Rabu, 31 Mei 2017

City Setuju Tawaran Villareal Untuk Enes Unal


Enes Unal dijangka akan beraksi di Sepanyol musim hadapan selepas Manchester City bersetuju dengan tawaran Villareal sebanyak £12 juta. Perjanjian ini turut melibatkan klausa pembelian semula bernilai £17.5 juta.

Buat masa ini kedua-dua kelab sudah mencapai kata putus dan sedang menanti hasil perbincangan terma peribadi bersama Enes Unal.

Ini mungkin keputusan yang adil buat semua pihak selepas Enes Unal berjaya menyinar di liga Belanda. Biarpun pulang dengan rekod yang bagus, Enes Unal masih belum boleh bermain untuk City memandangkan beliau belum layak untuk memohon permit kerja UK. Oleh itu perpindahan ke Sepanyol ini boleh dilihat sebagai langkah penyediaan yang sesuai untuk mengasah bakat pemain Turki tersebut.

Rabu, 17 Mei 2017

Simpan Tarikh 25.5.2017


Tarikh perasmian jersi baharu Manchester City musim 2017/18.

Isnin, 15 Mei 2017

Selamat Tinggal Zabaleta - Apa Kata Guardiola?


Apakah pandangan Pep Guardiola terhadap Pablo Zabaleta bakal meninggalkan Manchester City selepas sudah berbakti selama 9 tahun? Berikut ialah kata-kata beliau:

"Pablo (Zabaleta) ialah seorang legenda sejati dalam ertikata apa yang telah beliau lakukan di kelab ini. Dia telah membantu kami, bersama kelab untuk melangkah bersama ke hadapan. Inilah sebabnya mengapa Pablo Zabaleta tersangat-sangatlah penting. Ianya pasti akan sukar (untuk menggantikan beliau)."

Selepas 9 Tahun Bersama - Apa Kata Zabaleta?


Selepas 9 tahun menaburkan bakti kini sudah tiba masanya untuk Pablo Zabaleta mengucapkan selamat tinggal kepada Manchester City. Berpindah ke kota Manchester dari kelab Espanyol dengan nilai perpindahan £6,450,000, Zabaleta sudah tampil lebih 300 kali mewakili kelab biru Manchester itu dan melakar nama sebagai antara legenda era moden Manchester City. Jadi apa kata Zabaleta tentang karier beliau bersama The Citizens?

"Semasa kali pertama saya tiba ke Manchester, saya rasakan kami (City) bukan kelab utama di bandar Manchester. Perkara yang sama tidak boleh diperkatakan di masa sekarang."


"Saya masih ingat Sir Alex Ferguson berkata tentang 'jiran bising'. Saya tak boleh biarkan orang berkata sesuatu seperti itu tentang kami. Lalu saya berfikir, 'Jika mereka memanggil kami jiran bising, jadi ayuh kita terus bisingkan bandar ini. Ayuh kita buktikan yang kita ialah kelab yang mahu membuat pencapaian penting, mungkin suatu hari nanti menjadi kelab utama di bandar (Manchester).'"



"Jika anda benar-benar mengambil berat tentang kelab, anda dapat rasakan sesuatu di dalam diri anda yang anda mahu mencipta sesuatu yang besar. Kami telah bekerja keras dan lihat di mana kami berada hari ini. Saya sangat gembira dan berbangga dapat menjadi sebahagian daripada kelab bolasepak ini."


(Tentang penampilan terakhir di Stadium Etihad): "Ia akan menjadi sesuatu yang penuh emosi buat saya. Ianya ialah 9 tahun yang menakjubkan. Saya tidak menyangka ianya akan menjadi begitu lama. Sebagai seorang pemain bolasepak, seorang peminat bolasepak, ianya suatu impian untuk datang dan memiliki peluang bermain di Liga Perdana Inggeris. City telah memberikannya kepada saya."

Sanchez Berhubung Dengan Guardiola


Menurut portal sukan Don Balon, Alexis Sanchez berminat untuk berpindah ke Manchester City di jendela perpindahan akan datang dan telah melakukan perbincangan dengan Pep Guardiola.

Sanchez percaya perpindahan ke Manchester City akan memberikan peluang terbaik kepada beliau untuk memenangi kejuaraan besar. Guardiola pula dikatakan sudah menghubungi Sanchez secara peribadi.

Ahad, 14 Mei 2017

Donnarumma Mahu Ke England


Menurut akhbar The Sun, Gianluigi Donnarumma sudah memberitahu kepada rakan-rakan bahawa beliau akan berpindah ke Liga Perdana Inggeris.

Donnarumma yang boleh dibeli dengan harga serendah £20 juta kini menarik minat banyak kelab termasuk Manchester City. City dikatakan sanggup menawarkan gaji sebanyak £70,000 seminggu kepada penjaga gol berusia 18 tahun itu. Namun City mungkin akan mendapat tentangan daripada Manchester United yang mahu mendapatkan Donnarumma jika mereka kehilangan David De Gea.

Kit Home Penuh Manchester City 2017/18


Dengan Nike kini di tahun terakhir mereka sebagai penaja jersi Manchester City, dilaporkan bahawa mereka akan mengumumkan kit penuh terbaru laman sendiri City sebelum tamat musim 2016/17. Malah ada khabar angin mengatakan kit terbaru itu akan dirasmikan dalam perlawanan terakhir di Stadium Etihad musim ini menentang West Bromwich Albion. 

Sabtu, 6 Mei 2017

Jersi City Terakhir Nike?

Jika Manchester City tidak memperbaharui kontrak mereka bersama Nike maka ini mungkin menjadi jersi City terakhir rekaan Nike.
 

Under Armour - Selamat Datang Ke Manchester


Syarikat pakaian sukan dan kasual Amerika Syarikat, Under Armour dijangka akan menjadi pembekal jersi baharu Manchester City menggantikan Nike yang kontraknya bersama City bakal tamat pada hujung musim hadapan.

Walaupun belum ada sebarang berita rasmi dari mana-mana pihak, spekulasi ini diperkuatkan dengan pembukaan pejabat Under Armour di Manchester tahun lalu.

Buat masa ini, kelab bolasepak Inggeris yang ditaja oleh Under Armour ialah Tottenham Hotspur, Aston Villa dan Southampton.

City Disekat Ambil Pemain Tempatan Bawah 18 Tahun


Pihak Persatuan Bolasepak (FA) England telah menjalankan siasatan ke atas urusan pengambilan pemain akademi Manchester City dan mendapati City telah melanggar Peraturan Pembangunan Belia. Antara bukti yang diserahkan ialah bukti pihak City menghubungi keluarga pemain dalam urusan perpindahan mereka tanpa pengetahuan kelab asal mereka. Pemain yang terlibat dalam siasatan ialah pemain dari kelab Wolverhampton (15 tahun) dan Everton (11 tahun).

Akibat kesalahan tersebut, City akan dikenakan sekatan daripada menandatangan sebarang pemain yang berumur di antara 10 hingga 18 tahun selama dua tahun. Selain daripada itu, City turut didenda sebanyak £300,000.

Namun harus ditekankan sekatan yang dikenakan ke atas City itu hanya meliputi pemain akademi yang berdaftar dengan kelab Liga Perdana atau EFL sahaja. City masih bebas untuk mengambil pemain akademi dari kelab di luar England.

Manakala walaupun tempoh sekatan yang dinyatakan ialah dua tahun namun cara perlaksanaannya ialah City disekat dari sebarang urusan pengambilan pemain akademi sehingga Jun 2018 iaitu selama setahun sahaja. Baki setahun lagi tempoh sekatan akan teraktif jika City melakukan kesalahan yang sama dalam tempoh tiga tahun.

Jumaat, 5 Mei 2017

City, Arsenal Tawar £140,000 Seminggu Untuk Kolasinac


Manchester City dan Arsenal kini dalam perlumbaan merebut pemain bek kiri Schalke 04, Sead Kolasinac. Kontrak pemain Bosnia itu bersama Schalke yang bakal tamat hujung musim ini bererti City atau Arsenal boleh mendapatkan khidmat Kolasinac secara percuma melalui peraturan Bosman.

Perebutan begitu sengit sekali di antara City dan Arsenal sehinggakan kedua-dua kelab dikatakan sanggup menawarkan gaji sebanyak £140,000 seminggu kepada Kolasinac.

Selain City dan Arsenal, AC Milan turut menunjukkan rasa minat mereka namun Kolasinac lebih berminat untuk bermain di Liga Perdana Inggeris.

Khamis, 4 Mei 2017

Infovideo - Taktikal Julian Nagelsmann Di Hoffenheim

City Beri Lampu Hijau Kepada Hoffenheim


Menurut portal sukan Our Own Nigeria, Manchester City bakal beri kebenaran kepada kelab Bundesliga, Hoffenhaim untuk membuat tawaran ke atas Kelechi Iheanacho. Iheanacho yang mempunyai potensi untuk menjadi bintang besar kini sukar mendapatkan tempat di dalam skuad Pep Guardiola. Oleh itu City melihat perpindahan ke Hoffenheim membolehkan potensi Iheanacho itu dipenuhi lebih-lebih lagi Hoffenheim sudah memastikan tempat mereka dalam Liga Juara-Juara UEFA musim hadapan. Namun City tidak akan melepaskan Iheanacho begitu sahaja. Jika dijual kepada Hoffenheim, syarat pembelian semula akan diselitkan dalam perjanjian tersebut. Dikhabarkan Iheanacho akan bertemu dengan pengarah sukan Hoffenheim, Alexander Rosen untuk berbincang tentang hal ini di hujung bulan Mei nanti.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.