Isnin, 16 Mac 2015

Laporan Kaki Bangku: BPL 2014/15 Burnley (1) - Manchester City (0)

Tradisi Manchester City di Turf Moor lebur dengan persembahan longlai City. Gelaran juara BPL yang diidam semakin jauh dari tangan sambil pasukan Arsenal dan United semakin hampir di belakang. Kebuntuan mencari gol akhirnya dihukum oleh Burnley menerusi gol tunggal George Boyd.


Bermain lebih awal daripada Chelsea, City perlu memastikan jurang di antara mereka kekal. Lebih-lebih lagi Chelsea mempunyai kelebihan bermain kurang 1 perlawanan. Namun formasi 4-4-2 menyerang yang diturunkan Pellegrini gagal diterjemahkan. City kelihatan buntu mahu menembusi benteng Burnley yang kemas dan kental.

Selepas 30 minit permainan berlangsung barulah City mendapat peluang tetapi percubaan Dzeko dan Aguero berjaya dihadang pemain pertahanan dan penjaga gol Burnley. Peluang terbaik City jatuh kepada Silva apabila mendapat umpanan Aguero tetapi sentuhan pertama yang lemah telah menggagalkan beliau dan peluang emas menjadi sia-sia. 



2 lagi peluang gol kepada Aguero di separuh masa pertama hanya menyaksikan rembatan beliau tersasar dari gawang. Aguero bernasib baik tidak dilayangkan kad merah hatta kad kuning sekalipun kerana insiden terjahan tinggi merebut bola di penghujung babak pertama. 


Keadaan tidak berubah di babak kedua dengan City terus bermain secara kasual menunggu peluang melakukan percubaan gol sambil Burnley terus disiplin menutup sebarang ruang. Seperti banyak permainan lalu di mana City mendominasi posesi tetapi buntu, mereka sering terdedah kepada serangan kilas pihak lawan. Burnley tidak kurangnya melakukan serangan kaunter namun Kompany tampil dengan aksi bersemangat mematahkan gerakan mereka. Mungkin beliau agak tercabar kerana tidak diturunkan ketika menentang Leicester.


Aksi bersemangat Kompany akhirnya tercalar pada minit ke-61 kerana gol Burnley terhasil daripada tandukan beliau. Bekas pemain akademi City Kieran Trippier menghantar sepakan bebas ke dalam kotak penalti dan berjaya ditanduk oleh Kompany. Namun tandukan beliau jatuh kepada Boyd yang menunggu di pinggir kotak penalti City. Tanpa berfikir panjang Boyd melepaskan voli cantik dan bola memecut deras menewaskan Hart.




Selepas ketinggalan barulah urgensi dilihat dalam permainan City. Bony dibawa masuk menggantikan Dzeko. Jovetic dan Lampard turut diperkenalkan untuk memberi suntikan segar kepada pasukan City. Tetapi semuanya mungkin sudah terlambat kerana Burnley cekal mempertahankan kelebihan mereka. Insiden menarik di minit-minit kecederaan ialah apabila seorang lagi bekas pemain akademi City, Ben Mee dilihat jelas menjatuhkan Zabaleta di dalam kotak penalti tetapi tidak diendahkan pengadil malahan Zabaleta dipersalahkan kerana simulasi.



Jejak juara City menjadi semakin sukar selepas kekalahan ini. Diharap Pellegrini segera mencari tonik kepada masalah taktikal City yang semakin meruncing kerana bukan sahaja semakin jauh ditinggalkan Chelsea malahan City hanya berbeza satu dua mata sahaja dengan Arsenal dan United.

Superbia in proelio - Blog Bulan Biru
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.