Ahad, 4 Oktober 2015

BPL 2015/16: Manchester City (6) - Newcastle United (1)

Sambutan Oktoberfest merebak sampai ke Manchester gamaknya sehingga pasukan Newcastle diratah tanpa belas kasihan oleh tuan rumah. Persembahan bertaraf 5 bintang daripada pasukan City dan secara khususnya seorang insan bernama Sergio Aguero memacu kebangkitan City dari ketinggalan untuk menang selesa 6-1. Aguero turut melakar sejarah sebagai pemain ke-5 menjaringkan 5 gol dalam satu perlawanan BPL dan juga mencipta rekod baru BPL pemain terpantas menjaringkan 5 gol dalam satu perlawanan.



Keputusan akhir 6-1 hampir serupa dengan kemenangan 5-0 yang dikecap City dalam pertembungan sama musim lepas tetapi hakikatnya permainannya ternyata berbeza. Musim lalu City mendominasi permainan dari minit pertama hingga ke hujung tetapi tidak kali ini. 2 permainan berbeza dapat ditonton di kedua separuh masa.

Di separuh pertama, permainan City tidak begitu menjadi dan sebaliknya Newcastle yang berpeluang memperoleh kelebihan besar. Begitupun peluang gol pertama jatuh kepada City dari satu sepakan bebas De Bruyne. Walaupun ditampan Krul, Silva berjaya mengejar dan menghantar kembali ke kawasan bahaya. Sayang sekali Fernando gagal menolak bola masuk ke dalam gol dan gawang Newcastle terselamat.

City bermain agak kasual selepas itu dan sekali lagi mereka terhukum kerana itu. Di minit ke-18, Mangala berjaya menampan bola yang dihantar ke kawasan penalti City tetapi bola hanya sampai kepada Wijnaldum yang mendapat ruang selesa di dalam kotak penalti untuk membuat hantaran kepada Mitrovic yang menanduk masuk gol BPL pertama beliau.



Tersentak dengan gol itu, pemain City agak haru-biru dan mempersembahkan beberapa peluang kepada Newcastle. Mitrovic sepatutnya boleh mencatatkan hatrik apabila melepaskan 2 peluang keemasan. Pertamanya tandukan beliau melewati palang dan yang keduanya apabila berhadapan dengan Joe Hart selepas perangkap ofsaid City digagalkan. Mujurlah Joe Hart menggunakan Hikmat Lompatan Tapak Sulaiman beliau untuk menggagalkan Mitrovic.

Serangan City serba tidak menjadi. Aguero masih tercari-cari sasaran manakala hantaran Silva, Sterling dan De Bruyne tidak kesampaian. City mula dilanda kebuntuan sehinggalah ke minit ke-42 satu rutin sepakan penjuru City yang kemas berjaya merungkai tembok Newcastle. Dari satu sepakan penjuru yang pendek, Silva melambung bola melepasi baris pertahanan Newcastle dan menjumpai Fernandinho yang menanduk bola kepada Aguero untuk menjaringkan gol penyamaan.



City lega memasuki rehat separuh masa dengan jaringan 1-1. Namun sesuatu harus dilakukan untuk memperbaiki permainan tengah yang longlai. Jika Toure dikeluarkan ketika perlawanan Monchengladbach kini giliran Sterling pula dibawa keluar oleh Pellegrini di separuh masa. Prestasi Sterling sememangnya agak hambar dan tidak banyak membawa ancaman kepada pihak lawan. Sebagai ganti Navas dibawa masuk mengisi ruang sayap kanan manakala De Bruyne dan Silva berlegar bebas di bahagian tengah.

Taktik baru ini segera membuahkan hasil di minit ke-49 apabila De Bruyne berjaya merampas bola di kawasan Newcastle. Silva kemudian segera menghantar kepada Aguero. Aguero mencari ruang membuat percubaan dan kemudian menendang dengan kaki kiri. Bola terbias kepada Gouffran dan Krul tertewas buat kali kedua.


Hanya berselang satu minit dan belum pun ulang tayang gol kedua tadi puas dimainkan, Aguero mendapatkan hatrik beliau. De Bruyne dapat mengesan ruang kosong di pertahanan Newcastle dan melepaskan Aguero dengan hantaran yang cantik. Krul segera meluru keluar namun Aguero dengan penuh ketenangan abadi melambung bola masuk untuk gol ketiga.


Peminat Newcastle menyangkakan panas hingga ke petang tapi hujan di tengah hari. Rupa-rupanya hujan terus sampai ke malam. Di minit ke-53, De Bruyne mempamerkan kebolehan teknikal beliau dengan membuat satu tendangan voli yang mantap menyudahkan hantaran daripada Navas menjadikan kedudukan 4-1.



Aguero belum puas menghilangkan haus gol selepas kemarau gol BPL yang berpanjangan. Di minit ke-60 Silva berjaya melepaskan Aguero ke pinggir kawasan penalti Newcastle dan Aguero mendapatkan gol keempat beliau dengan rembatan padu kaki kanan melencongkan bola ke tiang jauh gawang Krul.


2 minit kemudian, Aguero melakar sejarah tersendiri dengan menjaringkan gol kelima beliau. Sekali lagi gabungan Silva, De Bruyne dan Aguero membenamkan bisa membunuh permainan Newcastle. Silva membaca larian De Bruyne dan menghantar ke dalam kotak penalti. De Bruyne berpusing dan terus membuat hantaran silang di depan gol dan dengan mudahnya Aguero menolak bola ke dalam gawang.


Mungkin atas dasar belas kasihan, Pellegrini kemudian mengeluarkan Aguero dan membawa masuk Bony. Diberitahu kemudian Aguero dibawa keluar kerana tidak mahu merisikokan kecederaan hamstring yang dibawa beliau.


Peluang demi peluang jatuh kepada De Bruyne, Bony dan Iheanacho tetapi tiada lagi tiupan wisel gol kedengaran selepas Aguero dikeluarkan. Kedudukan 6-1 kekal hingga ke wisel penamat.

Fakta menarik perlawanan:
1. Aguero menyertai kelab eksklusif senarai pemain yang menjaringkan 5 gol dalam satu perlawanan BPL bersama-sama Cole, Shearer, Defoe dan Berbatov.


2. 5 gol dalam masa 20 minit adalah yang terpantas dalam sejarah BPL.
3. Sebelum perlawanan Newcastle ini, kemarau gol BPL Aguero mencecah 424 minit permainan (semenjak gol menentang Chelsea).
4. Aguero kini mengumpul 84 gol BPL menyamai jumlah gol Cristiano Ronaldo dan Carlos Tevez.
5. Aguero menjaringkan 80 gol dalam 128 perlawanan. Menjadikan beliau pemain ketiga terpantas mencapai jumlah itu selepas Alan Shearer (102 perlawanan) dan Ruud van Nistelrooy (122 perlawanan).
6. Rekod buruk tanpa menang Newcastle ke atas City meningkat naik kepada 18 perlawanan BPL berturutan. Hanya satu untuk mengejar rekod yang dipegang Barnsley.
7. Gol hatrik Aguero adalah gol yang ke-200 BPL musim 2015/16.

Superbia in proelio - Blog Bulan Biru

Sumber: Siaran Langsung Astro, BBC, Twitter
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.