Isnin, 26 Oktober 2015

BPL 2015/16: Manchester United (0) - Manchester City (0)

Takhta liga Manchester City sambar selepas derbi Manchester yang hambar. Kini berkongsi mata bersama Arsenal dengan hanya perbezaan gol memberi kelebihan kepada City. Hanya itulah sahaja yang boleh dibanggakan oleh peminat City selepas menyaksikan keputusan 0-0 dalam antara perlawanan derbi Manchester yang paling anti-klimaks dalam sejarah BPL.


Tiada sesiapa yang boleh merebut hak berbangga di Manchester. Aksi hangat yang menjadi hidangan kebiasaan dalam derbi Manchester tidak kelihatan dalam perlawanan derbi Manchester ke-170. Ketumpulan barisan serangan kedua-dua pihak menyaksikan percubaan tepat pertama perlawanan hanya hadir selepas 82 minit permainan. Atau mungkin juga kerana kedua-dua pasukan mempamerkan disiplin pertahanan yang ketat sehinggakan perlawanan menjadi sebegitu rupa. Pasukan City boleh berasa lega dengan 1 mata kerana United terlepas beberapa peluang keemasan seperti percubaan Lingard yang terkena palang dan tendangan Smalling yang diselamatkan Hart.


Penulis ada membuat andaian yang City akan memilih antara 2 formasi. Sama ada turun dengan taktik kebiasaan 4-2-3-1 atau 4-5-1 yang lebih bertahan dan bermain serang kilas. Namun Pellegrini seperti memilih taktik hibrid kedua-dua pendekatan itu dengan menurunkan Fernando tapi mengekalkan Bony di bahagian serangan. Tiada kelibat Navas sebaliknya Sterling dan De Bruyne diberi tugas beraksi di bahagian sayap. Nampaknya Pellegrini mahu menekankan permainan di tengah padang dan bermain lebih sempit. Ini boleh disaksikan pada posisi purata pemain City pada perlawanan semalam.


United juga menggunakan pendekatan yang sama. Maka hasilnya ialah kawasan tengah yang padat dihuni oleh Toure, Fernandinho, Fernando, Mata, Herrera, Schneiderlin dan Schweinsteiger. Ditambah pula kedua-dua Bony dan Rooney yang bermain rendah menambahkan lagi kepadatan di kawasan tersebut.


Namun kelebihan memihak kepada United kerana mereka memiliki pemain ekstra yang bermain di bahagian tengah. Ini kerana United hanya menurunkan seorang sahaja pemain di bahagian sayap iaitu Anthony Martial yang bermain di sayap kiri manakala sayap kanan diamanahkan kepada bek sayap Antonio Valencia. Oleh itu tidak hairanlah bagaimana United boleh menguasai sebahagian besar posesi bola dalam pertarungan tengah padang. Walaupun memiliki posesi namun United sukar membuat penetrasi dari tengah kerana terlalu padat dengan pemain. Masalah yang sama melanda City yang sukar memulakan serangan dari tengah malahan acap kali mereka terlepas bola di bahagian itu.


Maka secara logiknya gerak serang kedua-dua pasukan mula beralih ke bahagian sayap. Namun semalam prestasi De Bruyne dan Sterling berada di bawah par. Mereka tidak memberi sebarang ancaman kepada pertahanan United. United pula lebih mengancam dengan Martial di sayap kiri. Kepantasan dan kelincahan beliau menyaksikan sekurang-kurangnya 2 pemain City diperlukan untuk mengawal beliau dan ini menyebabkan kekosongan terbuka di bahagian tengah City. Beberapa peluang hampir terhasil disebabkan gerak serang yang dimulakan oleh Martial.


Bony dan Rooney masing-masing mendapat kritikan atas persembahan mereka. Rooney begitu tenggelam dikawal ketat oleh Kompany dan Otamendi menyaksikan beliau menghasilkan antara statistik perlawanan terburuk beliau. Manakala Bony pula tidak mencipta sebarang ruang dengan larian tanpa bola yang tiada arah tuju dan hantaran bola yang tidak kesampaian. Bony kelihatan seperti tiada fungsi di bahagian serangan City.


Kedua-dua pasukan menghabiskan masa berebut bola tanpa membahayakan gawang lawan masing-masing kecuali percubaan oleh Lingard dan Smalling untuk United dan Otamendi yang terlepas bola hantaran sepakan bebas De Bruyne di depan gol. Dengan persembahan hambar oleh kedua-dua pasukan Manchester ini maka selayaknya 1 mata dikongsi oleh mereka berdua.


Fakta menarik perlawanan:
  • Ini adalah perlawanan derbi Manchester ketiga yang berakhir dengan keputusan seri 0-0 dalam sejarah BPL.
  • Kali pertama dalam 13 perlawanan derbi Manchester, perlawanan berakhir dengan keputusan seri.
  • Buat pertama kali selepas 61 perlawanan BPL, City mencatatkan keputusan 0-0. Kali terakhir adalah ketika menentang Norwich pada Februari 2014.
  • Buat pertama kali semenjak musim 2002/03, United gagal membuat percubaan tepat ke arah gol dalam separuh masa pertama.
Superbia in proelio - Blog Bulan Biru

Sumber: Siaran langsung Astro, BBC
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.