Pintu Old Trafford diketuk jiran. City datang bukan sekadar mahu bertanya, "Apa khabar?". Malahan hakmilik Manchester menjadi taruhan. Keputusan seri sudah memadai buat City merampas kembali takhta liga yang terkini dihuni Arsenal. Kalah atau menang boleh melihat salah satu pasukan Manchester berada di sana. Namun itu bukan persoalan utama. Persoalan utamanya ialah, "Pada esok hari, adakah Manchester itu biru ataupun merah?".
Aguero masih lagi belum pulih daripada kecederaan. Namun ada berita baik bila Silva dikhabarkan mungkin sempat pulih untuk tersenarai dalam senarai pilihan. Penulis tak menjangkakan Silva akan tersenarai dalam kesebelasan utama tapi sekadar di bangku simpanan. Bahagian pertahanan akan diperkukuhkan oleh Vincent Kompany yang rasanya sudah cukup cergas kembali untuk bergandingan bersama Otamendi.
Keputusan Pellegiri meletakkan Sterling di posisi penyerang pada perlawanan Sevilla yang lalu tidak berhasil. Penulis berpandangan memang Sterling lebih menyerlah di bahagian sentral tetapi hanya sebagai pemain tengah dan bukannya sebagai penyerang. Formasi 4-4-2 juga dilihat tidak sesuai untuk berdepan pasukan United yang kebiasaannya bermain dengan 5 pemain tengah. Ini akan menyukarkan City untuk memenangi pertarungan di bahagian tengah dan menguasai perlawanan. Oleh itu formasi 4-2-3-1/4-5-1 seperti yang digunakan semasa berdepan Bournemouth adalah yang paling sesuai. Namun timbul pula persoalan kebolehan Bony untuk mengemudi bahagian serangan City lebih-lebih lagi untuk perlawanan penting dan besar seperti derbi Manchester. Tidak hairanlah desas-desus City akan bermain dengan formasi tanpa penyerang dan menggunakan 9-palsu ada kedengaran di ruang siber. Dikhabarkan peranan 9-palsu itu bakal digalas oleh De Bruyne. Apapun yang pasti pertarungan bahagian tengah akan menentukan keputusan akhir hari ini.
United menunggu kehadiran City dengan skuad terkuat mereka. Tiada kecederaan besar yang sedang ditanggung mereka. Ancaman Mata, Herrera dan Rooney di bahagian tengah menjadi cabaran besar buat pertahanan City. Di bahagian serangan United pula, Anthony Martial mesti dikawal rapi kerana kebolehan beliau mencari ruang kosong dan membuat percubaan tak terjangka.
Ramalan Blog Bulan Biru: United 1 - City 2
Fakta menarik perlawanan:
- United tak tertewas dalam 11 daripada 12 perlawanan BPL terakhir di laman sendiri.
- City menang 5 dan tewas 5 dalam 10 perlawanan BPL terakhir di tempat lawan.
- City mencari kemenangan derbi ke-50 mereka.
- City adalah penjaring terbanyak BPL musim ini dengan 24 gol. 11 gol dicatatkan dalam 2 perlawanan terakhir mereka.
- City masih belum tewas di bulan Oktober.
Superbia in proelio - Blog Bulan Biru