Sabtu, 30 Ogos 2014

Laporan Kaki Bangku: Prebiu Manchester City vs Stoke City


Belum habis kenyang meratah burung liver goreng ala KFC, Manchester City akan menyambut kunjungan Stoke City di Etihad Sabtu ini. Berbekalkan morale para pemain yang sedang tinggi dan momentum 2 kemenangan berturut-turut musim ini, The Citizens dijangka tidak berhadapan sebarang masalah menentang The Potters. Apa yang menarik untuk perlawanan ini ialah pada kemungkinan Pellegrini akan membuat rombakan dalam pemilihan pemain.


Dzeko-Aguero, Dzeko-Jovetic atau Aguero-Jovetic?
Laporan Aguero tercedera dibentes Kolarov ketika sesi latihan dinafikan City dan Dzeko dikhabarkan sempat pulih daripada kecederaan yang dialami minggu lepas hasil terjahan keji Skrtel. Memandangkan kini hanya Dzeko sahaja target man/holding striker dalam skuad City (Negredo cedera dan Guidetti belum terbukti), kita akan lihat sama ada Aguero atau Jovetic yang bakal menjadi striking partner beliau. Atau mungkin City bermain tanpa target man dan meletakkan Aguero dan Jovetic yang masing-masing sudah menjaringkan 2 gol di hadapan.

Menentang lawan yang lebih mudah Kolarov dijangka menjadi pilihan di bek kiri. Zabaleta sudah kembali cergas tetapi kita mungkin berpeluang untuk melihat Sagna beraksi buat kali pertama di bek kanan. Persoalan menarik ialah siapa bakal menjadi teman pertahanan Kompany; Demichelis atau Mangala? Ada laporan mengatakan Mangala belum cergas sepenuhnya untuk diturunkan dan beliau dijangka pulih sepenuhnya selepas 13 September.

Tiada perubahan drastik di bahagian tengah dengan gabungan Fernando-Toure-Silva-Nasri bermain dengan formasi yang sama. Hanya perubahan strategi semasa perlawanan bakal melihat Navas masuk untuk melebarkan permainan, Fernandinho masuk memantapkan pertahanan dan Lampard atau Milner dimasukkan untuk merehatkan mana-mana pemain.


Stoke kini merupakan pasukan yang berbeza dengan yang dahulunya sering mengeksploitasi ketinggian Peter Crouch dalam permainan mereka. Mereka kini memiliki pemain-pemain yang lebih pantas dan kreatif dalam Odemwingie, Diouf, Arnautovic, Moses yang dipinjam dari Chelsea dan bekas bintang muda Barcelona Bojan Krkic.

Dalam 6 kali bertandang ke Manchester, Stoke tewas dalam semua pertemuan mereka dan gagal mencatatkan sebarang gol. Pada musim ini, Stoke belum mendapat sebarang kemenangan (1 kalah dan 1 seri) dan oleh itu dijangka bermain secara defensive dan mengharapkan keputusan seri. Dalam pada itu City perlu berhati-hati berhadapan serangan kaunter daripada pemain-pemain pantas Stoke.

Pertembungan musim lepas berkesudahan City 1 - Stoke 0

Ramalan keputusan: 3-0 berpihak kepada Manchester City untuk mencatat 8 kemenangan perlawanan liga berturut-turut.

Rujukan: BBC, The Guardian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.