Jumaat, 25 Disember 2015

Kenali City - Sekuntum Mawar Merah

Antara perkara yang paling mengujakan para peminat Manchester City ialah kembalinya simbol mawar merah ke dalam lencana kelab.



Mawar merah ini dikenali sebagai Lancashire Rose. Simbol ini kebiasaannya digunakan oleh pasukan bolasepak yang berada dalam jajahan takluk Lancashire di zaman dahulukala (sekarang jajahan Lancashire dah mengecut banyak).


Manchester City pernah menggunakan simbol ini dalam lencana mereka di antara tahun 1972 hingga 1997.


Simbol ini membawa elemen sejarah terutama sekali apabila pasukan Lancashire bertemu dengan pasukan dari jajahan Yorkshire kerana peristiwa Peperangan Ros di abad ke-15 dulu. Lancashire menggunakan lambang mawar merah manakala Yorkshire menggunakan mawar putih. Sentimen pergeseran ini masih terbawa-bawa ke hari moden dan antara pertembungan Dua Mawar yang paling popular di arena bolasepak Inggeris adalah di antara Manchester United (Lancashire) dan Leeds United (Yorkshire).


Berikut adalah contoh-contoh lencana kelab Lancashire yang masih dan pernah menerapkan simbol mawar merah ini:

Sabtu, 5 Disember 2015

Prebiu BPL 2015/16: Stoke City vs Manchester City

  • Hart sudah kembali berlatih bersama pasukan. Tetapi adakah beliau sudah cukup cergas untuk bermula kita nantikan malam nanti.
  • Tiada Mangala dalam senarai pilihan kerana digantung perlawanan. Ini bermakna Demichelis akan diturunkan bergandingan dengan rakan senegara, Nicolas Otamendi. Perlindungan ekstra daripada bahagian tengah diperlukan untuk menutup sebarang ruang di bahagian belakang City.
  • Tiada Toure kerana beliau mengalami kecederaan otot dan ini bererti sekali lagi Fernandinho akan bersama-sama Delph di bahagian tengah sentral. Bagaimanakah prestasi Duo Dinamik ini nanti selepas 2 perlawanan sebelum ini City menang bergaya dengan gandingan mereka berdua.
  • Aguero masih belum pulih daripada kecederaan tumit dan Bony diberikan amanah mengemudi bahagian serangan.
Seleksi Bulan Biru
Fakta menarik pra-perlawanan:
  • Stoke hanya berjaya menang sekali ke atas Manchetser City dalam 12 pertemuan BPL terakhir di antara mereka.
  • 5 daripada 6 pertembungan terakhir di Stadium Britannia berakhir dengan keputusan seri.
  • Stoke adalah penjaring gol terendah BPL musim ini dengan 11 gol dalam 14 perlawanan.
  • Stoke berjaya mencatat 5 gawang bersih dalam 7 perlawanan BPL terakhir mereka.
  • City kini gagal menang dalam 3 perlawanan BPL terakhir di tempat lawan.
Superbia in proelio - Blog Bulan Biru

Sabtu, 28 November 2015

Prebiu BPL 2015/16: Manchester City vs Southampton


Fakta menarik pra-perlawanan:
  • Manchester City tidak tewas kepada Southampon dalam 4 pertemuan terakhir.
  • Southampton tewas dalam 5 lawatan terakhir ke Etihad di semua pertandingan.
  • Kali terakhir City tewas lebih 2 perlawanan BPL di laman sendiri adalah pada musim 2009/10.
  • Penampilan BPL terakhir Richard Wright yang akan mengisi bangku simpanan City hari ini ialah pada November 2006, hampir sedekad yang lalu.
Superbia in proelio - Blog Bulan Biru

Isnin, 23 November 2015

Kenali City - Pemain Kelas '92 Yang Terpinggir


Namakan seorang pemain Manchester City berdasarkan gambar di atas. (10 markah)

Sabtu, 21 November 2015

Prebiu BPL 2015/16: Manchester City vs Liverpool

*Berkemungkinan besar ini adalah entri terakhir berkenaan perlawanan City di dalam Blog Bulan Biru. Blog ini akan lebih tertumpu kepada entri fakta dan kupasan menarik berkenaan City selepas ini. Sila lawati kolum Bulan Biru di laman rasmi MCFC berbahasa Melayu untuk laporan perlawanan City di masa hadapan.


Selamat kembali kepada para pemain dan peminat BPL selepas aksi perlawanan antarabangsa. Manchester City akan menanti kunjungan daripada pasukan berbaju merah, Liverpool. Tumpuan perlawanan semestinya terletak kepada Raheem Sterling yang akan berdepan majikan lamanya buat pertama kali. Adakah Sterling memiliki daya tahan mental yang padu untuk berdepan cemuhan daripada penyokong The Reds yang akan hadir nanti?

Khamis, 12 November 2015

Kenali City - Pemegang Gelaran Juara Yang Tersingkir

Krisis melanda Chelsea pada musim 2015/16. Sang juara bertahan terpaksa menginap di tangga ke-16 selepas tewas 7 kali dalam 12 perlawanan pertama musim. Kali terakhir Chelsea mencatat statistik sedemikian adalah pada musim 1978/79 dan mereka kemudian tersingkir di akhir musim.


Maka seronoklah para peminat pasukan lain menjadikan Chelsea sebagai bahan tawa dan jenaka di alam nyata mahupun maya. Peminat City pun apa kurangnya turut tumpang sekaki mengusik nasib Chelsea. Amboi amboi amboi seronok betul para peminat City tapi walaupun andai betul Chelsea tersingkir di akhir musim, mereka hanyalah kelab kedua yang membuat pencapaian menjadi juara bertahan yang tersingkir.

Jadi kelab mana yang begitu malang memegang gelaran juara bertahan pertama yang tersingkir? Siapa lagi kalau bukan Manchester "Typical" City. Sehingga ke hari ini Manchester City adalah dan masih lagi satu-satunya pasukan yang tersingkir dari liga tertinggi Inggeris (1937/38) selepas menjuarainya pada musim sebelumnya (1936/37). Apa yang lebih menarik ialah City tersingkir bukan setakat sebagai juara bertahan malah mereka juga tersingkir sambil mencatatkan jaringan gol tertinggi musim itu (80 gol).

Divisyen 1 1937/38
Divisyen 1 1936/37
Namun perlu diingatkan ini adalah ketika zaman kiraan menang hanya diberi 2 mata. Di manakah kedudukan City jika sistem kiraan moden (3 mata) digunakan?


Superbia in proelio - Blog Bulan Biru

Sumber rujukan: Wikipedia

Sabtu, 7 November 2015

Prebiu BPL 2015/16: Aston Villa vs Manchester City

2 minggu ni penulis sibuk betul outstation. Minggu lepas Bukit Tinggi, minggu ni Legoland pula. Jadi sajalah nak cakap tak ada masa nak buat analisa pra-perlawanan. Layan.



Ramalan Blog Bulan Biru: Villa 0 - City 3

Fakta menarik pra-perlawanan:
  • City menang 7 daripada 8 perlawanan BPL terakhir menentang Villa. 
  • Villa adalah lawan kegemaran City. Rekod kemenangan BPL tertinggi City adalah menentang Villa iaitu 21 kemenangan.
  • Andai City menang, Villa akan kalah 8 perlawanan berturutan buat pertama kali dalam sejarah BPL mereka.
  • Rekod terburuk kalah berturutan Villa ialah 11 perlawanan pada 1963. Rekod itu berakhir apabila mereka menewaskan City di laman sendiri.
  • Remi Grande akan menjadi pengurus Perancis ke-6 mengendalikan perlawanan BPL selepas Arsene Wenger, Gerard Houllier, Jean Tigana, Jacques Santini dan Alain Perrin.
  • Pertahanan City adalah yang terkental dalam BPL musim ini. Mereka hanya membenarkan lawan membuat 28 cubaan gol.
  • 5 pemain yang sudah menjaringkan gol BPL untuk City dan Villa ialah Milner, Vassell, Dunne, Ireland dan Barry. Harap-harap Micah Richards tidak menyenaraikan diri dalam senarai ini nanti. 
Superbia in proelio - Blog Bulan Biru

Rabu, 4 November 2015

UCL 2015/16: Sevilla (1) - Manchester City (3)

2 gol awal Sterling dan Fernandinho memudahkan City melakar jalan ke pusingan kedua UCL. Manchester City menjadi kelab Inggeris pertama berbuat demikian musim ini selepas menewaskan juara bertahan Liga Europa, Sevilla 1-3 di stadium Ramon Sanchez Pizjuan. Tiada gol saat akhir kali ini dengan kesemua 4 gol dijaringkan dalam 36 minit pertama permainan. Walaupun tanpa Aguero dan Silva, City mempamerkan penguasaan dengan persembahan mantap Sterling, Fernandinho dan Fernando.

Selasa, 3 November 2015

Prebiu UCL 2015/16: Sevilla vs Manchester City

Seperti sirih pulang ke gagang, Jesus Navas si anak Sevilla yang hilang akan kembali ke stadium yang sekian lama menjadi rumah bolasepak beliau untuk berhadapan bekas pasukan. Di pertemuan terakhir, jaringan gol saat akhir Kevin De Bruyne menjadi pemisah di antara City dan Sevilla. City semestinya menetapkan sasaran 3 mata kerana andai City dan Juventus menang hari ini mereka berdua akan layak ke pusingan seterusnya. Walaupun secara matematiknya Sevilla masih boleh mengejar mata City sekiranya City tewas dua baki perlawanan dan Sevilla menang dua baki perlawanan mereka, regulasi UEFA akan memihak kepada City.


Para peminat City terpaksa terus merindui pemain-pemain azimat Aguero, Silva, Nasri dan Zabaleta yang masih belum pulih dari kecederaan. Iheanacho juga tidak dapat diturunkan kerana tidak berdaftar dalam senarai pemain pilihan UCL. Ini bermakna Sterling akan mendapatkan kembali tempat beliau di dalam kesebelasan utama selepas tidak dimulakan ketika menentang Norwich Sabtu lalu. Namun ada berita baik dengan kembalinya Clichy dan Delph di dalam sessi latihan bersama pasukan.


Di pihak Sevilla pula, mereka terpaksa turun tanpa penyerang utama Kevin Gameiro. Namun pemain yang akan menggantikan Gameiro bukanlah calang-calang orangnya. Pemain itu pernah dikait hebat untuk menyertai City suatu ketika dahulu iaitu Fernando Llorente. Seorang lagi pemain Sevilla yang kini digosipkan dengan City; Ever Banega mungkin tidak dapat diturunkan bersama-sama Pareja dan Carrico.

Bertandang ke rumah orang dan menang bukanlah sesuatu yang mudah tetapi momentum yang dimiliki City kini memberi sedikit kelebihan kepada mereka.

Ramalan Blog Bulan Biru: Sevilla 0 - City 2

Fakta menarik pra-perlawanan:
  • Sevilla belum pernah tewas di laman sendiri dalam peringkat kumpulan UCL (W6 D1).
  • Ini adalah perlawanan UCL ke-60 Manuel Pellegrini (W23 D20 L16).
  • City gagal mencatat gawang bersih dalam 17 daripada 18 perlawanan UCL terakhir mereka.
  • Tiada lawan yang pernah bertandang ke Sevilla dalam pertandingan benua pulang tanpa bolos.
Superbia in proelio - Blog Bulan Biru

Ahad, 1 November 2015

BPL 2015/16: Manchester City (2) - Norwich City (1)

Kalau tiada drama bukanlah Manchester City namanya. Perjalanan pelawanan yang aman damai bak drama soap opera tiba-tiba bertukar menjadi drama aksi penuh debaran pada 10 minit terakhir hasil kesilapan individu di kedua-dua pihak sebelum menyaksikan City menundukkan Norwich 2-1 di stadium Etihad.

Rabu, 28 Oktober 2015

Prebiu COC 2015/16: Manchester City vs Crystal Palace

Arsenal dan Chelsea menjadi mangsa medan Piala Liga musim ini. Hari ini, City menanti kunjungan Crystal Palace untuk mencari tempat ke suku akhir pertandingan ini. Dalam pertembungan terakhir di antara mereka, bintang muda City Kelechi Iheanacho telah menjadi wira dengan jaringan saat akhir. Adakah beliau akan menghantui Palace sekali lagi?


Dengan jadual yang menanti City selepas perlawanan ini, semestinya Pellegrini akan membuat beberapa rombakan dalam pemilihan beliau. Aguero masih tercedera. Samir Nasri dan David Silva sudah mula membuat latihan namun belum cukup cergas untuk diturunkan. Fernandinho pula digantung untuk perlawanan ini. Piala Liga memang medan yang cukup sesuai untuk pemain-pemain muda mendapatkan pengalaman. Iheanacho barangkali akan diturunkan dalam kesebelasan utama namun mungkin bukan sebagai penyerang tetapi di bahagian sayap. Zabaleta dan Caballero juga akan diberi peluang untuk bermain dalam perlawanan ini. Jangkakan kemunculan George Evans, Manu Garcia dan Patrick Roberts dalam perlawanan ini nanti.


Ancaman Palace akan hadir daripada Cabaye di bahagian tengah dan Dwight Gayle di bahagian serangan. Mungkin satu kelebihan buat City dengan ketiadaan bek kiri lincah Palace; Pape Souare, Jesus Navas boleh mengganas di sayap kanan.

Ramalan Blog Bulan Biru: City 3 - Palace 0

Fakta menarik pra-perlawanan:
  • Kali terakhir Palace menewaskan City di Manchester adalah pada tahun 1990.
Superbia in proelio - Blog Bulan Biru

Isnin, 26 Oktober 2015

BPL 2015/16: Manchester United (0) - Manchester City (0)

Takhta liga Manchester City sambar selepas derbi Manchester yang hambar. Kini berkongsi mata bersama Arsenal dengan hanya perbezaan gol memberi kelebihan kepada City. Hanya itulah sahaja yang boleh dibanggakan oleh peminat City selepas menyaksikan keputusan 0-0 dalam antara perlawanan derbi Manchester yang paling anti-klimaks dalam sejarah BPL.


Tiada sesiapa yang boleh merebut hak berbangga di Manchester. Aksi hangat yang menjadi hidangan kebiasaan dalam derbi Manchester tidak kelihatan dalam perlawanan derbi Manchester ke-170. Ketumpulan barisan serangan kedua-dua pihak menyaksikan percubaan tepat pertama perlawanan hanya hadir selepas 82 minit permainan. Atau mungkin juga kerana kedua-dua pasukan mempamerkan disiplin pertahanan yang ketat sehinggakan perlawanan menjadi sebegitu rupa. Pasukan City boleh berasa lega dengan 1 mata kerana United terlepas beberapa peluang keemasan seperti percubaan Lingard yang terkena palang dan tendangan Smalling yang diselamatkan Hart.

Ahad, 25 Oktober 2015

Prebiu BPL 2015/16: Manchester United vs Manchester City

Pintu Old Trafford diketuk jiran. City datang bukan sekadar mahu bertanya, "Apa khabar?". Malahan hakmilik Manchester menjadi taruhan. Keputusan seri sudah memadai buat City merampas kembali takhta liga yang terkini dihuni Arsenal. Kalah atau menang boleh melihat salah satu pasukan Manchester berada di sana. Namun itu bukan persoalan utama. Persoalan utamanya ialah, "Pada esok hari, adakah Manchester itu biru ataupun merah?".



Hari Derbi Manchester Ke-170 - Fakta dan Angka


1. Rekod derbi Manchester setakat ini:
  • Dimenangi United: 70
  • Seri: 50
  • Dimenangi City: 49
2. Rekod BPL derbi Manchester:
  • Dimenangi United: 19
  • Seri: 6
  • Dimenangi City: 11
3. Rekod BPL derbi Manchester di Old Trafford:
  • Dimenangi United: 10
  • Seri: 4
  • Dimenangi City: 4
4. Penjaring terbanyak dalam sejarah derbi Manchester ialah Wayne Rooney iaitu 11 gol. Ini diikuti 2 pemain Manchester City iaitu Joe Hayes dan Francis Lee masing-masing dengan rekod 10 gol derbi.
5. Manchester City memenangi 6 daripada 8 perlawanan derbi terakhir. Satu rekod yang boleh dibanggakan memandangkan sebelum itu City hanya menang 6 daripada 42 perlawanan derbi.
6. 12 perlawanan terakhir derbi Manchester tidak ada yang berakhir dengan keputusan seri (United 5 - City 7).
7. David De Gea melepaskan 25 gol dalam 10 pertemuan derbi. Secara statistik beliau adalah penjaga gol terburuk dalam sejarah derbi Manchester.


Superbia in proelio - Blog Bulan Biru

Sumber: Mirror, SportingLife, Twitter

Jumaat, 23 Oktober 2015

UCL 2015/16: Manchester City (2) - Sevilla (1)

*Nota: Maaf atas kelewatan. Telefon dan komputer penulis rosak serentak.

Pembelian Kevin De Bruyne kini dirasakan tepat dan berbaloi sekali selepas gol beliau di masa tambahan memastikan 3 mata berharga milik City dalam pertembungan UCL kumpulan D menentang Sevilla. Buat kali ketiga berturutan perlawanan UCL City tamat dengan jaringan 2-1 namun 2 daripada 3 perlawanan itu berpihak kepada City untuk mengumpul 6 mata, 1 mata di belakang pendahulu kumpulan; Juventus.


City menghadapi perlawanan ini dengan misi mencari 3 mata pertama di laman sendiri. Keputusan seri atau kalah akan menyukarkan langkah mereka ke pusingan seterusnya lebih-lebih lagi mereka perlu pergi ke tempat lawan di pusingan kedua kumpulan.

Rabu, 21 Oktober 2015

Prebiu UCL 2015/16: Manchester City vs Sevilla

Buat julung kalinya, Sevilla akan menapakkan kaki ke Stadium Etihad untuk bertemu Manchester City. Belum pernah bersua muka sebelum ini, satu-satunya hubungan City dan Sevilla adalah pada pemain sayap kanan Jesus Navas yang bermain untuk Sevilla dari 2003-2013.


Mangala dan Nasri kini menyertai angkatan pemain tercedera City. Dengan itu, Kompany dijangka bergandingan bersama Otamendi di pertahanan tengah. Krisis bek kiri hujung minggu lalu mungkin sedikit reda apabila Kolarov dilihat sudah mula berlatih bersama pasukan. Namun jika beliau belum bersedia, Sagna sekali lagi akan menggalas tugas di posisi itu. Prestasi mantap Sterling bermain posisi sentral semestinya menjamin peranan beliau di bahagian tengah hari ini sambil Bony mengepalai bahagian serangan. Di sayap kanan, Jesus Navas akan berdepan bekas pasukan beliau.


Biarpun prestasi Sevilla di liga Sepanyol kurang memberansangkan, mereka tidak boleh dipandang enteng. Kalau tidak masakan mereka boleh menyandang kejuaraan Liga Europa musim lepas? Banega, Vitolo dan Krychowiak adalah antara ancaman utama Sevilla yang perlu ditangani City.

Ramalan Blog Bulan Biru: City 2 - Sevilla 1

Fakta menarik pra-perlawanan:
  • Selepas memulakan musim dengan 5 perlawanan tanpa bolos, City kini bolos dalam setiap 7 perlawanan terakhir mereka.
  • Walaupun Sevilla hanya menang 2 daripada 8 perlawanan liga mereka musim ini. 2 kemenangan itu adalah dari 2 perlawanan terakhir liga dan mereka sedang menjana momentum.
  • Prestasi City di Etihad dalam bulan Oktober sangat memberansangkan dengan kemenangan besar 6-1 dan 5-1 ke atas Newcastle dan Bournemouth.

Superbia in proelio - Blog Bulan Biru

Selasa, 20 Oktober 2015

Kenali City - Apa Itu Corak Gingham?

Antara elemen yang mempunyai nilai sejarah mendalam di Manchester ialah corak gingham. Jadi apa itu corak gingham dan apa pula kaitannya dengan Manchester?

  • Perkataan 'gingham' itu berasal daripada bahasa Melayu 'ginggang' yang merujuk kepada kain bercorak jalur, dam atau petak-petak.
  • Di pertengahan kurun ke-18, bandar Manchester menjadi pusat pengeluar utama fabrik gingham bercorak dam.
  • Warna pilihan paling popular di zaman itu adalah fabrik gingham berwarna biru dan putih. Berkemungkinan besar fakta inilah yang membawa kepada pemilihan warna biru sebagai warna tradisi Manchester City.
  • Semasa City bergelar Ardwick mereka mengenakan jersi berwarna biru dan putih sebelum City beralih kepada warna jersi biru sepenuhnya.
Jersi Kelab Bola Sepak Ardwick (pra-Manchester City)
  • Pengaruh corak gingham boleh dilihat pada reka corak jersi City tahun 1987-89 dan 1995-97.
                                   Jersi 1987-89                                   
Jersi 1995-97
  • Terbaru jika ada peminat yang perasan, corak gingham digunakan dalam reka corak jersi laman sendiri dan rangkaian fesyen City musim 2011/12.
Corak gingham di bahagian kolar jersi laman sendiri 2011/12
Corak gingham di bahagian kolar baju polo City 2011/12
Corak gingham pada tulisan "Manchester City"
Corak gingham pada jersi latihan 2011/12
  • Di musim berikutnya, Manchester United pula menerapkan corak gingham pada reka corak jersi mereka yang mendapat jolokan "jersi alas meja".

- Blog Bulan Biru

Isnin, 19 Oktober 2015

Kenali City - Biru Langit vs Biru Laser


Dalam soal selidik perihal pilihan warna lencana baru Manchester City, terdapat tiga pilihan biru iaitu Biru City (City Blue), Biru Laser (Laser Blue) dan Biru Tua (Dark Blue). Mari kita lihat sejarah biru langit dan biru laser Manchester City:
  • Biru City atau Biru Langit adalah warna biru tradisi City yang mula digunakan semenjak 1890-an.
  • Bermula musim 1997/98, City memperkenalkan warna Biru Laser pada reka corak jersi mereka.
  • Warna biru laser digunakan City sehingga musim 2002/03 sebelum City kembali kepada biru langit sampailah ke hari ini.
Colin Bell dan jersi biru langit City
Shaun Goater memakai jersi biru laser
Anelka kembali kepada warna tradisi City
- Blog Bulan Biru

Jurnal Peminat - Konsultasi Lencana MCFC

Sebagai seorang ahli Cityzen, penulis diberi peluang untuk terlibat dalam konsultasi lencana baru Manchester City. Ahli-ahli Cityzen diberikan pautan soal selidik untuk dijawab. Secara rumusannya, penulis menekankan beberapa aspek berkenaan lencana baru City:

  • Elemen "Blue Moon" mesti diterapkan
  • Elemen tradisi dan sejarah Manchester seperti industri perkapalan, industri fabrik dan mawar merah Lancashire mesti diberi keutamaan
  • Buang 3 bintang perhiasan dalam lencana terkini
  • Kekalkan elemen helang emas jika boleh

Berikut penulis kongsikan jawapan penulis untuk soal selidik lencana baru City:




Jurnal Peminat - Jersi MCFC Bertandatangan David Silva

Sempena Hari Kemerdekaan Malaysia yang lepas, pihak MCFCMalay telah menganjurkan satu pertandingan mencipta slogan #MerdekaCity. Hadiah yang ditawarkan? Sehelai jersi City laman sendiri musim 2015/16 yang ditandatangan oleh midfield maestro Manchester City, "Merlin", "The Magician"; tidak lain dan tidak bukan David Silva! Teruja dengan hadiah teristimewa itu, penulis terus menggerudi otak mencari idea mencipta slogan-slogan kreatif. Sehingga ke tarikh tamat pertandingan penulis tidak henti-henti menghantar slogan kepada MCFCMalay demi mencuba nasib. Gembiranya bukan kepalang apabila keputusan diumumkan, slogan penulis telah terpilih sebagai pemenang.


Slogan yang terpilih berbunyi "Pride with all our hearts, battle with all our souls, together as one". Slogan ini tercipta hasil gabungan motto Manchester City "Superbia in proelio" dan tema Hari Kemerdekaan Malaysia 2015 iaitu "Sehati Sejiwa". "Superbia in proelio" diterjemahkan ke bahasa Inggeris berbunyi "Pride in battle" dan "Sehati Sejiwa" pula diterjemah kepada "One Heart, One Soul". Lalu perkataan "Pride" digabungkan dengan "Heart" menjadi "Pride with all our hearts" dan perkataan "Battle" digabungkan dengan "Soul" menjadi "Battle with all our souls". Manakala penghujung slogan yang berbunyi "Together as one" penulis cedok daripada motto lama syarikat sambil turut membuat rujukan kepada kempen #TOGETHER yang didukung Manchester City.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.