumpah seranah dan luahan tidak puas hati terhadap persembahan City yang kini terus kemarau sehingga ke 5 perlawanan berturutan tanpa menang. Yang pasti Guardiola dilihat keluar dari bilik persalinan dengan muka yang begitu bengis sekali.

Namun apabila ditanya oleh wartawan apa yang dibuat begitu lama di bilik persalinan Guardiola menjawab, "Menikmati beberapa Coca-Cola dan wain merah".

- Bulan Biru

Ahad, 16 Oktober 2016

Zon Analisis - Dominasi City Dihantui Badi Penalti

Pep Guardiola memberi kejutan kepada semua pihak apabila mengumumkan senarai pemain dan formasi Manchester City untuk berdepan Everton. Buat pertama kali City menggunakan 3 pemain di bahagian pertahanan. Apa yang menariknya ialah kali terakhir City bermain 3 pemain di pertahanan adalah juga menentang Everton (City tewas perlawanan itu).

Ada 2 faktor di sebalik keputusan Guardiola itu. Faktor yang pertama ialah kepincangan skuad City di bahagian bek kanan. Bacary Sagna yang tercedera meninggalkan hanya 2 calon untuk bermain di posisi itu, Pablo Zabaleta ataupun Pablo Maffeo. Namun Zabaleta kebelakangan ini bergelut mencari prestasi permainan selepas 2 persembahan kurang meyakinkan semasa menentang Celtic dan Tottenham Hotspur. Pablo Maffeo pula dilihat belum bersedia untuk menggalas tanggungjawab bermain bersama skuad utama. Jadi disebabkan kepincangan itu Guardiola memilih untuk bermain dengan 3 pertahanan. Faktor yang kedua pula adalah kerana Guardiola mahu memenangi pertarungan merebut posesi bola. Guardiola dan Ronald Koeman masing-masing mendukung  falsafah yang lebih kurang serupa iaitu penguasaan bola dalam perlawanan. Jadi untuk mencapai penguasaan bola secara mutlak Guardiola melambakkan pemain di bahagian tengah dengan meletak 6 pemain di bahagian itu.

Ternyata strategi Guardiola itu berjaya apabila City dilihat mendominasi Everton di dalam majoriti perlawanan. Statistik penguasaan City begitu ketara sekali. City menyempurnakan 572 hantaran, hampir 4 kali ganda berbanding Everton (154). Peratusan posesi City ialah 72.4% berbanding Everton yang hanya memegang 27.6% penguasaan bola. City membuat 19 percubaan ke arah gol lawan manakala Everton hanya membuat 3 percubaan.


Begitu hebat dominasi City sehinggakan kesemua 11 pemain pertama mereka (termasuk Claudio Bravo) berjaya membuat hantaran sempurna yang lebih banyak berbanding pemain-pemain Everton.


Lihat sahaja corak peta haba perlawanan untuk melihat bagaimana City menekan Everton untuk berkampung di kawasan mereka sendiri.


Tetapi inilah namanya Typical City, inilah ertinya bola itu bulat. Penguasaan bola City ternyata sia-sia. Kelechi Iheanacho yang diberi mandat menggantikan Sergio Aguero tidak begitu berkesan di bahagian serangan. Banyak sentuhan beliau kurang kemas dan tidak menjadi, mengkandaskan gerakan pasukan. City juga gagal mengambil peluang daripada 13 sepakan penjuru yang mereka menangi. Mungkin ramai melihat City kurang bernasib baik kerana gagal membolosi gol Everton tetapi pujian harus diberikan kepada Maarten Sketelenburg yang mempamerkan antara aksi terhebat sebagai penjaga gol dengan menyelamatkan bukan satu tetapi dua sepakan penalti City.


Sumber: Press Association UK (@PAdugout)
Setakat musim ini, sudah 4 sepakan penalti gagal disempurnakan City. Satu statistik yang membimbangkan kerana 3 daripada sepakan itu diambil oleh Aguero. Aguero juga baru-baru ini gagal menjaringkan sepakan penalti semasa bermain bersama Argentina.

Berdasarkan statistik perlawanan dan melihatkan cara City menguasai perlawanan, 1 mata sememangnya adalah tidak adil dan kejam buat City. Maka keputusan perlawanan ini adalah satu pengajaran besar buat anak-anak buah Guardiola tentang betapa pentingnya untuk mereka bermain dengan lebih efisien, klinikal dan tidak mensia-siakan peluang yang terhidang.

- Bulan Biru

Sabtu, 15 Oktober 2016

Statistik City Bersama KDB vs Tanpa KDB

Kevin De Bruyne dilaporkan berjaya sembuh lebih awal daripada yang dijangka. Namun dengan pasukan Barcelona menanti City di pertengahan minggu depan adakah berbaloi jika De Bruyne diturunkan untuk menentang Everton? Lihat sahaja statistik keputusan perlawanan City apabila De Bruyne terlibat dan juta tidak. (Sumber: Press Association UK)


- Bulan Biru
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.