Khamis, 24 November 2016

UCL Kumpulan C - Kenapa Gladbach Takkan Layak Walau Menang 1000-0 Sekalipun

Selepas selesai perlawanan 5 Liga Juara-Juara, kedudukan kumpulan C adalah seperti berikut:


Maka dengan itu pasukan yang berjaya melayakkan diri ke pusingan seterusnya ialah Barcelona dan Manchester City.

Nanti dulu!

"City dengan Gladbach cuma berbeza 3 mata. Kalau lepas ni City kalah dan Gladbach menang kan dua-dua ada 8 mata?", ujar Stopa (bukan nama sebenar).

Kemudian keluarlah pula ajaran sesat, "City kalau nak layak kena seri dengan Celtic, tak pun menang beza gol".

Tak payah nak seri, tak payah nak menang beza gol. City memang sudah layak dari kumpulan C. Hatta walaupun City kalah kepada Celtic 0-1000 dan Gladbach membelasah Barcelona 1000-0 sekalipun City tetap akan layak.

Ini sebabnya:

Dipetik daripada regulasi UEFA - Jika dua atau lebih pasukan mengumpul mata yang sama selepas selesai peringkat kumpulan, kriteria berikut akan digunapakai untuk menentukan kedudukan pasukan:
a) jumlah mata terkumpul tertinggi hasil daripada perlawanan di antara PASUKAN TERLIBAT.

Kata kuncinya di sini ialah "PASUKAN TERLIBAT". Maka pasukan Barcelona dan Celtic tidak akan terlibat langsung dalam jalan kerja pengiraan.


Selepas diasingkan perlawanan melibatkan Celtic dan Barcelona, kedudukan mata City dan Gladbach adalah seperti berikut:


Kalau susah nak faham ayat panjang lebar tu kita bagi ayat senang nak faham. Inilah namanya rekod pertemuan head-to-head.

Jadi oleh sebab itulah perlawanan 6 nanti tidak akan menggugat langsung status layak City.

- Bulan Biru

Rabu, 23 November 2016

Kemungkinan Senario Kompleks Kumpulan C (Satu Analisis)

Cuba bayangkan keputusan perlawanan 5 dan 6 kumpulan C Liga Juara-Juara adalah seperti berikut:

Perlawanan 5
Borussia Monchengladbach vs Manchester City (seri)
Celtic vs Barcelona (Celtic menang)

Perlawanan 6
Manchester City vs Celtic (Celtic menang)
Barcelona vs Borussia Monchengladbach (Gladbach menang)


Akan terjadi satu situasi di mana City, Gladbach dan Celtic masing-masing akan mengumpul mata yang sama iaitu 8 mata. Jika betul ianya berlaku maka siapakah yang akan melayakkan diri dari kumpulan C?

Merujuk kepada regulasi UEFA jelas ternyata:

If two or more teams are equal on points on completion of the group matches, the following criteria are applied to determine the rankings (in descending order):
a) higher number of points obtained in the group matches played among the TEAMS IN QUESTION.

Jika dua atau lebih pasukan mengumpul mata yang sama selepas selesai peringkat kumpulan, kriteria berikut akan digunapakai untuk menentukan kedudukan pasukan:
a) jumlah mata terkumpul tertinggi hasil daripada perlawanan di antara PASUKAN TERLIBAT.

Kata kuncinya di sini ialah "PASUKAN TERLIBAT". Maka pasukan Barcelona tidak terlibat langsung dalam jalan kerja pengiraan.


Jadi bagaimanakah kedudukan mata hasil perlawanan pasukan-pasukan yang terlibat? Beginilah rupanya:


Wah kompleks betul senario kumpulan C ini. Mata yang terkumpul masih lagi sama maka terpaksalah kita teruskan proses penyusunan pasukan:

b) superior goal difference from the group matches played among the teams in question.
c) higher number of goals scored in the group matches played among the teams in question.
d) higher number of goals scored away from home in the group matches played among the teams in question

b) kelebihan perbezaan gol daripada perlawanan di antara pasukan terlibat.
c) kelebihan jaringan gol daripada perlawanan di antara pasukan terlibat.
d) kelebihan jaringan gol di tempat lawan daripada perlawanan di antara pasukan terlibat.


Kalau inilah senario yang terjadi memang mendebarkan betul kumpulan C ini.

- Bulan Biru

Denayer Sudah Serik Dipinjam-Pinjamkan

Sudah sekian lama Jason Denayer dilihat sebagai antara bintang masa depan Manchester City. Berasal dari negara yang sama dengan pemain kesukaan ramai Vincent Kompany, Denayer dicanang bakal menggantikan Kompany di suatu hari nanti. Tapi sehingga kini Denayer masih gagal menembusi skuad utama City sebaliknya sudah 3 musim beliau dipinjamkan ke kelab luar. Denayer sudah dipinjamkan kepada 3 kelab iaitu Celtic (2014/15), Galatasaray (2015/16) dan terkini untuk musim 2016/17 kepada Sunderland.


Denayer nampaknya sudah bosan menunggu peluang untuk beraksi bersama Manchester City dan sedang merancang untuk berpindah mencari kelab tetap yang lain di penghujung musim. Buat masa ini Denayer dikatakan selesa berada di Sunderland dan akan berusaha menukar status pinjaman beliau kepada perpindahan mutlak.

- Bulan Biru

Isnin, 21 November 2016

Zon Analisis - Yaya Muncul Semula Penuh Bergaya

Pada 4 November yang lalu Yaya Toure melepaskan satu kenyataan rasmi menerusi laman web beliau memohon maaf kepada Manchester City dan Pep Guardiola berkenaan silap faham di antara pihak beliau dan kelab Manchester City terutama sekali melibatkan komen-komen oleh ejen beliau, Dimitri Seluk.


Walaupun Seluk terus berkeras menolak permohonan maaf bagi pihaknya oleh Yaya Toure, Guardiola tetap mengotakan janji yang beliau akan membuka peluang bermain kepada Yaya Toure jika menerima permohonan maaf secara rasmi. Ternyata semalam ramai yang terkejut dan teruja melihat nama Yaya Toure tersenarai dalam kesebelasan utama menentang Crystal Palace. Sumbangan Yaya Toure terbukti sangat bernilai apabila beliau menjaringkan 2 gol untuk memberi kemenangan 2-1 kepada City. Beliau juga membawa pengaruh besar dalam perlawanan dengan membuat hantaran berjaya terbanyak.

Sumber: Statszone
Sumber: 11tegen11
Gelanggang Palace bukanlah mudah untuk pasukan pelawat. Musim lepas City memerlukan jaringan saat akhir Iheanacho untuk memecah kebuntuan. Kali ini tidak kurang bezanya dengan Palace menekan hebat sepanjang perlawanan. Di babak pertama James McArthur berjaya membuat 6 bentesan menjadi penyumbang utama mengapa City banyak kehilangan posesi bola dan kurang mendapat mendapat peluang membuat percubaan gol (hanya 2 percubaan berbanding 3 dilakukan Palace).

Sumber: WhoScored.com
Begitupun City berjaya mendahului perlawanan hasil jaringan Yaya Toure pada minit ke-38. Ini mendorong kepada perubahan yang dilakukan Palace di babak kedua dengan membawa masuk Connor Wickham menggantikan Andros Townsend. Palace mula menggandakan bola hantaran jauh dan tinggi yang melihat statistik kemenangan bola udara Palace meningkat dan juga lebih mengancam di dalam kotak penalti City. Posesi bola City juga menurun.

Pola pertarungan udara babak kedua (sebelum gol Wickham)
Pola pertarungan udara babak pertama
Kemasukan Wickham membuahkan hasil apabila beliau menjaringkan gol penyamaan beberapa saat selepas City terlepas peluang menggandakan jaringan mereka. Guardiola menyedari gandingan ketat Cabaye dan McArthur menguasai bahagian sentral padang dan bertindak memasukkan David Silva menggantikan Nolito untuk memenangi pertarungan di bahagian sentral. Pertukaran ini berkesan dengan City berjaya mendominasi semula posesi dan meneutralkan ancaman Palace sebelum akhirnya memenangi perlawanan menerusi jaringan kedua Yaya Toure di minit ke-82.

Cabaye dan McArthur ketat mengawal bahagian sentral (Sumber: 11tegen11)
Posesi bola sebelum kemasukan Silva
Posesi bola selepas kemasukan Silva
- Bulan Biru

Khamis, 17 November 2016

Kerjaya Shaka Hislop Sebelum Bolasepak


Tahukah anda sebelum Shaka Hislop menceburkan diri ke dalam kancah dunia bolasepak profesional, beliau bekerja di Badan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan atau lebih dikenali sebagai NASA. Ya, NASA yang selalu menghantar roket ke angkasa lepas dan pernah membawa manusia menjejak bulan. Hislop merupakan seorang graduan Kejuruteraan Mekanikal dan sempat bekerja sebagai jurutera pelatih NASA selama setahun. Semasa di NASA beliau terlibat dalam projek Space Station Freedom.


Sumber: Premier Manager 99
- Bulan Biru

Kisah Frank Lampard Dan West Ham

Sila bandingkan 2 gambar foto Frank Lampard sedang meraikan gol ke atas 2 bekas kelab beliau:

vs West Ham
vs Chelsea
Begitu berbeza sekali layanan Lampard terhadap West Ham jika dibandingkan dengan Chelsea. Adalah mudah untuk memahami mengapa Lampard menolak untuk meraikan gol beliau ke atas Chelsea kerana selepas 13 tahun mencurahkan bakti bersama kelab itu sudah pasti pertalian sentimental di antara Lampard dan Chelsea begitu kuat sekali.

Tetapi West Ham pula adalah kelab di mana Lampard memulakan karier beliau. Bermula dari akademi West Ham yang menghasilkan ramai bintang England maka lahirlah Lampard menjadi antara pemain tengah terbaik dunia. Bahkan ayah beliau, Frank Lampard Sr. adalah pemain legenda West Ham.


Jadi mengapa layanan yang berbeza? Mengapa Lampard begitu gembira apabila menjaringkan gol menentang West Ham? Begini kisahnya:

City Tolak Tawaran Penaja Kerana Permintaan Melampau

FC Barcelona baru sahaja memeterai perjanjian penajaan jersi bernilai £200 juta bersama jenama dari Jepun, Rakuten.



Tapi tahukah anda Rakuten juga pernah membuat tawaran untuk menaja jersi Manchester City suatu masa dahulu? Pada musim 2011/12 Rakuten memulakan perbincangan dengan City berkenaan kemungkinan untuk mereka membuat penajaan jersi namun ianya ditolak mentah-mentah oleh City. Ini gara-gara permintaan melampau oleh Rakuten yang meminta City menukar warna utama jersi mereka daripada warna tradisi mereka iaitu biru kepada warna merah seperti seteru setempat Manchester United. Maaf Rakuten, 1000 tahun pun takkan mungkin.


- Bulan Biru

Ahad, 6 November 2016

Zon Analisis - City Kena Langgar Lari

City melepaskan 2 mata berharga sekaligus tempat di persada Liga Perdana Inggeris selepas melepaskan gol di minit akhir perlawanan untuk sekadar seri 1-1 menentang Middlesbrough di Stadium Etihad. City kini gagal memenangi 3 perlawanan EPL terakhir di laman sendiri buat pertama kali semenjak November 2009.

Sergio Aguero berjaya membuat pencapaian gol ke-150 bersama City namun hilang serinya kerana membazirkan begitu banyak peluang lain untuk memastikan 3 mata buat City. City membuat 25 percubaan (7 tepat) berbanding Boro yang hanya membuat 5 percubaan (3 tepat).


Manchester City menonjolkan dominasi secara total di babak pertama. Boro langsung tidak mengancam gawang City. Kosong percubaan dilakukan Boro yang berkampung di bahagian sendiri. Alvaro Negredo dilihat keseorangan di bahagian atas sambil 9 pemain lain membentuk benteng 2 lapisan untuk menyerap serangan City yang datang bertali-arus.


Akhirnya benteng Boro tembus juga di hujung babak pertama apabila Aguero menyudahkan hantaran Kevin De Bruyne. Selepas terbolos dijangka ruang akan menjadi lebih terbuka di separuh kedua. Walaupun benar Boro bermain lebih positif selepas rehat namun City seperti telah jatuh ke dalam perangkap Aitor Karanka.

Pemain City mula menunjukkan tanda-tanda lesu selepas menekan hebat lawan mereka di babak pertama. Beberapa kali pemain City membuat kesilapan kehilangan bola dan membuka ruang kepada Boro membuat serangan. Mujurlah Claudio Bravo kental menjaga gawang City.

Pep Guardiola cuba meregangkan formasi Boro dengan memperkenalkan Nolito namun pasukan Karanka terus berdisiplin. Sebaliknya kelesuan mula mengganggu fokus pemain City yang gagal menyudahkan peluang terhidang semasa menyerang dan gagal menekan dengan baik untuk menutup ruang kepada Boro. Hasilnya di masa tambahan Boro mengecewakan City dengan gol penyamaan Marten De Roon yang menanduk masuk hantaran lintang George Friend. Daripada ulang tayang dilihat Gael Clichy sepatutnya boleh berusaha lebih sedikit untuk melonjak dan mencabar bola itu.


Mungkin ini sememangnya strategi Karanka semenjak dari awal. Bertahan habis-habisan di babak pertama. Biarkan pemain City membazirkan tenaga mereka membuat serangan sebelum Boro sendiri tampil dengan permainan mereka di separuh kedua dan ambil kesempatan ke atas kelesuan pemain City. Berbeza sekali statistik 2 babak perlawanan ini. Di separuh pertama City memegang 78.4% posesi bola dan membuat 19 percubaan gol. Di babak kedua pula posesi City jatuh kepada 64.1% dan hanya 6 percubaan gol. Statistik hantaran tepat di antara 2 babak juga menurun daripada 91% kepada 83%. Boro yang hanya berdiam diri di separuh pertama mula menunjukkan belang mereka di separuh kedua membuat 12 gelecekan berjaya.

Selayaknya pujian mesti diberikan kepada Karanka andai memang itu rancangannya. Menggunakan kesilapan lawan untuk menghukum mereka adalah tunjang utama ideologi Jose Mourinho yang juga adalah mentor Karanka.


Betul ujar Guardiola sepatutnya City memenangi perlawanan ini. Sepatutnya City boleh menamatkan perlawanan lebih awal. Jadi di mana kekurangan City kali ini? Satu aspek jelas dalam perlawanan ini ialah keberkesanan di udara. Dalam perlawanan ini City mendapat 8 sepakan penjuru namun satu pun tidak membuahkan hasil. Menentang pasukan yang bertahan secara berkampung di kotak penalti kebiasaannya boleh ditembusi melalui membuat hantaran atas berbanding hantaran leret kerana kepadatan tinggi di dalam kotak penalti. Namun sayang City tidak memiliki pemain yang boleh membuat ancaman di udara seperti Edin Dzeko atau Alvaro Negredo.

- Bulan Biru

Jumaat, 4 November 2016

Arteta Nafi Hina Messi


Mikel Arteta menafikan laporan yang menuduh beliau telah menghina Lionel Messi dalam insiden panas di terowong pemain selepas aksi perlawanan Liga Juara-Juara. Namun Arteta menggambarkan memang Messi ada berkata kasar kepadanya.


Hal ini turut disokong oleh Pep Guardiola yang memberi komen di sidang media berbunyi, "Saya ada berbicara dengan Arteta. Adalah mustahil insiden itu berlaku. Beliau sangat mengagumi Barcelona dan Messi".

- Bulan Biru

Aguero, De Bruyne Wakil City Dalam Senarai FIFA

Sergio Aguero dan Kevin De Bruyne menjadi wakil Manchester City dalam senarai pendek calon Pemain Lelaki Terbaik FIFA 2016. (Sumber: FIFA.com)


- Bulan Biru

Krisis - Seluk Terus Cari Pasal

Baru sahaja Yaya Toure membuat permohonan maaf secara rasmi kepada pihak Manchester City, ejen beliau Dimitri Seluk segera menjolok sarang tebuan dengan kenyataan balas menafikan sebarang permohonan maaf. (Sumber: Talksport)


- Bulan Biru

Gempar - Kenyataan Rasmi Yaya Toure


- Bulan Biru

Khamis, 3 November 2016

Zon Analisis - Kawasan Sentral & 10 Palsu Kunci Kejayaan City

Untuk setiap perkara pasti ada kali pertamanya. Manchester City akhirnya berjaya menewaskan Barcelona dalam satu perlawanan kompetitif selepas 5 kekalahan sebelum ini dengan menang bergaya 3-1 hasil jaringan 2 gol Ilkay Gundogan dan sepakan bebas cantik Kevin De Bruyne.

Andai gagal melawan api dengan api maka lawanlah dengan air. Begitulah lebih kurang rumusan tentang pendekatan yang diambil Pep Guardiola untuk menangani penguasaan pasukan Barcelona. Luis Enrique sendiri mengakui pasukan mereka bermain dengan begitu baik sebelum melakukan kesilapan yang membuka peluang untuk Gundogan menjaringkan gol penyamaan.


Barcelona menguasai perlawanan hampir di setiap sudut permainan. Di babak kedua Guardiola mengubah sedikit pendekatan pasukannya dengan bermain lebih langsung sambil beberapa perubahan pada peranan pemain. Hasilnya di separuh masa kedua walaupun Barcelona masih berjaya memegang posesi tapi jelas City adalah pasukan yang lebih mengancam. Pemain City menekan dengan lebih agresif berjaya merampas posesi bola lebih kerap dan melancarkan serangan ke gawang Barcelona.


Perubahan peranan yang diperkenalkan Guardiola berjaya mengubah keberkesanan pemain City. Pengaruh De Bruyne dilihat lebih jelas di separuh kedua apabila dibawa bermain lebih sentral dan membawa peranan '10 Palsu'. De Bruyne membuat 17 hantaran sempurna di babak kedua berbanding hanya 7 di babak pertama. Peta haba memaparkan De Bruyne lebih menyerlah di babak kedua.


Aguero digunakan sebagai '9 Palsu' dalam perlawanan ini. Hanya apabila De Bruyne diperkenalkan ke peranan '10 Palsu' barulah peranan Aguero menjadi lebih efektif dan beliau mampu menumpukan permainan di bahagian sentral padang.


Keberkesanan permainan City ini turut didorong oleh pemain City yang menekan dengan lebih intensif di separuh kedua menekan pemain Barcelona di kawasan sentral dan memaksa mereka melepaskan posesi. City membuat 18 bentesan berjaya di separuh kedua berbanding hanya 7 di separuh pertama dan boleh dilihat lebih banyak bentesan dilakukan di kawasan sentral. 


Boleh dirumuskan Guardiola telah meninggalkan pendekatan mencari posesi yang beliau lihat sukar untuk City menangi ke atas Barcelona dan berubah kepada permainan menekan lawan secara intensif, bermain secara langsung dan melancarkan serangan seawal mungkin selepas merampas posesi. Pendek kata Guardiola telah menggunakan pendekatan 'counter-pressing' sambil mengoptimumkan penggunaan De Bruyne sebagai '10 Palsu'.


- Bulan Biru

Misteri Siapa Berkelahi Dengan Messi Sudah Dibongkari

Selepas selesai perlawanan di antara Manchester City dan Barcelona berlaku sedikit kekecohan di terowong pemain. Lionel Messi dikatakan berang dengan provokasi seorang 'pemain' City sehingga mara ke bilik persalinan pemain City dan beliau terpaksa ditenangkan oleh Sergio Aguero. Siapakah 'pemain' misteri yang berkelahi dengan Messi itu? Misteri kini sudah dibongkari.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.