Ahad, 6 November 2016

Zon Analisis - City Kena Langgar Lari

City melepaskan 2 mata berharga sekaligus tempat di persada Liga Perdana Inggeris selepas melepaskan gol di minit akhir perlawanan untuk sekadar seri 1-1 menentang Middlesbrough di Stadium Etihad. City kini gagal memenangi 3 perlawanan EPL terakhir di laman sendiri buat pertama kali semenjak November 2009.

Sergio Aguero berjaya membuat pencapaian gol ke-150 bersama City namun hilang serinya kerana membazirkan begitu banyak peluang lain untuk memastikan 3 mata buat City. City membuat 25 percubaan (7 tepat) berbanding Boro yang hanya membuat 5 percubaan (3 tepat).


Manchester City menonjolkan dominasi secara total di babak pertama. Boro langsung tidak mengancam gawang City. Kosong percubaan dilakukan Boro yang berkampung di bahagian sendiri. Alvaro Negredo dilihat keseorangan di bahagian atas sambil 9 pemain lain membentuk benteng 2 lapisan untuk menyerap serangan City yang datang bertali-arus.


Akhirnya benteng Boro tembus juga di hujung babak pertama apabila Aguero menyudahkan hantaran Kevin De Bruyne. Selepas terbolos dijangka ruang akan menjadi lebih terbuka di separuh kedua. Walaupun benar Boro bermain lebih positif selepas rehat namun City seperti telah jatuh ke dalam perangkap Aitor Karanka.

Pemain City mula menunjukkan tanda-tanda lesu selepas menekan hebat lawan mereka di babak pertama. Beberapa kali pemain City membuat kesilapan kehilangan bola dan membuka ruang kepada Boro membuat serangan. Mujurlah Claudio Bravo kental menjaga gawang City.

Pep Guardiola cuba meregangkan formasi Boro dengan memperkenalkan Nolito namun pasukan Karanka terus berdisiplin. Sebaliknya kelesuan mula mengganggu fokus pemain City yang gagal menyudahkan peluang terhidang semasa menyerang dan gagal menekan dengan baik untuk menutup ruang kepada Boro. Hasilnya di masa tambahan Boro mengecewakan City dengan gol penyamaan Marten De Roon yang menanduk masuk hantaran lintang George Friend. Daripada ulang tayang dilihat Gael Clichy sepatutnya boleh berusaha lebih sedikit untuk melonjak dan mencabar bola itu.


Mungkin ini sememangnya strategi Karanka semenjak dari awal. Bertahan habis-habisan di babak pertama. Biarkan pemain City membazirkan tenaga mereka membuat serangan sebelum Boro sendiri tampil dengan permainan mereka di separuh kedua dan ambil kesempatan ke atas kelesuan pemain City. Berbeza sekali statistik 2 babak perlawanan ini. Di separuh pertama City memegang 78.4% posesi bola dan membuat 19 percubaan gol. Di babak kedua pula posesi City jatuh kepada 64.1% dan hanya 6 percubaan gol. Statistik hantaran tepat di antara 2 babak juga menurun daripada 91% kepada 83%. Boro yang hanya berdiam diri di separuh pertama mula menunjukkan belang mereka di separuh kedua membuat 12 gelecekan berjaya.

Selayaknya pujian mesti diberikan kepada Karanka andai memang itu rancangannya. Menggunakan kesilapan lawan untuk menghukum mereka adalah tunjang utama ideologi Jose Mourinho yang juga adalah mentor Karanka.


Betul ujar Guardiola sepatutnya City memenangi perlawanan ini. Sepatutnya City boleh menamatkan perlawanan lebih awal. Jadi di mana kekurangan City kali ini? Satu aspek jelas dalam perlawanan ini ialah keberkesanan di udara. Dalam perlawanan ini City mendapat 8 sepakan penjuru namun satu pun tidak membuahkan hasil. Menentang pasukan yang bertahan secara berkampung di kotak penalti kebiasaannya boleh ditembusi melalui membuat hantaran atas berbanding hantaran leret kerana kepadatan tinggi di dalam kotak penalti. Namun sayang City tidak memiliki pemain yang boleh membuat ancaman di udara seperti Edin Dzeko atau Alvaro Negredo.

- Bulan Biru
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.