Ahad, 26 April 2015

BPL 2014/15: Manchester City (3) - Aston Villa (2)


Perlawanan penuh dramatik aksi dua pasukan kejar-mengejar dan gol kemenangan saat akhir menyaksikan Aston Villa menjadi mangsa Manchester City yang bertindak kejam memberikan harapan palsu. Selepas ketinggalan 2-0, Villa menongkah arus untuk menyamakan kedudukan sebelum mereka dikecewakan oleh jaringan gol Fernandinho.

Mujurlah Villa yang menjadi mangsa kerana sebenarnya penyokong City yang hampir-hampir menjadi mangsa harapan palsu. City bermula garang di awal permainan. Pergerakan pemain dan bola pantas berjaya memberi tekanan kepada pertahanan Villa. Seawal minit ke-3 City mendapat gol hasil hadiah oleh penjaga gol Villa. Bola yang berada dalam kawalan Guzan diberikan kepada Vlaar. Walaupun tanpa tekanan, Vlaar menghantar kembali bola kepada Guzan. Mungkin kerana belum cukup bersedia menerima bola dan hilang fokus, Guzan membuat tendangan yang tidak kemas menyaksikan bola bergolek di hadapan pintu gol yang terbuka luas. Aguero yang menunggu berhampiran dengan mudahnya menolak bola masuk untuk jaringan BPL ke-21 beliau.



Selepas itu, pertahanan Villa terus kucar-kacir menerima serangan City. Guzan membuat kesilapan kedua menerjah keluar dalam cubaan menghalang sepakan bebas City tetapi hanya menumbuk angin. Nasib baik tandukan pemain City tidak menerjah jaring. Kemudian Bacuna pula tersilap membuat hantaran ke belakang namun Aguero gagal mengambil peluang menggandakan kelebihan.

Selepas 15 minit pertama, suasana permainan mula berubah. Villa kembali tenang dan mula mengawal permainan. Mereka bermain dengan lebih lebar dan berjaya mengeksploitasi ruang di bahagian sayap. Delph berjaya mengawal tempo permainan dengan pergerakan dan hantaran-hantaran beliau yang menyaksikan dominasi Villa dalam posesi bola. Kelebihan fizikal Benteke digunakan Villa dengan hantaran bola tinggi ke kawasan pertahanan City. Mangala dan Demichelis kelihatan bergelut dengan kehadiran Benteke.

Di sebalik penguasaan Villa, kedudukan 1-0 kekal di separuh masa. Namun keresahan mula dirasai di kem City. Hanya gol kedua boleh memberi kelegaan kepada para pemain dan penyokong City. Akhirnya gol kedua yang dicari berjaya ditemui pada minit ke-66. Pakar sepakan bebas City, Kolarov meledakkan sepakan cantik mencari ruang yang ditinggalkan Bacuna di dinding pertahanan Villa untuk melencongkan bola ke bucu kanan bawah gawang Guzan. Guzan hanya mampu menggapai kepasrahan.



Kelegaan segera dirasai hanya ianya tidak berpanjangan. Berselang 2 minit, suasana kucar-kacir di hadapan kotak penalti City semasa mempertahankan sepakan bebas Villa menyaksikan Tom Cleverly melepaskan rembatan untuk menewaskan Hart. Hart yang keluar untuk menumbuk bola langsung tidak berpeluang menghalang bola pemain yang dipinjamkan dari Manchester United itu.


Pendulum permainan yang sepatutnya berayun di pihak City kembali bertukar arah. Pertahanan City terpaksa bertungkus lumus menyerap tekanan daripada Villa yang mengawal permainan. Tekanan mereka akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-85 apabila City gagal mempertahankan sepakan penjuru Villa. Hart hanya mampu menumbuk lemah bola laju yang dihantar ke hadapan gawang City dan Carlos Sanchez diberikan ruang dan waktu untuk menyamakan kedudukan.

Kontroversi melanda beberapa minit kemudian apabila Villa hampir-hampir membuat kejutan. Villa membuat serangan kilas dan Benteke berjaya dilepaskan untuk berhadapan dengan Hart. Benteke kelihatan dijatuhkan Hart namun wisel sudah ditiupkan kerana ofsaid. Tetapi daripada rakaman ulangan menunjukkan Villa bernasib malang dengan keputusan tersebut. Apatah lagi apabila selepas itu pada minit ke-89, City merampas mata berharga dari genggaman mereka. Bola sepakan penjuru Kolarov didada oleh Fernandinho yang kemudian melipat bola ala takraw membolos gawang Villa buat kali ketiga.



Agak menarik untuk difikirkan kerana musim ini City sering tertewas dalam perlawanan yang didominasi mereka manakala dalam perlawanan ini yang menyaksikan mereka didominasi pihak lawan, mereka menang pula.

Fakta menarik perlawanan:
1. Buat pertama kali dalam perlawanan BPL, 3 pemain daripada negara Amerika Selatan yang berbeza mencatat nama sebagai penjaring gol; Aguero (Argentina), Sanchez (Colombia) dan Fernandinho (Brazil).
2. Akhirnya selepas 5 bulan kemarau, City berjaya menjaringkan gol darpada sepakan penjuru.

Superbia in proelio - Blog Bulan Biru
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.