*Nota: Maaf atas kelewatan. Telefon dan komputer penulis rosak serentak.
Pembelian Kevin De Bruyne kini dirasakan tepat dan berbaloi sekali selepas gol beliau di masa tambahan memastikan 3 mata berharga milik City dalam pertembungan UCL kumpulan D menentang Sevilla. Buat kali ketiga berturutan perlawanan UCL City tamat dengan jaringan 2-1 namun 2 daripada 3 perlawanan itu berpihak kepada City untuk mengumpul 6 mata, 1 mata di belakang pendahulu kumpulan; Juventus.
City menghadapi perlawanan ini dengan misi mencari 3 mata pertama di laman sendiri. Keputusan seri atau kalah akan menyukarkan langkah mereka ke pusingan seterusnya lebih-lebih lagi mereka perlu pergi ke tempat lawan di pusingan kedua kumpulan.
Kegugupan City bermain di peringkat benua sekali lagi diserlahkan pihak lawan. Keputusan bermain formasi 4-4-2 dengan meletakkan Sterling di bahagian serangan dan bukan di bahagian tengah membiarkan formasi tengah City menjadi longgar. Lebih-lebih lagi apabila Sevilla bermain dengan formasi yang padat, pasukan City sukar menyimpan posesi bola dan mengawal permainan. Sebaliknya Sevilla yang lebih banyak mengancam di majoriti perlawanan dengan tekanan mereka dari sayap kanan. Ketiadaan pemain bek kiri sejati dalam kesebelasan utama City menampakkan kebocoran pertahanan di kawasan itu. Sagna beberapa kali terperangkap lari dari posisi dan lawan mudah melepasi beliau. Ini tidak dibantu koordinasi Mangala dan Otamendi yang kadang kala tidak selari
City bermula dengan baik melalui beberapa percubaan yang dilakukan Navas, Bony dan De Bruyne namun tiada percubaan yang betul-betul berbahaya dan menguji Sergio Rico di gawang Sevilla. Semakin perlawanan masuk ke tempoh matang, Sevilla sudah mula membaca rentak City dan mengatur ancaman mereka sendiri. Sevilla terlebih dahulu mendapat peluang terbaik memecah kebuntuan apabila memaksa Hart membuat tampanan berganda dari percubaan sepakan bebas Sevilla. Percubaan pertama Sevilla ditepis sedikit mengenai palang dan rembatan susulan selepas itu ditampan keluar oleh Hart. Daripada sepakan penjuru Sevilla, Sagna pula menjadi wira selepas bola melepasi jangkauan Hart. City tidak hanya berdiam diri dan bola cubaan Toure hanya sedikit sahaja tinggi mencium palang selepas terbias pemain Sevilla sambil Rico sudah terpaku di gol.
Di minit ke-30 akhirnya Sevilla mendapatkan gol pertama perlawanan dan tidak hairanlah ia hadir dari sebelah kiri City. Kegagalan 3 pemain City menangani sepakan penjuru pendek Sevilla membiarkan Vitolo terlolos ke kotak penalti dan hantaran silang beliau berjaya mencari Konoplyanka yang mudah menjaringkan gol.
Satu perasaan kesegeraan terus meyeliputi pemain City yang mahu mencari gol penyamaan. Tempo permainan menjadi lebih pantas dan percubaan ke gol lawan digandakan City. Tidak sia-sia tekanan mereka apabila 6 minit kemudian jaringan menjadi 1-1. De Bruyne merampas bola di bulatan tengah padang dan memberi bola Toure yang mengorak langkah kereta kebal beliau ke kawasan Sevilla. Selepas bertukar hantaran bersama Navas, Toure mempamerkan kekuatan fizikal beliau menewaskan pertahanan Sevilla dan menghantar silang ke tengah kotak penalti. Raheem Sterling yang menunggu merembat deras tapi tepat kepada Rico. Bola yang tertampan bebas direbut oleh Bony dan Rami. Sentuhan Bony untuk membuat percubaan terbias kaki Rami lalu bola menyelinap ke dalam gol untuk satu gol sendiri.
Walaupun berjaya menjaringkan gol, Sevilla masih lagi memegang momentum perlawanan dan City agak bernasib baik selepas itu kerana Gameiro terlepas beberapa peluang terbuka untuk menjaringkan gol.
Kepincangan pertahanan City di bek kiri disedari Pellegrini dan pada minit ke-60 beliau membawa masuk Kolarov untuk menggantikan Zabaleta. Ini membolehkan Sagna kembali ke posisi semulajadi beliau di bek kanan. Ini juga satu pertukaran taktikal kerana Kolarov membawa masuk elemen menyerang dengan hantaran lintang bahaya beliau. Hampir sekali strategi ini membuahkan hasil apabila Kolarov berjaya mencari De Bruyne bebas di kotak penalti Sevilla namun De Bruyne mengambil langkah terlalu lama untuk membuat percubaan dan peluang pun terlepas.
City masih sukar mengawal permainan di bahagian tengah. Formasi Sevilla yang padat memaksa City lebih banyak berrmain di bahagian sayap. Manakala Sevilla sekali lagi mula mengumpul tekanan momentum menekan gawang City. Ini akhirnya memaksa Pellegrini membuat satu lagi pertukaran taktikal dengan mengeluarkan satu-satunya pemain penyerang City iaitu Wilfried Bony dan memasukkan Fernando pada minit ke-75. Pertarungan bola di bahagian tengah mesti dimenangi. Itulah aspirasi Pellegrini dan perlawanan mulai menjadi stabil. Menuju tamat tempoh, tiada ancaman berbahaya dilakukan kedua-dua pasukan dan 1 mata hampir pasti dikongsi bersama. Namun di minit pertama masa tambahan, bola ancaman Sevilla yang dikeluarkan City jatuh kepada Navas. Walaupun dapat dilihat kaki beliau terseliuh semasa menahan bola, Navas sempat memberi bola kepada Toure yang terus mara ke hadapan. Serang kilas ini melihat pertembungan 3 lawan 4. De Bruyne di bahagian kanan dan Sterling menanti di kiri. Toure memilih untuk menghantar bola kepada De Bruyne. De Bruyne dengan tenang mencari peluang melepaskan tendangan dan apabila peluang itu terhidu De Bruyne terus membuat tendangan leret dengan kaki kiri menewaskan Rico yang terpana untuk City merampas 3 mata penuh.
Sama seperti keputusan di Monchengladbach, City bangkit daripada ketinggalan dan memenangi perlawanan dengan gol di saat akhir.
Fakta menarik perlawanan:
- Gol kemenangan City jaringan De Bruyne adalah gol pertama beliau dalam pertandingan UCL.
- Sevilla belum pernah menewaskan lawan di bumi England (D2 L2).
- Kemenangan ini melihat rekod 100% dipegang oleh City sepanjang bulan Oktober.
- Ini adalah kemenangan pertama City dalam 6 perlawanan menentang lawan dari Sepanyol.
Superbia in proelio - Blog Bulan Biru
Sumber: Siaran langsung Astro, BBC