Khamis, 3 November 2016

Zon Analisis - Kawasan Sentral & 10 Palsu Kunci Kejayaan City

Untuk setiap perkara pasti ada kali pertamanya. Manchester City akhirnya berjaya menewaskan Barcelona dalam satu perlawanan kompetitif selepas 5 kekalahan sebelum ini dengan menang bergaya 3-1 hasil jaringan 2 gol Ilkay Gundogan dan sepakan bebas cantik Kevin De Bruyne.

Andai gagal melawan api dengan api maka lawanlah dengan air. Begitulah lebih kurang rumusan tentang pendekatan yang diambil Pep Guardiola untuk menangani penguasaan pasukan Barcelona. Luis Enrique sendiri mengakui pasukan mereka bermain dengan begitu baik sebelum melakukan kesilapan yang membuka peluang untuk Gundogan menjaringkan gol penyamaan.


Barcelona menguasai perlawanan hampir di setiap sudut permainan. Di babak kedua Guardiola mengubah sedikit pendekatan pasukannya dengan bermain lebih langsung sambil beberapa perubahan pada peranan pemain. Hasilnya di separuh masa kedua walaupun Barcelona masih berjaya memegang posesi tapi jelas City adalah pasukan yang lebih mengancam. Pemain City menekan dengan lebih agresif berjaya merampas posesi bola lebih kerap dan melancarkan serangan ke gawang Barcelona.


Perubahan peranan yang diperkenalkan Guardiola berjaya mengubah keberkesanan pemain City. Pengaruh De Bruyne dilihat lebih jelas di separuh kedua apabila dibawa bermain lebih sentral dan membawa peranan '10 Palsu'. De Bruyne membuat 17 hantaran sempurna di babak kedua berbanding hanya 7 di babak pertama. Peta haba memaparkan De Bruyne lebih menyerlah di babak kedua.


Aguero digunakan sebagai '9 Palsu' dalam perlawanan ini. Hanya apabila De Bruyne diperkenalkan ke peranan '10 Palsu' barulah peranan Aguero menjadi lebih efektif dan beliau mampu menumpukan permainan di bahagian sentral padang.


Keberkesanan permainan City ini turut didorong oleh pemain City yang menekan dengan lebih intensif di separuh kedua menekan pemain Barcelona di kawasan sentral dan memaksa mereka melepaskan posesi. City membuat 18 bentesan berjaya di separuh kedua berbanding hanya 7 di separuh pertama dan boleh dilihat lebih banyak bentesan dilakukan di kawasan sentral. 


Boleh dirumuskan Guardiola telah meninggalkan pendekatan mencari posesi yang beliau lihat sukar untuk City menangi ke atas Barcelona dan berubah kepada permainan menekan lawan secara intensif, bermain secara langsung dan melancarkan serangan seawal mungkin selepas merampas posesi. Pendek kata Guardiola telah menggunakan pendekatan 'counter-pressing' sambil mengoptimumkan penggunaan De Bruyne sebagai '10 Palsu'.


- Bulan Biru
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.