Ahad, 12 Julai 2015

Hikmah Di Sebalik Penolakan Delph

Ramai peminat terkejut dengan berita penolakan Delph untuk menyertai City di saat-saat akhir. Di kala hanya tinggal formaliti ujian medikal yang dijangka dijalankan semalam (Sabtu) tiba-tiba Delph mengumumkan beliau bakal terus kekal di Villa Park. Reaksi para peminat bercampur-baur. Ada yang lega kerana bagi mereka Delph bukanlah nama besar sekadar pemain picisan pelengkap kuota. Tak kurang juga yang risau kerana kalau Fabian Delph pun gagal dibawa masuk apatah lagi nama-nama pemain lain yang lebih besar. Malah ramai peminat mula mempersoalkan kewibawaan pengurusan Manchester City dalam menangani urusan jual beli pemain. Pellegrini dan Begiristain mula dibandingkan dengan Mancini dan Marwood. Apakah yang telah membuat Manchester City hilang daya penarik walaupun memiliki sokongan modal duit yang kukuh?

Pada pendapat penulis, antara faktor utama ialah kurangnya kepercayaan ke atas keupayaan para pemain. Saban musim ramai pemain disabitkan dengan perpindahan ke Etihad. Namun adalah sukar untuk pemain-pemain ini untuk menerima tawaran itu jika City tidak mengamalkan polisi rotasi pemain yang sihat. Lihat sahaja helaian skuad City dalam mana-mana perlawanan. Jika tiada kecederaan nama-nama seperti Hart, Kompany, Zabaleta, Fernandinho, Toure, Silva dan Aguero sudah semestinya wajib tersenarai sebagai pilihan utama. Malahan kadang-kala senarai ini turut diturunkan dalam pertandingan  Piala Liga dan Piala FA meninggalkan hanya 4 ruang untuk City membuat rotasi.

Walaupun memiliki skuad yang dalam, kurangnya rotasi skuad menyebabkan ramai pemain gagal mendapat masa bermain dan akhirnya bakat mereka disia-siakan. Richards, Nastasic, Rodwell, Sinclair dan Milner telah menjadi mangsa kepada situasi ini. Pellegrini pernah dipetik berkata, "Nastasic, Richards, Sinclair dan Guidetti adalah melebihi kepada keperluan". Ini bermakna di antara mereka dan "pemain wajib" terdapat satu lagi lapisan pemain. Sedangkan pemain-pemain ini dengan mudah sahaja boleh membarisi mana-mana pasukan utama yang lain.

Kurangnya kepercayaan kepada keupayaan para pemain mendorong kepada rotasi skuad yang lemah bukan sahaja menutup ruang bermain pemain lain malah turut meletihkan "pemain wajib". Antara pemain yang boleh dilihat terkesan dengan polisi ini adalah Yaya Toure dan Pablo Zabaleta yang dijangka untuk bermain setiap perlawanan. Jika pemain-pemain "melebihi keperluan" ini tidak berpeluang dalam skuad City apatah lagi nasib pemain dari skuad akademi.

Keadaan bertambah buruk apabila ada golongan peminat yang terlalu mengkritik persembahan pasukan apabila "pemain wajib" tidak diturunkan. Pemain yang mengisi posisi mereka seringkali menjadi mangsa mudah untuk dijadikan kambing andai keputusan kurang memuaskan dan ini mencipta tekanan kepada pengurus pasukan.

Kes yang boleh dibuat teladan berlaku ketika perlawanan akhir Piala FA 2012/13. Costel Pantilimon yang dijanjikan tempat untuk bermain di persada final ditukar dengan Joe Hart di saat akhir. Mesej apakah yang hendak disampaikan oleh Manchester City? Mesej tidak sihat inilah yang selalu digambarkan media terhadap Manchester City dan ia perlu diubah segera.

Penolakan Delph ini memang satu tamparan kepada pihak pengurusan City tetapi penulis melihat di sini ada hikmahnya. Sudah sampai masanya pihak pengurusan City meletakkan keyakinan dan kepercayaan mereka kepada skuad Manchester City, senior dan akademi. Penulis sudah lama merindui saat-saat Manchester City membawa muka muda seperti Shaun Wright-Philips, Michael Johnson, Stephen Ireland, Joey Barton dan Micah Richards ke persada senior. Setiap pemain mesti ditanamkan harapan bahawa mereka mempunyai peluang bermain. Barulah City mampu menjana daya penarik.

Superbia in proelio - Blog Bulan Biru
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.