Jika saya tidak membeli CD permainan video PC tersebut pasti saya tidak mengenali Manchester City kemudian jatuh cinta dengan kelab ini...
Pendedahan terawal saya kepada dunia bolasepak ialah pada tahun 1991 apabila Johor menjuarai Piala Malaysia. Pendedahan kepada dunia bolasepak antarabangsa pula bermula dengan Piala Dunia 1994. Namun begitu saya sangat 'buta kelab' sehingga kelab Paris St. Germain pun saya sangkakan kelab Jerman!
Pengetahuan tentang kelab-kelab bolasepak amat terbatas dengan hanya bergantung kepada bahagian sukan di dalam surat khabar memandangkan ketiadaan Astro ataupun internet ketika itu.
Terus terang sebelum meminati City saya terlebih dahulu mengenali Manchester United. Masih jelas dalam lorong memori half-volley Cantona dalam perlawanan akhir Piala FA 1996 dan 2 tandukan Gary Pallister ketika United menentang Liverpool. Itulah kali pertama saya menonton perlawanan siaran langsung Liga Perdana Inggeris (EPL). Dari situ saya mula menjinakkan diri dengan dunia EPL menerusi Manchester United. Saya ikuti perkembangan mereka melalui akhbar dan menyimpan wang untuk membeli majalah rasmi mereka.
Terjumpa dalam koleksi majalah di rumah kampung |
Itu semua berubah pada tahun 1998 hanya disebabkan oleh satu permainan PC. Permainan PC yang dimaksudkan di sini ialah Premier Manager yang dihasilkan oleh Gremlin Interactive. Ia merupakan sebuah permainan simulasi football management. Selepas memasang permainan PC tersebut saya memulakan permainan dengan niat memilih pasukan Manchester United.
Ketika di skrin pemilihan pasukan saya meneliti setiap pasukan yang tersedia. Semasa meneliti kelab-kelab dalam divisyen bawahan, kursor tetikus melewati satu ikon jersi berwarna biru muda dan terpampang di atas skrin komputer nama Manchester City. Hati ini tiba-tiba merasa tertarik dengan penemuan tersebut kerana rupa-rupanya terdapat satu lagi kelab di Manchester. Saya terus membuat keputusan untuk mendalami pasukan Manchester City.
Salah satu ciri permainan Premier Manager ialah ia menyediakan database maklumat untuk setiap pasukan dan pemain di dalam liga Inggeris musim itu (merangkumi Liga Perdana hingga ke Divisyen 3). Dari database itulah saya mula mendapatkan maklumat tentang Manchester City dan pemain-pemainnya musim itu. Di sini saya mula mengenali Shaun Goater, Nicky Weaver, Terry Cooke, Paul Dickov dan Kevin Horlock. Memilih pasukan City dalam permainan ini bermakna anda akan bermula dari divisyen bawahan dan ia menjadi satu cabaran yang sangat menarik bagi saya.
Premier Manager 99 masih tersimpan dalam PC |
Saya akan menghabiskan masa sehari suntuk ketika musim cuti sekolah (saya bersekolah asrama) sebagai 'pengurus' Manchester City dalam usaha membawa City naik ke Liga Perdana Inggeris seterusnya menjadi juara liga dan juara Liga Juara-Juara Eropah. Dari hari ke hari bermain permainan tersebut semakin mendalam rasa sayang kepada Manchester City dan ketika itu saya mula menjadi peminat rahsia Manchester City biarpun tidak pernah melihat mereka bermain di dunia sebenar.
Superbia in proelio - Blog Bulan Biru
Kemudian pada tahun 1999 saya terbaca satu artikel dalam akhbar berbahasa Inggeris yang membuatkan saya sangat teruja sebagai peminat City. Tajuk artikel itu berbunyi lebih kurang "Blue Moon Rising". Tahun itu para peminat United sedang gah meraikan kejayaan merangkul Liga Juara-Juara Eropah dengan 2 gol di saat akhir. Tidak ramai yang tahu (termasuk saya jika bukan kerana artikel itu) City juga menjaringkan 2 gol di minit-minit akhir ketika perlawanan playoff Divisyen 2 menentang Gillingham. City seterusnya memenangi sepakan penalti untuk naik ke Divisyen 1.
Artikel tersebut menggelar City sebagai "The Sleeping Dragon" kerana potensi besar yang dimiliki mereka. Nicky Weaver ketika itu merupakan penjaga gol utama pasukan England U21, Shaun Goater dilihat sebagai penyerang yang sangat berbisa sehingga dilagukan "Feed The Goat And He Will Score" dan dari peringkat akademi Shaun Wright-Phillips dicanang sebagai bintang di masa hadapan. Sistem akademi bola sepak City dipuji dan ramai bintang muda diramalkan akan lahir daripada sistem itu kelak.
Bersambung di bahagian 2..Superbia in proelio - Blog Bulan Biru