Sabtu, 5 Mac 2016

Jurnal Peminat - Dari Mata Turun Ke Hati, Dari CD Ku Kenali City (Bahagian II)

..Bersambung dari bahagian 1

Saya terpaksa menunggu satu musim lagi untuk melihat City di kaca TV kerana akhirnya mereka berjaya kembali ke Liga Perdana Inggeris untuk musim 2000-01. Betapa gembiranya hati dapat melihat kelibat Weaver di gawang gol dan Goater di bahagian serangan buat pertama kali ketika menonton rancangan soroton perlawanan Liga Perdana Inggeris. Harapan untuk melihat City kekal di Liga Perdana musim itu dikuatkan dengan penyertaan bekas pemain terbaik dunia George Weah. Namun impak Weah tidak menjadi dan beliau berpindah di pertengahan musim.


Mimpi indah City juga berakhir musim itu dan mereka kembali turun ke Divisyen 1. Sebagai penyokong sememangnya pahit untuk ditelan. Lebih-lebih lagi apabila saya menyatakan diri sebagai penyokong City saya sering ditertawakan kerana menyokong pasukan 'sampah'. Tiada apa yang mampu dilakukan selain daripada hanya bersabar.

Menjadi penyokong Manchester City sememangnya mengajar saya erti kesabaran. Bukan sahaja ditertawakan rakan-rakan malahan saya belajar apa itu 'Typical City'. Kemasukan pemain bintang seperti seperti Anelka, Fowler, McManaman, Elano dan Robinho tidak terpamer dalam persembahan pasukan yang tidak konsisten dan sering mengakhirkan musim di kedudukan tengah liga. Tetapi itu semua tidak melunturkan semangat untuk menyokong City. Saya terus menyokong Manchester City dan menerima mereka seadanya.


Musim 2010-11 menjadi titik tolak perubahan nasib City. Pertukaran pengurus dan kemasukan pemain seperti Mario Balotelli, James Milner dan Edin Dzeko memantapkan pasukan yang sudah dibarisi Yaya Toure, David Silva, Carlos Tevez, Nigel de Jong dan Vincent Kompany. Musim itu Manchester City merangkul kejuaraan Piala FA. Piala pertama mereka semenjak 35 tahun. Berbaloi rasanya menjadi penyokong setelah sekian lama.


Tetapi itu tidak menyediakan saya untuk pengalaman penuh drama musim 2011-12. Biarpun berjaya membelasah United 6-1 dan mendahului liga di sebahagian besar musim, City mula menunjukkan sindrom 'Typical City' apabila melepaskan mata berharga sehingga ketinggalan 8 mata di belakang seteru Manchester United dengan berbaki 6 perlawanan. City kemudian melancarkan kempen #Together dan akhirnya berjaya mengejar United. Mereka seterusnya perlu menang dalam perlawanan terakhir musim untuk bergelar juara. Perlawanan menentang QPR sangat mendebarkan. Hati kecil berdoa supaya sindrom 'Typical City' tidak berlaku dalam perlawanan itu.

Namun seolah-olah itulah yang berlaku apabila setelah mendahului 1-0 City melakukan 2 kesilapan di bahagian pertahanan dan meloloskan 2 gol. Masuk masa kecederaan City masih ketinggalan 1-2 dan saya sudah mula pasrah. Terbayang di dalam kepala ejekan yang bakal diterima daripada rakan-rakan Manchester United (dan juga pasukan lain) keesokan hari. Jaringan Dzeko diminit ke-92 tidak melegakan kerana saya tahu itu tidak mencukupi. Tetapi apa yang terjadi 2 minit kemudian merupakan pengalaman yang tidak dapat saya lupakan.


Apabila Sergio Aguero merembat deras bola ke dalam gawang gol saya melonjak kegembiraan, bersorak GOL!!! dan berlari di dalam rumah sehinggakan anak saya sendiri pun berasa pelik melihat karenah ayahnya. Tidak malu jika saya akui malam itu saya menangis kegembiraan meraikan kejayaan Manchester City. Saya tidak pernah menyangka saya dapat menjadi saksi pasukan City menjulang piala Liga Perdana Inggeris.

Ucapan tahniah daripada sahabat United

Itulah saat paling gembira saya sebagai penyokong City tetapi jika ditanya tentang pengalaman paling manis jawapan saya ialah apabila saya berpeluang melihat hero-hero Manchester saya secara dekat di hadapan mata. Apabila Manchester City mengumumkan mereka akan datang ke Malaysia untuk siri jelajah Asia mereka saya tidak melepaskan peluang dan terus membeli tiket untuk acara tersebut.


Tidak kiralah berapa harga tiket asalkan saya dapat bertemu dengan pemain-pemain City. Saya rela menunggu mereka di hotel Palace of The Golden Horses biarpun ketika itu sedang berlapar puasa. Semua itu tidak sia-sia kerana saya dapat berada di barisan hadapan menyambut kehadiran Aguero dan rakan-rakan.



Bersambung di bahagian 3..

Superbia in proelio - Blog Bulan Biru
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.