Khamis, 9 Julai 2015

Super Guidetti Jatuh Kerana Ayam

Sayang seribu kali sayang akhirnya jodoh John Guidetti dan Manchester City terputus bila kontrak beliau tidak disambung dan dilepaskan secara percuma. Apakah City begitu gila melepaskan pemain yang pernah digelar "The Next Ibrahimovic" ini secara percuma? Mari kita imbas cerita malapetaka yang menimpa Guidetti.


Pertama kali penulis berkenalan dengan nama Guidetti ini adalah pada tahun 2012. Sedang enak membaca majalah Euro 2012 mata penulis tertarik dengan seorang pemain Sweden kerana kelab yang diwakili beliau ialah Manchester City. Membaca deskripsi dalam majalah itu memang akan mengujakan mana-mana peminat City. 18 gol dalam 16 penampilan liga pertama bersama Feyenoord (dipinjamkan) sehingga mendapat jolokan "Super Guidetti". Malah dicanang hebat bakal bergandingan dengan Ibrahimovic bersama skuad Sweden dalam pertandingan Euro 2012 tahun itu.


Namun begitu impian itu tidak kesampaian. Guidetti tidak dapat menyertai skuad Sweden atas alasan kecederaan. Nama Guidetti kemudiannya lama menyepi. Penulis yang mengikuti akaun Twitter beliau banyak melihat mesej dari penyokong Feyenoord dan Manchester City agar Guidetti segera cergas semula untuk kembali bermain bolasepak.


Teruk sangatkah kecederaan yang dialami Guidetti? Misteri itu terurai dalam satu wawancara bersama akhbar Mirror.

Guidetti memberitahu, "Saya makan sedikit ayam di parti harijadi teman wanita saya tetapi ia menyebabkan saya keracunan makanan."

"Keadaan bertambah buruk apabila saya kemudiannya dijangkiti virus yang menyerang sistem saraf."

"Satu hari selepas bermain untuk Feyenoord saya tidak dapat berdiri menggunakan kaki kanan. Saya terus jatuh ke tanah. Ahli fisio menyuruh saya melakukan senaman ringan di atas basikal tetap namun itupun saya tak termampu."

"Saya dibawa ke Hospital Universiti di Rotterdam dan kemudian apabila doktor kelab Manchester City, Philip Batty datang bertemu saya, saya tahu saya berada dalam situasi bahaya yang serius."

"Seorang profesor di hospital berkenaan berkata karier saya kini seperti telur di hujung tanduk. Saya terus menangis. Saya dapat melihat seluruh masa depan saya jatuh berkecai."

"Saya mahu memenangi Liga Belanda bersama Feyenoord. Saya mahu menyertai pasukan Sweden di pertandingan Euro."

"Dan terutama sekali saya mahu bermain di dalam pasukan utama Manchester City yang sudah pasti menjadi kenyataan jika bukan kerana virus tersebut."

"Tapi apakan daya kaki kanan saya langsung tidak berdaya. Mereka menghantar saya ke klinik di Itali tetapi senaman yang mampu saya lakukan hanyalah untuk bangun dari kerusi. Lebih daripada itu langsung tiada bermaya."

"Di suatu saat saya berada di syurga, dengan sekelip mata saya berada di neraka. Saya tak dapat mempercayainya."

Selepas enam bulan bertarung dengan keadaan separa lumpuh, Guidetti berjaya mendapatkan kembali kaki kanan beliau dan mula menyertai sesi latihan. Rakan-rakan di tempat latihan kesemuanya terkejut melihat kesan fizikal ke atas diri Guidetti.

"Saya tahu saya telah hilang kuasa di kaki kanan saya namun saya tidak sedar ianya telah menyusut teruk. Rakan-rakan di City menjerit, '[Carutan!], John lihatlah kaki awak!' Mereka tidak dapat mempercayai mata mereka."

"Saya pergi ke kelab awal pagi dan tidak pulang ke rumah sehinggalah lewat petang. Apabila saya sampai ke pintu rumah saya, saya sangat kepenatan."

Artikel asal boleh didapati di sini.

Begitulah nasib malang yang telah menimpa bintang muda City, John Guidetti. City tidak terus meninggalkan Guidetti kerana kecederaan beliau. Guidetti telah diberikan kontrak 3 tahun untuk membuktikan potensi beliau masih boleh dipenuhi tetapi sayang sekali kerana penulis dapat merasakan beliau bukan lagi pemain yang sama seperti dahulu. Andainya beliau tidak mendapat jangkitan saraf itu sudah pasti kini beliau sedang bergandingan bersama Aguero mengemudi barisan serangan City.


Kisah Guidetti ini mengingatkan penulis kepada nasib Michael Bridges, penyerang muda Leeds United penuh potensi yang terpaksa akur lalu tersungkur kepada kecederaan.


Apapun selamat maju jaya kepada Guidetti semoga anda dapat menjadi Super kembali.

Superbia in proelio - Blog Bulan Biru
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.