Khamis, 1 Oktober 2015

UCL 2015/16: Borussia Monchengladbach (1) - Manchester City (2)

2 insiden penalti menjadi penentu kepada perlawanan yang sengit di antara Borussia Monchengladbach dan Manchester City. Di satu ketika siri kesengsaraan City kelihatan akan berpanjangan apabila terlebih dahulu ketinggalan namun City berjaya bangkit untuk menyamakan kedudukan sebelum Aguero tampil menjadi wira menyempurnakan sepakan penalti di saat akhir perlawanan dan menobatkan City sebagai kelab England pertama menewaskan Gladbach di laman mereka.


Perlawanan berlangsung rancak bersama-sama suasana gegak gempita di Borussia-Park. Kedua-dua pasukan bermain dengan tempo pantas menyerang gawang lawan masing-masing. City terlebih dahulu mendapat peluang di minit ke-5 apabila hantaran silang Sterling berjaya menemui Aguero di tiang jauh tetapi percubaan jarak dekat Aguero berjaya dihadang Sommer di gawang Gladbach.


Ancaman Gladbach kebanyakkannya berpunca daripada kelincahan penyerang mereka, Raffael. Di minit ke-10, kesilapan De Bruyne yang menendang angin dari satu sepakan penjuru City membolehkan Raffael membawa bola ke hadapan dan kemudian mengumpan kepada Hermann untuk membuat cubaan tetapi bola tersasar ke tepi tiang.

Insiden penalti yang pertama berlaku di minit ke-18. Raffael sekali lagi membuktikan ancaman beliau dengan mneggelecek bola mara ke dalam kotak penalti City. Raffael kemudian kelihatan dijatuhkan oleh Otamendi dan pengadil mengambil keputusan menghadiahkan sepakan penalti. Ulang tayang menunjukkan tiada kekasaran dilakukan Otamendi sebaliknya Raffael yang melanggar kaki Otamendi dan menjatuhkan diri. Kekejian Raffael itu terus terbalas apabila sepakan penalti yang diambil beliau diselamatkan Hart dengan penuh bergaya.




Susulan dari itu Gladbach mendapat sepakan penjuru yang berjaya dipertahankan City lalu terus membuat serang kilas melepaskan Aguero untuk berhadapan dengan Sommer tetapi sayang Aguero masih tercari-cari ketajaman beliau musim ini apabila gagal mencari sasaran.


Joe Hart terus menjadi tembok besar di gawang City apabila 2 kali menghalang peluang yang terhidang kepada Raffael dan Hermann untuk mengekalkan kedudukan 0-0 di separuh masa pertama.


Di separuh masa kedua, Toure dikeluarkan dan digantikan dengan Fernando. Barangkali kecederaan beliau masih belum pulih sepenuhnya dan menjejaskan prestasi permainan beliau.

Di permulaan separuh kedua Raffael sekali lagi terus menduga Hart tetapi Hart terus kebal menyelamatkan gawang. Tetapi tiada apa yang mampu dilakukan Hart apabila Gladbach akhirnya berjaya menembusi tembok City di minit ke-54. Pertahanan longgar City gagal mengekang Korb di sayap kanan yang mudah mencari Stindl di dalam kotak penalti dan menewaskan Hart.





City kini tertekan. Keputusan tewas akan bermakna 4 kekalahan daripada 5 perlawanan. City cuba menaikkan rentak permainan dan menekan gawang City tetapi tiada perubahan positif. Pellegrini kemudian mengambil keputusan mengubah pendekatan. City memerlukan kepantasan dan Navas dibawa masuk menggantikan Silva.

Sebaik sahaja pertukaran dilakukan, City terus berjaya mendapatkan gol penyamaan. Sepakan penjuru De Bruyne ditampan Demichelis ke gawang Gladbach tetapi dikeluarkan oleh pertahanan lawan. Bola muntah itu kemudiannya jatuh kepada Otamendi yang terus merembat deras. Bola terbias kepala Christensen sebelum masuk menerjah jaring Gladbach.




Ulang tayang menunjukkan bola Demichelis terlebih dahulu sudah jelas melepasi garisan gol tetapi tidak diendahkan pegawai perlawanan. Mujurlah bola susulan Otamendi memastikan gol penyamaan City.

Impak Navas memberi nafas baru kepada permainan City. City lebih banyak mengancam dan kelihatan mampu merampas 3 mata dari tangan Gladbach. Pemain Gladbach bergelut untuk menangani kelincahan Navas di sayap kanan City. Navas, Aguero, De Bruyne, Fernandinho dan Sterling masing-masing mendapat peluang membuat percubaan gol tetapi tiada pulangan.

Di saat permainan sampai ke minit akhir dan kedua pasukan seakan pasti berkongsi mata, insiden penalti kedua terjadi. Dari satu sepakan penjuru City, bola yang ditanduk pemain Gladbach jatuh kepada Aguero yang cuba mengawal bola. Aguero kemudiannya dikasari pemain lawan dan pengadil terus meniupkan wisel sambil menunjuk ke arah kotak penalti. Aguero bangkit dan dengan tenangnya menyempurnakan sepakan penalti untuk memberi kelebihan kepada Manchester City.




Aguero berpeluang menjaringkan gol ketiga City di waktu kecederaan tetapi Sommer dengan beraninya menghadang bola dengan badan. Namun begitu malang buat Sommer kerana tindakan berani beliau itu mengundang kecederaan apabila susulan itu kepala beliau berlaga dengan lutut pemain sendiri. Permainan terpaksa dihentikan buat sementara waktu untuk memberi rawatan kepada Sommer.

Selepas permainan disambung semula, City tidak perlu menunggu lama untuk mendengar tiupan wisel penamat dan pulang ke Manchester dengan gembira membawa 3 mata.

Fakta menarik perlawanan:
1. City menjadi kelab England pertama berjaya menewaskan Gladbach di laman mereka.
2. City hanya pernah mencatat 4 gawang bersih daripada 30 perlawanan UCL mereka.
3. Aguero hanya menjaringkan satu gol daripada permainan terbuka musim ini. 2 gol lain adalah dari sepakan penalti.
4. Joe Hart berjaya menyelamatkan 2 sepakan penalti terakhir beliau di dalam UCL.

Superbia in proelio - Blog Bulan Biru

Sumber: Siaran Langsung Astro, Mirror, BBC, The Guardian

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.