Pep Guardiola memberi kejutan kepada semua pihak apabila mengumumkan senarai pemain dan formasi Manchester City untuk berdepan Everton. Buat pertama kali City menggunakan 3 pemain di bahagian pertahanan. Apa yang menariknya ialah kali terakhir City bermain 3 pemain di pertahanan adalah juga menentang Everton (City tewas perlawanan itu).
Ada 2 faktor di sebalik keputusan Guardiola itu. Faktor yang pertama ialah kepincangan skuad City di bahagian bek kanan. Bacary Sagna yang tercedera meninggalkan hanya 2 calon untuk bermain di posisi itu, Pablo Zabaleta ataupun Pablo Maffeo. Namun Zabaleta kebelakangan ini bergelut mencari prestasi permainan selepas 2 persembahan kurang meyakinkan semasa menentang Celtic dan Tottenham Hotspur. Pablo Maffeo pula dilihat belum bersedia untuk menggalas tanggungjawab bermain bersama skuad utama. Jadi disebabkan kepincangan itu Guardiola memilih untuk bermain dengan 3 pertahanan. Faktor yang kedua pula adalah kerana Guardiola mahu memenangi pertarungan merebut posesi bola. Guardiola dan Ronald Koeman masing-masing mendukung falsafah yang lebih kurang serupa iaitu penguasaan bola dalam perlawanan. Jadi untuk mencapai penguasaan bola secara mutlak Guardiola melambakkan pemain di bahagian tengah dengan meletak 6 pemain di bahagian itu.
Ternyata strategi Guardiola itu berjaya apabila City dilihat mendominasi Everton di dalam majoriti perlawanan. Statistik penguasaan City begitu ketara sekali. City menyempurnakan 572 hantaran, hampir 4 kali ganda berbanding Everton (154). Peratusan posesi City ialah 72.4% berbanding Everton yang hanya memegang 27.6% penguasaan bola. City membuat 19 percubaan ke arah gol lawan manakala Everton hanya membuat 3 percubaan.
Begitu hebat dominasi City sehinggakan kesemua 11 pemain pertama mereka (termasuk Claudio Bravo) berjaya membuat hantaran sempurna yang lebih banyak berbanding pemain-pemain Everton.
Lihat sahaja corak peta haba perlawanan untuk melihat bagaimana City menekan Everton untuk berkampung di kawasan mereka sendiri.
Tetapi inilah namanya Typical City, inilah ertinya bola itu bulat. Penguasaan bola City ternyata sia-sia. Kelechi Iheanacho yang diberi mandat menggantikan Sergio Aguero tidak begitu berkesan di bahagian serangan. Banyak sentuhan beliau kurang kemas dan tidak menjadi, mengkandaskan gerakan pasukan. City juga gagal mengambil peluang daripada 13 sepakan penjuru yang mereka menangi. Mungkin ramai melihat City kurang bernasib baik kerana gagal membolosi gol Everton tetapi pujian harus diberikan kepada Maarten Sketelenburg yang mempamerkan antara aksi terhebat sebagai penjaga gol dengan menyelamatkan bukan satu tetapi dua sepakan penalti City.
Sumber: Press Association UK (@PAdugout) |
Setakat musim ini, sudah 4 sepakan penalti gagal disempurnakan City. Satu statistik yang membimbangkan kerana 3 daripada sepakan itu diambil oleh Aguero. Aguero juga baru-baru ini gagal menjaringkan sepakan penalti semasa bermain bersama Argentina.
- Bulan Biru