Persembahan 5 bintang dipertontonkan oleh Manchester City di Etihad. Barangkali masih lapar kerana lama 'berpuasa' 5 perlawanan, City dengan rakusnya meratah Newcastle selepas melantak Stoke dua minggu lalu. Keputusan yang lebih baik kali ini melihatkan City mencatat 5 gol tanpa balas dengan gol-gol oleh Aguero, Nasri dan Dzeko di separuh masa pertama dan ditambah dengan 2 gol oleh Silva di separuh masa kedua. Perlawanan ini turut menjadi pentas debut untuk penyerang baru City, Wilfried Bony.
Kerakusan City bermula seawal minit ke-2 apabila ketika perlawanan hanya berusia 30 saat, City dihadiahkan sepakan penalti. Anita gagal mengawal bola dengan kemas di pinggir kotak penalti dan Dzeko yang pantas merampas bola dijatuhkan Anita dalam kotak penalti. Pengambil sepakan penalti City, Sergio Aguero dengan tenang menendang bola masuk menewaskan Tim Krul untuk gol pembukaan City.
Permainan terus dikuasai City dan di minit ke-12 mereka menggandakan pendahuluan dengan gol oleh Samir Nasri. Sekali lagi Dzeko terlibat dalam pembinaan gol apabila bola hantaran lintang beliau terbias pemain Newcastle sebelum menemui Nasri yang tenang mengawal bola dan menendang masuk gol kedua City.
Selepas gol kedua, pemain City menjadi semakin bersemangat terutama sekali Dzeko yang mempertontonkan aksi terhebat beliau musim ini. Mungkin tergugat dengan kehadiran pencabar baru iaitu Wilfried Bony, Dzeko dilihat begitu rajin mengejar bola, mencari posisi strategik dan seringkali melibatkan diri dalam gerak serang City. City berpeluang mendapat 2 lagi sepakan penalti apabila Dzeko dikasari pertahanan Newcastle tetapi beliau gagah tidak menjatuhkan badan. Betapa amanahnya Dzeko hari itu. Usaha cekal dan rajin Dzeko akhirnya berbalas pada minit ke-21 apabila Silva membuat hantaran lambung cantik kepada beliau dan dengan hanya 2 sentuhan Dzeko menampan bola di dada sebelum melepaskan sepakan mencari jaring untuk gol ke-3 City.
Newcastle mengubah strategi mereka di awal separuh masa kedua dan cuba mengasak pasukan City. Peluang terbaik mereka adalah percubaan voli Cisse yang terbias Kompany tetapi Hart dengan tangkasnya menyelamatkan gawang City penuh bergaya. Dalam menyerap asakan Newcastle, City berjaya melakukan serangan kilas pada minit ke-51 apabila Aguero, Nasri dan Silva bergabung mencipta gol keempat City. Bola dikeluarkan dari kawasan City sampai kepada Aguero yang membawa bola dari garisan tengah sayap kiri menuju ke pinggir tengah kotak penalti Newcastle sebelum memberi bola kepada Nasri yang membuat umpanan kepada Silva yang dengan peluang yang terhidang meletakkan bola melangkaui jangkauan Krul.
Belum pun sempat gol Silva selesai dikemaskini di dunia alam maya, Silva dengan sepantas kilat menjaringkan gol kedua peribadi pada minit ke-53. Hantaran lambung Toure ditampan oleh Aguero dengan dada dan Silva segera membuat tendangan separa voli mengalahkan Krul buat kali kelima.
Selesa dengan kedudukan 5-0, Pellegrini mula mengeluarkan bintang-bintang utama sebagai menyimpan tenaga mereka untuk pertemuan dengan Barcelona. Silva digantikan dengan Navas dan Wilfried Bony diberikan debut Manchester apabila masuk menggantikan Aguero sebelum akhir sekali Nasri dikeluarkan untuk Lampard.
City mendapat beberapa peluang untuk menambah jaringan seperti Dzeko yang mengejar bola liar hanya berdepan dengan penjaga gol tetapi berjaya dihadang Krul dan kemudian Toure berjaya melepaskan Bony tetapi beliau ditidakkan gol debut oleh Krul yang berjaya membuat tampanan dengan kaki kiri. Kolarov juga menduga gawang Krul dengan rembatan sepakan bebas yang berjaya ditepis keluar. Kedudukan 5-0 kekal ke wisel penamat dan mimpi ngeri Newcastle pun berakhir.
Harap-harapnya selepas meratah dua pasukan lawan, City jangan kenyang lagi dan menyediakan perut untuk menerima hidangan dari Barcelona pula.
Fakta menarik perlawanan:
Fakta menarik perlawanan:
1. Kemenangan pertama City di Etihad semenjak 4 Januari 2015.
2. City mencatatkan gawang bersih pertama dalam 11 perlawanan semenjak 20 Disember 2014.
3. Sergio Aguero membuat kemunculan ke-150 dalam kesemua pertandingan.
4. Buat pertama kali dalam karier City beliau, Samir Nasri membuat jaringan dalam 2 perlawanan berturut-turut.
Superbia in proelio - Blog Bulan Biru