Khamis, 17 November 2016

Kisah Frank Lampard Dan West Ham

Sila bandingkan 2 gambar foto Frank Lampard sedang meraikan gol ke atas 2 bekas kelab beliau:

vs West Ham
vs Chelsea
Begitu berbeza sekali layanan Lampard terhadap West Ham jika dibandingkan dengan Chelsea. Adalah mudah untuk memahami mengapa Lampard menolak untuk meraikan gol beliau ke atas Chelsea kerana selepas 13 tahun mencurahkan bakti bersama kelab itu sudah pasti pertalian sentimental di antara Lampard dan Chelsea begitu kuat sekali.

Tetapi West Ham pula adalah kelab di mana Lampard memulakan karier beliau. Bermula dari akademi West Ham yang menghasilkan ramai bintang England maka lahirlah Lampard menjadi antara pemain tengah terbaik dunia. Bahkan ayah beliau, Frank Lampard Sr. adalah pemain legenda West Ham.


Jadi mengapa layanan yang berbeza? Mengapa Lampard begitu gembira apabila menjaringkan gol menentang West Ham? Begini kisahnya:

Frank Lampard menyertai akademi West Ham pada tahun 1994 dan hanya selepas satu tahun di akademi, Lampard menandatangan kontrak sebagai pemain profesional. Setahun selepas bergelar pemain profesional, Lampard berjaya menembusi skuad utama dengan membuat kemunculan sulung pada Januari 1996 menentang Coventry City. Begitu pantas sekali peningkatan Lampard dalam senarai tangga pemain West Ham. Kebiasaannya para penyokong akan teruja dengan kemajuan pemain muda seperti itu tetapi berbeza pula layanan segelintir penyokong West Ham terhadap Lampard. Mereka mempersoalkan adakah benar peningkatan Lampard itu disebabkan oleh bakat dan kebolehan beliau atau sekadar hubungan dalaman di dalam kelab.

Suara sumbang mula kedengaran tentang amalan nepotisme di dalam West Ham. Ini adalah disebabkan pada waktu itu ayah Lampard merupakan salah seorang jurulatih di West Ham manakala pengurus mereka ketika itu ialah Harry Redknapp, bapa saudara kepada Lampard.


Tuduhan nepotisme itu begitu hebat sehinggakan Redknapp terpaksa mengadakan satu sidang media untuk mempertahankan Lampard.


Kemuncak kesabaran Lampard akhirnya tiba pada tahun 1997. Dalam satu perlawanan menentang Aston Villa, Lampard telah mengalami kecederaan patah kaki dan semasa diusung keluar beliau dapat mendengar sebahagian penyokong West Ham bertepuk tangan dan menyorak musibah yang menimpa beliau.

Sumber: Premier Manager 99
Insiden itu mendorong Lampard untuk tawar hati dan berputus arang dengan penyokong West Ham walaupun beliau tetap bersama The Hammers sehingga 2001. Di dalam buku autobiografi Totally Frank, Lampard mencatatkan, "Saya masih ingat semasa Joe Cole mula-mula sampai ke Chelsea. Dia akan kecewa apabila West Ham mendapat keputusan kurang memuaskan. Saya pula akan tersenyum. Begitulah perasaan saya (terhadap West Ham). Saya mahukan West Ham kalah. Sekarang keputusan mereka sedikit pun saya tak hirau".

Walaupun Lampard pernah berkata begitu, perselisihan beliau dengan West Ham sebenarnya lebih banyak berkisar sekitar hubungannya dan penyokong mereka. Pertalian sentimendal Lampard dan West Ham masih ada (sedikit jika tidak banyak) seperti yang terbukti semasa perlawanan testimoni Tony Carr di mana ramai bekas pemain kembali untuk menyarung jersi West Ham.


- Bulan Biru
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.