Isnin, 21 November 2016

Zon Analisis - Yaya Muncul Semula Penuh Bergaya

Pada 4 November yang lalu Yaya Toure melepaskan satu kenyataan rasmi menerusi laman web beliau memohon maaf kepada Manchester City dan Pep Guardiola berkenaan silap faham di antara pihak beliau dan kelab Manchester City terutama sekali melibatkan komen-komen oleh ejen beliau, Dimitri Seluk.


Walaupun Seluk terus berkeras menolak permohonan maaf bagi pihaknya oleh Yaya Toure, Guardiola tetap mengotakan janji yang beliau akan membuka peluang bermain kepada Yaya Toure jika menerima permohonan maaf secara rasmi. Ternyata semalam ramai yang terkejut dan teruja melihat nama Yaya Toure tersenarai dalam kesebelasan utama menentang Crystal Palace. Sumbangan Yaya Toure terbukti sangat bernilai apabila beliau menjaringkan 2 gol untuk memberi kemenangan 2-1 kepada City. Beliau juga membawa pengaruh besar dalam perlawanan dengan membuat hantaran berjaya terbanyak.

Sumber: Statszone
Sumber: 11tegen11
Gelanggang Palace bukanlah mudah untuk pasukan pelawat. Musim lepas City memerlukan jaringan saat akhir Iheanacho untuk memecah kebuntuan. Kali ini tidak kurang bezanya dengan Palace menekan hebat sepanjang perlawanan. Di babak pertama James McArthur berjaya membuat 6 bentesan menjadi penyumbang utama mengapa City banyak kehilangan posesi bola dan kurang mendapat mendapat peluang membuat percubaan gol (hanya 2 percubaan berbanding 3 dilakukan Palace).

Sumber: WhoScored.com
Begitupun City berjaya mendahului perlawanan hasil jaringan Yaya Toure pada minit ke-38. Ini mendorong kepada perubahan yang dilakukan Palace di babak kedua dengan membawa masuk Connor Wickham menggantikan Andros Townsend. Palace mula menggandakan bola hantaran jauh dan tinggi yang melihat statistik kemenangan bola udara Palace meningkat dan juga lebih mengancam di dalam kotak penalti City. Posesi bola City juga menurun.

Pola pertarungan udara babak kedua (sebelum gol Wickham)
Pola pertarungan udara babak pertama
Kemasukan Wickham membuahkan hasil apabila beliau menjaringkan gol penyamaan beberapa saat selepas City terlepas peluang menggandakan jaringan mereka. Guardiola menyedari gandingan ketat Cabaye dan McArthur menguasai bahagian sentral padang dan bertindak memasukkan David Silva menggantikan Nolito untuk memenangi pertarungan di bahagian sentral. Pertukaran ini berkesan dengan City berjaya mendominasi semula posesi dan meneutralkan ancaman Palace sebelum akhirnya memenangi perlawanan menerusi jaringan kedua Yaya Toure di minit ke-82.

Cabaye dan McArthur ketat mengawal bahagian sentral (Sumber: 11tegen11)
Posesi bola sebelum kemasukan Silva
Posesi bola selepas kemasukan Silva
- Bulan Biru
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.