Dalam kegembiraan menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-57 terselit sekelumit rasa kecewa dengan kekalahan 0-1 City kepada Stoke di laman sendiri. Jauh betul dengan prediksi konon-konon boleh tapau 3-0. Apapun life must go on, itulah lumrah dunia bolasepak. Taktik yang digunakan Stoke dalam perlawanan ini memang berjaya mengekang serangan bertalu-talu City dan juga menyerlahkan beberapa kelemahan City.
Aspek serangan diberi lebih keutamaan dalam seleksi pemain di mana City membuat 3 perubahan; Sagna diberikan debut di bek kanan, Kolarov menggantikan Clichy dan Aguero bermula di hadapan bersama Jovetic. City memilih untuk menurunkan dua penyerang lincah dan bermain tanpa seorang target man/holding striker. Kolarov dipilih atas sebab beliau lebih efektif dalam membantu gerakan serangan. Lagipun Stoke dijangka bermain jauh di dalam kawasan mereka dan kurang mendatangkan bahaya di bahagian kiri Manchester City. Stoke pula meletakkan pemain yang lebih fizikal dan sudah bersedia untuk bermain taktik serangan kaunter dan bola tinggi. Ini dapat dilihat dalam pemilihan Peter Crouch dan Victor Moses di bahagian serangan.
Perlawanan berlangsung seperti dijangka dengan City mendominasi permainan. Dalam 15 minit pertama pemain-pemain Stoke berkampung di kawasan mereka menerima asakan City. Percubaan terbaik City datang dari tendangan Nasri tapi dapat ditepis Begovic. Stoke kemudiannya mula mendapat rentak dan melancarkan beberapa serangan kaunter. City bernasib baik Stoke tidak dianugerahkan sepakan penalti bila Diouf dijatuhkan Kolarov. Secara keseluruhan City masih mendominasi posesi dan meneruskan tekanan di kawasan lawan. Pemain pertahanan naik begitu tinggi memberi tekanan sehinggakan komentator terkeliru Demichelis dengan Aguero apabila dia membawa bola di kawasan lawan. Malang buat City bila Fernando terpaksa dibawa keluar awal kerana tercedera. Ketiadaan Fernando menyukarkan City mengawal permainan bola tinggi Stoke dan terbukti Demichelis tampak tidak selesa menjaga Crouch. Di penghujung babak pertama City hampir berjaya memecah kebuntuan namun percubaan Toure hanya menyinggah palang.
Separuh masa kedua City tidak melakukan sebarang perubahan taktikal. Tanpa seorang penyerang target man City lebih menumpukan serangan melalui bahagian tengah namun ditidakkan strategi pertahanan Stoke yang memadatkan kawasan mereka. City terus bersabar menyimpan posesi mencari peluang. Gol Stoke hadir hasil satu serangan kaunter selepas City mendapat tendangan penjuru. Begovic menepis keluar rembatan Toure dan memberikan sepakan penjuru kepada City. Dari sepakan penjuru itu, hantaran lintang Silva berjaya dikeluarkan pertahanan Stoke dan bola jatuh kepada Diouf yang berhadapan dengan Kolarov dan Fernandinho. Kepantasan Diouf gagal ditandingi Kolarov dan Diouf berjaya menewaskan Fernandinho untuk mara ke kotak penalti dan seterusnya menewaskan Hart di gawang City. Boleh dikatakan Kolarov sepatutnya lebih awal melakukan tactical foul untuk menghalang Diouf dan Hart pula terlalu mudah tertewas dengan sepakan leret Diouf.
Ketinggalan satu gol membuat City menambahkan lagi tekanan ke atas Stoke dan mula bermain dengan lebih urgency. Stoke pula mendapat beberapa peluang menambah gol kerana formasi pertahanan City yang mulai rapuh. Pellegrini mengubah taktik permainan City dengan membawa masuk Dzeko dan Navas menggantikan Nasri dan Jovetic. Kehadiran fizikal Dzeko sedikit sebanyak mengubah cara City menyerang. City kini bermain lebih lebar dan lebih banyak hantaran tinggi dilancarkan ke kawasan penalti Stoke. City meneruskan asakan demi asakan mencari gol penyamaan namun semua digagalkan taktik penuh disiplin daripada Stoke. Pemilihan Peter Crouch sememangnya tepat sekali kerana beliau bukan sahaja mengundang bahaya ketika Stoke melancarkan serangan kaunter tetapi dia juga membantu ketika Stoke mempertahankan permainan set piece. City ditidakkan sepakan penalti di minit-minit akhir kerana Toure dikatakan menyimulasi. Kedudukan kekal sehingga wisel penamat.
Keputusan mutakhir: Manchester City 0 - Stoke City 1 dan itu bererti Stoke akhirnya berjaya menewaskan City di gelanggang mereka buat pertama kali semenjak 1980. Ini juga merupakan gol pertama Stoke di stadium Etihad. Taktik pertahanan penuh disiplin Stoke berjaya menewaskan City yang mendominasi sebahagian besar permainan. Pellegrini perlu menilai semula taktik berhadapan pasukan yang bermain defensive dan counter attack. Kecederaan Fernando agak merisaukan memandangkan prestasi pengganti beliau Fernandinho yang agak terumbang-ambing barangkali masih terkejut beruk dicabuli pasukan Jerman di Piala Dunia yang lalu. Ini kerana selepas ini City memerlukan kesebelasan utama yang terbaik untuk menghadapi 3 perlawanan yang susah nak mampus dalam tempoh 8 hari.
Superbia in proelio. Berjuanglah penuh kebanggaan. |
Rujukan: Tengok ASTRO live la bro, BBC Sport
P/S: Typical City