Perjalanan Liga Juara-Juara Eropah Manchester City musim ini seakan-akan seperti salinan karbon musim lepas. Selepas bertemu dengan Bayern dan CSKA Moscow di peringkat kumpulan, City sekali lagi diundi bertemu Barcelona di peringkat pusingan kedua. Persoalannya kini adakah pisang akan berbuah buat kedua kali? Atau adakah Barca bakal menjadi goreng pisang buat santapan City?
Kedua-dua pasukan berada dalam kekuatan hampir penuh dengan tiada kecederaan di pihak City namun mereka terpaksa bermain tanpa pemain tangkal, Yaya Toure yang masih digantung perlawanan. Manakala Barcelona hanya kehilangan Thomas Vermaelen yang masih belum membuat kemunculan untuk Barca kerana dibelenggu kecederaan.
Jangkakan permainan yang terbuka dan menyerang oleh kedua-dua pasukan. Tetapi yang lebih menarik kita lihat bagaimana cara City berdepan dengan Barcelona kali ini berbanding musim lepas di mana mereka kelihatan agak gemuruh. Samir Nasri menyatakan mereka terlalu menghormati Barca musim lalu sehingga kehilangan rentak permainan dan kali ini City akan bermain dengan cara berbeza. City mara ke perlawanan ini dengan keyakinan yang tinggi selepas keputusan besar menang 4-1 dan 5-0 ke atas lawan mereka manakala Barca pula mahu bangkit dari kekalahan mengejut kepada Malaga. Ramalan Blog Bulan Biru: City 1 - Barca 0.
Seleksi Blog Bulan Biru |
1. City dan Barca hanya pernah bertemu sebanyak 3 kali. Barca memenangi 2 perlawanan pusingan kedua UCL musim lalu (agregat 4-1) manakala sebelum itu perlawanan di antara mereka dimenangi City dalam pertandingan persahabatan Piala Joan Gamper di Nou Camp dengan jaringan 1-0.
2. Tidak seperti pertandingan BPL di mana City sukar untuk menang dengan ketiadaan Toure, 2 kemenangan yang dikecapi City untuk layak dari peringkat kumpulan dimainkan tanpa kelibat Toure manakala ketika Toure bermain dalam 4 perlawanan sebelum itu semuanya berakhir tanpa kemenangan.
Superbia in proelio - Blog Bulan Biru