Rabu, 28 Oktober 2015

Prebiu COC 2015/16: Manchester City vs Crystal Palace

Arsenal dan Chelsea menjadi mangsa medan Piala Liga musim ini. Hari ini, City menanti kunjungan Crystal Palace untuk mencari tempat ke suku akhir pertandingan ini. Dalam pertembungan terakhir di antara mereka, bintang muda City Kelechi Iheanacho telah menjadi wira dengan jaringan saat akhir. Adakah beliau akan menghantui Palace sekali lagi?


Dengan jadual yang menanti City selepas perlawanan ini, semestinya Pellegrini akan membuat beberapa rombakan dalam pemilihan beliau. Aguero masih tercedera. Samir Nasri dan David Silva sudah mula membuat latihan namun belum cukup cergas untuk diturunkan. Fernandinho pula digantung untuk perlawanan ini. Piala Liga memang medan yang cukup sesuai untuk pemain-pemain muda mendapatkan pengalaman. Iheanacho barangkali akan diturunkan dalam kesebelasan utama namun mungkin bukan sebagai penyerang tetapi di bahagian sayap. Zabaleta dan Caballero juga akan diberi peluang untuk bermain dalam perlawanan ini. Jangkakan kemunculan George Evans, Manu Garcia dan Patrick Roberts dalam perlawanan ini nanti.


Ancaman Palace akan hadir daripada Cabaye di bahagian tengah dan Dwight Gayle di bahagian serangan. Mungkin satu kelebihan buat City dengan ketiadaan bek kiri lincah Palace; Pape Souare, Jesus Navas boleh mengganas di sayap kanan.

Ramalan Blog Bulan Biru: City 3 - Palace 0

Fakta menarik pra-perlawanan:
  • Kali terakhir Palace menewaskan City di Manchester adalah pada tahun 1990.
Superbia in proelio - Blog Bulan Biru

Isnin, 26 Oktober 2015

BPL 2015/16: Manchester United (0) - Manchester City (0)

Takhta liga Manchester City sambar selepas derbi Manchester yang hambar. Kini berkongsi mata bersama Arsenal dengan hanya perbezaan gol memberi kelebihan kepada City. Hanya itulah sahaja yang boleh dibanggakan oleh peminat City selepas menyaksikan keputusan 0-0 dalam antara perlawanan derbi Manchester yang paling anti-klimaks dalam sejarah BPL.


Tiada sesiapa yang boleh merebut hak berbangga di Manchester. Aksi hangat yang menjadi hidangan kebiasaan dalam derbi Manchester tidak kelihatan dalam perlawanan derbi Manchester ke-170. Ketumpulan barisan serangan kedua-dua pihak menyaksikan percubaan tepat pertama perlawanan hanya hadir selepas 82 minit permainan. Atau mungkin juga kerana kedua-dua pasukan mempamerkan disiplin pertahanan yang ketat sehinggakan perlawanan menjadi sebegitu rupa. Pasukan City boleh berasa lega dengan 1 mata kerana United terlepas beberapa peluang keemasan seperti percubaan Lingard yang terkena palang dan tendangan Smalling yang diselamatkan Hart.

Ahad, 25 Oktober 2015

Prebiu BPL 2015/16: Manchester United vs Manchester City

Pintu Old Trafford diketuk jiran. City datang bukan sekadar mahu bertanya, "Apa khabar?". Malahan hakmilik Manchester menjadi taruhan. Keputusan seri sudah memadai buat City merampas kembali takhta liga yang terkini dihuni Arsenal. Kalah atau menang boleh melihat salah satu pasukan Manchester berada di sana. Namun itu bukan persoalan utama. Persoalan utamanya ialah, "Pada esok hari, adakah Manchester itu biru ataupun merah?".



Hari Derbi Manchester Ke-170 - Fakta dan Angka


1. Rekod derbi Manchester setakat ini:
  • Dimenangi United: 70
  • Seri: 50
  • Dimenangi City: 49
2. Rekod BPL derbi Manchester:
  • Dimenangi United: 19
  • Seri: 6
  • Dimenangi City: 11
3. Rekod BPL derbi Manchester di Old Trafford:
  • Dimenangi United: 10
  • Seri: 4
  • Dimenangi City: 4
4. Penjaring terbanyak dalam sejarah derbi Manchester ialah Wayne Rooney iaitu 11 gol. Ini diikuti 2 pemain Manchester City iaitu Joe Hayes dan Francis Lee masing-masing dengan rekod 10 gol derbi.
5. Manchester City memenangi 6 daripada 8 perlawanan derbi terakhir. Satu rekod yang boleh dibanggakan memandangkan sebelum itu City hanya menang 6 daripada 42 perlawanan derbi.
6. 12 perlawanan terakhir derbi Manchester tidak ada yang berakhir dengan keputusan seri (United 5 - City 7).
7. David De Gea melepaskan 25 gol dalam 10 pertemuan derbi. Secara statistik beliau adalah penjaga gol terburuk dalam sejarah derbi Manchester.


Superbia in proelio - Blog Bulan Biru

Sumber: Mirror, SportingLife, Twitter

Jumaat, 23 Oktober 2015

UCL 2015/16: Manchester City (2) - Sevilla (1)

*Nota: Maaf atas kelewatan. Telefon dan komputer penulis rosak serentak.

Pembelian Kevin De Bruyne kini dirasakan tepat dan berbaloi sekali selepas gol beliau di masa tambahan memastikan 3 mata berharga milik City dalam pertembungan UCL kumpulan D menentang Sevilla. Buat kali ketiga berturutan perlawanan UCL City tamat dengan jaringan 2-1 namun 2 daripada 3 perlawanan itu berpihak kepada City untuk mengumpul 6 mata, 1 mata di belakang pendahulu kumpulan; Juventus.


City menghadapi perlawanan ini dengan misi mencari 3 mata pertama di laman sendiri. Keputusan seri atau kalah akan menyukarkan langkah mereka ke pusingan seterusnya lebih-lebih lagi mereka perlu pergi ke tempat lawan di pusingan kedua kumpulan.

Rabu, 21 Oktober 2015

Prebiu UCL 2015/16: Manchester City vs Sevilla

Buat julung kalinya, Sevilla akan menapakkan kaki ke Stadium Etihad untuk bertemu Manchester City. Belum pernah bersua muka sebelum ini, satu-satunya hubungan City dan Sevilla adalah pada pemain sayap kanan Jesus Navas yang bermain untuk Sevilla dari 2003-2013.


Mangala dan Nasri kini menyertai angkatan pemain tercedera City. Dengan itu, Kompany dijangka bergandingan bersama Otamendi di pertahanan tengah. Krisis bek kiri hujung minggu lalu mungkin sedikit reda apabila Kolarov dilihat sudah mula berlatih bersama pasukan. Namun jika beliau belum bersedia, Sagna sekali lagi akan menggalas tugas di posisi itu. Prestasi mantap Sterling bermain posisi sentral semestinya menjamin peranan beliau di bahagian tengah hari ini sambil Bony mengepalai bahagian serangan. Di sayap kanan, Jesus Navas akan berdepan bekas pasukan beliau.


Biarpun prestasi Sevilla di liga Sepanyol kurang memberansangkan, mereka tidak boleh dipandang enteng. Kalau tidak masakan mereka boleh menyandang kejuaraan Liga Europa musim lepas? Banega, Vitolo dan Krychowiak adalah antara ancaman utama Sevilla yang perlu ditangani City.

Ramalan Blog Bulan Biru: City 2 - Sevilla 1

Fakta menarik pra-perlawanan:
  • Selepas memulakan musim dengan 5 perlawanan tanpa bolos, City kini bolos dalam setiap 7 perlawanan terakhir mereka.
  • Walaupun Sevilla hanya menang 2 daripada 8 perlawanan liga mereka musim ini. 2 kemenangan itu adalah dari 2 perlawanan terakhir liga dan mereka sedang menjana momentum.
  • Prestasi City di Etihad dalam bulan Oktober sangat memberansangkan dengan kemenangan besar 6-1 dan 5-1 ke atas Newcastle dan Bournemouth.

Superbia in proelio - Blog Bulan Biru

Selasa, 20 Oktober 2015

Kenali City - Apa Itu Corak Gingham?

Antara elemen yang mempunyai nilai sejarah mendalam di Manchester ialah corak gingham. Jadi apa itu corak gingham dan apa pula kaitannya dengan Manchester?

  • Perkataan 'gingham' itu berasal daripada bahasa Melayu 'ginggang' yang merujuk kepada kain bercorak jalur, dam atau petak-petak.
  • Di pertengahan kurun ke-18, bandar Manchester menjadi pusat pengeluar utama fabrik gingham bercorak dam.
  • Warna pilihan paling popular di zaman itu adalah fabrik gingham berwarna biru dan putih. Berkemungkinan besar fakta inilah yang membawa kepada pemilihan warna biru sebagai warna tradisi Manchester City.
  • Semasa City bergelar Ardwick mereka mengenakan jersi berwarna biru dan putih sebelum City beralih kepada warna jersi biru sepenuhnya.
Jersi Kelab Bola Sepak Ardwick (pra-Manchester City)
  • Pengaruh corak gingham boleh dilihat pada reka corak jersi City tahun 1987-89 dan 1995-97.
                                   Jersi 1987-89                                   
Jersi 1995-97
  • Terbaru jika ada peminat yang perasan, corak gingham digunakan dalam reka corak jersi laman sendiri dan rangkaian fesyen City musim 2011/12.
Corak gingham di bahagian kolar jersi laman sendiri 2011/12
Corak gingham di bahagian kolar baju polo City 2011/12
Corak gingham pada tulisan "Manchester City"
Corak gingham pada jersi latihan 2011/12
  • Di musim berikutnya, Manchester United pula menerapkan corak gingham pada reka corak jersi mereka yang mendapat jolokan "jersi alas meja".

- Blog Bulan Biru

Isnin, 19 Oktober 2015

Kenali City - Biru Langit vs Biru Laser


Dalam soal selidik perihal pilihan warna lencana baru Manchester City, terdapat tiga pilihan biru iaitu Biru City (City Blue), Biru Laser (Laser Blue) dan Biru Tua (Dark Blue). Mari kita lihat sejarah biru langit dan biru laser Manchester City:
  • Biru City atau Biru Langit adalah warna biru tradisi City yang mula digunakan semenjak 1890-an.
  • Bermula musim 1997/98, City memperkenalkan warna Biru Laser pada reka corak jersi mereka.
  • Warna biru laser digunakan City sehingga musim 2002/03 sebelum City kembali kepada biru langit sampailah ke hari ini.
Colin Bell dan jersi biru langit City
Shaun Goater memakai jersi biru laser
Anelka kembali kepada warna tradisi City
- Blog Bulan Biru

Jurnal Peminat - Konsultasi Lencana MCFC

Sebagai seorang ahli Cityzen, penulis diberi peluang untuk terlibat dalam konsultasi lencana baru Manchester City. Ahli-ahli Cityzen diberikan pautan soal selidik untuk dijawab. Secara rumusannya, penulis menekankan beberapa aspek berkenaan lencana baru City:

  • Elemen "Blue Moon" mesti diterapkan
  • Elemen tradisi dan sejarah Manchester seperti industri perkapalan, industri fabrik dan mawar merah Lancashire mesti diberi keutamaan
  • Buang 3 bintang perhiasan dalam lencana terkini
  • Kekalkan elemen helang emas jika boleh

Berikut penulis kongsikan jawapan penulis untuk soal selidik lencana baru City:




Jurnal Peminat - Jersi MCFC Bertandatangan David Silva

Sempena Hari Kemerdekaan Malaysia yang lepas, pihak MCFCMalay telah menganjurkan satu pertandingan mencipta slogan #MerdekaCity. Hadiah yang ditawarkan? Sehelai jersi City laman sendiri musim 2015/16 yang ditandatangan oleh midfield maestro Manchester City, "Merlin", "The Magician"; tidak lain dan tidak bukan David Silva! Teruja dengan hadiah teristimewa itu, penulis terus menggerudi otak mencari idea mencipta slogan-slogan kreatif. Sehingga ke tarikh tamat pertandingan penulis tidak henti-henti menghantar slogan kepada MCFCMalay demi mencuba nasib. Gembiranya bukan kepalang apabila keputusan diumumkan, slogan penulis telah terpilih sebagai pemenang.


Slogan yang terpilih berbunyi "Pride with all our hearts, battle with all our souls, together as one". Slogan ini tercipta hasil gabungan motto Manchester City "Superbia in proelio" dan tema Hari Kemerdekaan Malaysia 2015 iaitu "Sehati Sejiwa". "Superbia in proelio" diterjemahkan ke bahasa Inggeris berbunyi "Pride in battle" dan "Sehati Sejiwa" pula diterjemah kepada "One Heart, One Soul". Lalu perkataan "Pride" digabungkan dengan "Heart" menjadi "Pride with all our hearts" dan perkataan "Battle" digabungkan dengan "Soul" menjadi "Battle with all our souls". Manakala penghujung slogan yang berbunyi "Together as one" penulis cedok daripada motto lama syarikat sambil turut membuat rujukan kepada kempen #TOGETHER yang didukung Manchester City.

Ahad, 18 Oktober 2015

BPL 2015/16: Manchester City (5) - AFC Bournemouth (1)

Selepas Newcastle, Bournemouth pula menjadi mangsa kerakusan Manchester City di Etihad. City menang selesa 5-1 di hadapan kehadiran rekod penonton dengan jaringan hatrik Raheem Sterling dan 2 gol oleh Wilfried Bony. Selepas persembahan hambar ketika menentang Newscastle sehingga beliau dikeluarkan, Sterling mempamerkan aksi bernilai £49 juta dengan mencatatkan hatrik BPL pertama beliau.



Perlawanan dimulakan dengan memberi penghormatan terakhir kepada Howard Kendall yang pernah mengurus City pada tahun 1989-1990. Seperti diramalkan Bony turun sebagai penyerang utama namun sedikit perubahan taktikal oleh Pellegrini yang meletakkan Sterling di posisi sentral dan De Bruyne bermain di sayap kiri.

Sabtu, 17 Oktober 2015

Prebiu BPL 2015/16: Manchester City vs AFC Bournemouth


1. Selepas 16 tahun, dua pasukan ini bertemu kembali buat pertama kali. Pertembungan terakhir mereka adalah ketika mereka berdua beraksi di liga Divisyen 2.

2. City kehilangan 2 tonggak utama mereka iaitu Sergio Aguero dan David Silva. Namun begitu krisis lebih besar yang melanda City adalah di posisi bek kiri. 2 pemain bek kiri senior City, Kolarov dan Clichy tiada dalam pilihan kerana turut tercedera.

3. Berkemungkinan besar Bony akan mengisi posisi Aguero sambil De Bruyne mengambil alih peranan Silva. Bek kiri akan terpaksa dimainkan oleh sama ada Sagna atau Zabaleta.


4. Enam pasukan teratas BPL bermain pada hari Sabtu dan dengan hanya 2 mata menjadi pemisah, perlawanan ini mesti dimenangi City sebagai penjana momentum menuju hari derbi Manchester minggu hadapan.

Ramalan Blog Bulan Biru: City 3 - Bournemouth 0

Fakta menarik pra-perlawanan:
  • Bournemouth belum pernah menewaskan City dalam 6 pertemuan mereka (D2 L4).
  • Kali terakhir mereka bertemu pada tahun 1999, Eddie Howe (pengurus Bournemouth kini) masih bermain bersama Bournemouth.
  • Musim ini, kemenangan tunggal di tempat lawan Bournemouth adalah menentang West Ham yang bertanggungjawab kepada kekalahan tunggal di laman sendiri City.
  • Kevin De Bruyne belum pernah menjaringkan gol dalam 4 perlawanan berturutan sama ada di Bundesliga ataupun BPL.
  • City menjaringkan sekurang-kurangnya 2 gol dalam 10 daripada 11 perlawanan BPL terakhir di laman sendiri (semua dimenangi) manakala Bournemouth memboloskan sekurang-kurangnya 2 gol dalam 3 perlawanan BPL terakhir di tempat lawan mereka.
Superbia in proelio - Blog Bulan Biru

Sumber: WhoScored.com, BBC, Daily Mail

Jumaat, 16 Oktober 2015

Hari Derbi Manchester - Kisah Ramli

Sempena hari derbi Manchester yang semakin hampir mari kita imbau kisah Ramli. Kesian.


Superbia in proelio - Blog Bulan Biru

Isnin, 12 Oktober 2015

Kenali City - Manchester City Dan Warna Merah

1. Manchester City memilih warna biru langit semenjak tahun 1894 manakala Manchester United pula memulakan tradisi jersi merah mereka semenjak 1902.


2. Persengketaan di antara dua kelab Manchester yang semakin ketara menjurus kepada sentimen anti warna di kalangan penyokong mereka. Tapi tahukah anda warna merah pernah membawa tuah kepada Manchester City?

3. Pada tahun 1969, penolong pengurus City ketika itu, Malcolm Allison memberi idea supaya City memakai jersi merah dan hitam untuk membawa tuah kepada pasukan City.

4. Warna dan corak merah dan hitam itu diambil daripada pasukan AC Milan.




5. Teori Allison tampak berhasil apabila City memenangi kejuaraan Piala FA 1969, Piala Liga 1970 dan Piala Juara Piala 1970 dengan mengenakan jersi merah dan hitam dalam kesemua perlawanan akhir berbanding warna tradisi mereka iaitu biru langit.


6. Pada musim 2011/12 di mana City memenangi kejuaraan BPL buat kali pertama selepas 44 tahun, jersi kedua mereka adalah jersi merah dan hitam corak ala AC Milan.

Superbia in proelio - Blog Bulan Biru

Ahad, 11 Oktober 2015

Jurnal Peminat - Menyemat Nama Bersama Buku MCFC

Dulu bila Manchester City umum yang para peminat City diberi peluang untuk menyemat nama di dalam buku #Champions: The Sequel, penulis tak fikir panjang dan terus hantar nama. Tapi terasa menyesal pula guna nama samaran (Amin Takumin). Kalau ada peluang lagi musim ni mesti kena pakai nama sebenar. Ada peminat lain yang turut menyemat nama?




Superbia in proelio - Blog Bulan Biru

Kenali City - Pengurus Dua Kelab Manchester

1. James Ernest Mangnall adalah satu-satunya pengurus sehingga ke hari ini yang pernah mengurus kedua-dua kelab Manchester; United dan City.


2. Mangnall mengurus United dari tahun 1903-1912 dan kemudian berpindah mengurus City dari tahun 1912-1924.

3. Sebelum berpindah ke City, perlawanan terakhir Mangnall bersama United adalah perlawanan derbi Manchester di Old Trafford.

4. Mangnall sememangnya sudah mengumumkan akan berpindah ke City selepas perlawanan derbi itu namun yang menjadi tarikan media ketika itu adalah bagaimana Mangnall menpamerkan kegembiraan ke atas kemenangan 0-1 oleh City dalam perlawanan terakhir beliau sebagai pengurus United.

5. Mangnall dikatakan antara pengaruh kuat yang membawa kepada keputusan United berpindah ke Old Trafford pada 1911 dan City berpindah ke Maine Road pada 1923.

Superbia in proelio - Blog Bulan Biru

Rabu, 7 Oktober 2015

Kenali City - Pemain Pertama Wakili City Di Setiap Peringkat Umur

1. George Evans dicanang sebagai pemain pertama mewakili City di semua peringkat umur (U8 - senior).


2. Malangnya fakta itu tidak benar sama sekali. George Evans hanyalah pemain City yang kedua berbuat demikian.

3. Pencapaian bermain di semua peringkat umur bersama City dibuat pada 2010 dahulu oleh Chris Chantler.


4. Chris Chantler membuat penampilan senior ketika menentang Juventus dalam pertandingan Liga Europa.

5. Dikatakan Mancini memberi penampilan senior kepada Chantler sebagai hadiah harijadi beliau yang ke-20.


6. Selepas bersama Manchester City, Chantler berpindah ke Carlisle United dan kemudian ke Kilmarnock. Kini beliau adalah seorang ejen bebas.

Superbia in proelio - Blog Bulan Biru

Ahad, 4 Oktober 2015

BPL 2015/16: Manchester City (6) - Newcastle United (1)

Sambutan Oktoberfest merebak sampai ke Manchester gamaknya sehingga pasukan Newcastle diratah tanpa belas kasihan oleh tuan rumah. Persembahan bertaraf 5 bintang daripada pasukan City dan secara khususnya seorang insan bernama Sergio Aguero memacu kebangkitan City dari ketinggalan untuk menang selesa 6-1. Aguero turut melakar sejarah sebagai pemain ke-5 menjaringkan 5 gol dalam satu perlawanan BPL dan juga mencipta rekod baru BPL pemain terpantas menjaringkan 5 gol dalam satu perlawanan.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.