Ahad, 4 Jun 2017

Benarkah Ederson Bakal Pecah Rekod Buffon?

Para peminat Manchester City masih ternanti-nanti pengumuman Ederson Moraes sebagai penjaga gol terbaharu mereka. Rekod mantap beliau di liga Portugal bersama Benfica (kedua terbaik selepas Iker Casillas) didambakan segera oleh penyokong-penyokong City. Ini ditambah pula dengan kebolehan Ederson untuk melakukan sepakan gol yang begitu kuat sehingga boleh sampai kotak penalti pihak lawan.
Jika perpindahan Ederson berjalan lancar, beliau diwar-warkan bakal memecahkan rekod Gianluigi Buffon sebagai penjaga gol termahal dunia. Buffon berpindah dari Parma ke Juventus pada 2001 dengan nilai perpindahan berjumlah £32.6 juta. Ederson pula bakal berpindah ke Manchester City dengan bayaran £34.9 juta.
Namun begitu benarkah fakta ini? Di kala banyak media UK mengatakan demikian, media dari negara Eropah yang lain menyatakan Ederson hanyalah penjaga gol kedua termahal dunia.
Mengapa terjadi kekeliruan ini? Jawapannya ialah kerana matawang. Perpindahan Buffon tidak dijalankan dalam matawang pound sterling tetapi sebaliknya Juventus membayar €53 juta kepada Parma untuk mendapatkan khidmat pemain tersebut. Begitu juga dengan transaksi di antara Manchester City dan Benfica yang melihat €40 juta bakal bertukar tangan. Kedua-dua transaksi perpindahan ini dijalankan dalam matawang euro. Nilai bersamaan dalam pound sterling hanya digunakan oleh media dari UK.
Jadi ternyatalah rekod penjaga gol termahal dunia masih lagi kekal milik Buffon dan Ederson pula ketinggalan €13 juta di tangga kedua.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.