Ahad, 1 Mac 2015

Laporan Kaki Bangku (Edisi Submit Lewat): UCL 2014/15 Manchester City (1) - FC Barcelona (2)


Lumrah alam pokok pisang hanya berbuah sekali tapi gamaknya baka dari Barcelona ini memang spesis boleh berbuah berkali-kali. Skrip yang sama berulang kembali dengan membawa hasil yang serupa. Barca menundukkan City di Etihad dengan keputusan 1-2 menerusi 2 gol oleh Luis Suarez manakala Aguero memotong defisit yang perlu City bawa ke Nou Camp.

Pendekatan menyerang oleh kedua-dua pasukan menyaksikan perlawanan yang terbuka tetapi Barca terlebih dahulu menguasai permainan dan City diperkotak-katikkan di dalam kawasan mereka. Kawalan bola Barca menekan City di dalam kawasan sendiri dan ia tidak dibantu oleh barisan City yang bertahan rendah menjemput serangan daripada Barca.

Pada minit ke-16 Barca berjaya membolos gawang City. Bermula dengan lontaran ke dalam Barca, Messi membuat hantaran silang yang direbut Suarez dan Kompany. Kompany cuba menanduk selamat bol. tetapi tandukan beliau tidak kemas dan jatuh di hadapan Suarez yang terus melepaskan rembatan menewaskan Hart.



City terus ditekan Barca tetapi kedudukan 0-1 berjaya dikekalkan oleh ketangkasan Hart dan Demichelis menghalang Neymar, Suarez dan Messi dari menambah jaringan.


Namun tiada apa yang boleh City lakukan untuk menghalang gol kedua Barca di minit ke-30 dari gerakan pasukan yang cantik. Rakitic dan Messi berganding memulakan gerakan melepaskan Alba di sayap kiri yang kemudiannya membuat hantaran lintang yang disudahkan sekali lagi oleh Luis Suarez. Kapten pasukan City, Kompany semestinya menyesal tidak berjaya memintas bola kepada Suarez itu.





City sememangnya didominasi sepanjang separuh masa pertama tetapi dengan pendekatan berbeza selepas rehat mereka berjaya membuka ruang di pertahanan Barcelona. Dzeko terlepas 2 peluang tandukan dan larian Aguero hanya berakhir dengan kekecewaan melihat bola beliau sipi melewati tiang gol. Momentum City terus meningkat dan hasilnya pada minit ke-69 mereka berjaya merapatkan jurang melalui Aguero yang mengambil peluang kuisan cantik Silva.




Gol persis jaringan menentang QPR membakar semangat City mencari gol penyamaan dan kepercayaan mula terpancar di muka setiap pemain. Malangnya ia tidak kekal lama, sekali lagi pemain City dilayangkan kad merah dalam  pertembungan dengan Barcelona. Kali ini giliran Gael Clichy yang mendapat kad kuning kedua selepas mengasari Dani Alves.



Mencari gol menentang Barca dengan 10 pemain adalah cabaran yang amat sukar. Apa yang lebih sukar ialah bertahan dengan 10 pemain menghalang Barca mencari gol ketiga yang hampir menjadi kenyataan apabila Zabaleta menjatuhkan Messi dan Barca dihadiahkan sepakan penalti pada saat-saat akhir perlawanan. Berdepan dengan Messi, Hart menjadi wira City menyelamatkan sepakan penalti Messi dan mengekalkan kedudukan pada 1-2 sebagai bekal ke Nou Camp.




Fakta menarik perlawanan:
1. 5 daripada 8 kad merah terakhir City hadir dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah.
2. City sudah memboloskan 100 gol di bawah pengendalian Pellegrini.

Superbia in proelio - Blog Bulan Biru
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.