Isnin, 2 Februari 2015

Laporan Kaki Bangku: BPL 2014/15 Chelsea (1) - Manchester City (1)

Pertembungan dua ombak biru membatalkan kuasa masing-masing. 1 mata dikongsi bersama Chelsea dan City selepas keputusan 1-1 di Stamford Bridge. Kempunanlah hendak mendengar ayunan lagu "Stamford Bridge is falling down". Keputusan seri ini lebih dihargai pihak Chelsea yang mengekalkan jurang 5 mata dengan City jika dibandingkan dengan City yang merasakan mereka sepatutnya pulang membawa lebih daripada itu. City mempamerkan aksi bertenaga yang sudah jarang dilihat dalam beberapa perlawanan terdahulu. Bak kata Pellegrini, "Saya tidak gembira dengan 1 mata, tetapi gembira dengan persembahan (City)".


Kedua-dua pasukan bermain dengan mantap sepanjang perlawanan dengan formasi permainan yang penuh disiplin menjadi tontonan. Gol-gol terhasil daripada kesilapan individu di hadapan gol kedua-dua pihak. Gol Chelsea dijaringkan Loic Remy manakala David Silva menjadi penyelamat City.




Selepas persembahan hambar sejak kebelakangan ini, Pellegrini semestinya sudah menegur anak-anak buah beliau. Ternyata aksi City sangat berbeza hari itu. Bola digerakkan dengan pantas dan tempo dimainkan dengan tinggi. Milner berlari tanpa henti dan Navas acap kali merobek kawasan jagaan Azpilicueta. Fernando yang kebiasaanya tinggal di bawah bermain dengan mentaliti lebih menyerang dengan turut serta naik ke atas membantu gerak serang walaupun kawalan bola beliau kadang kala agak lemah. Fernandinho  pula membuktikan kekuatan fizikal beliau. Permainan Fernandinho hari itu mengingatkan kepada aksi De Jong dengan terjahan keras dan tepat menyebabkan beberapa pemain Chelsea tergolek anjing dibuatnya. Sebarang pohon simpati daripada pemain Chelsea langsung tidak dilayan pengadil walaupun melambung jatuh kerana terjahan bersih yang dilakukan Fernandinho. Aksi menyerang City menyebabkan mereka lebih banyak menekan pasukan Chelsea yang kurang menyengat dengan ketiadaan Fabregas dan Costa di dalam skuad mereka. Sebagai tindakbalas, Chelsea menyerap tekanan City melalui Matic dan Ramires. Walaupun ditekan hebat, serangan Chelsea tidak kurang tajamnya melalui Hazard yang mengancam dengan larian beliau membawa bola melepasi benteng lawan.




Beberapa peluang diperoleh kedua-dua pasukan untuk mereka menjaringkan gol sebelum gol pembukaan Remy. Di minit ke-24, Milner merampas bola dari Ivanovic lalu melorong bola kepada Aguero yang menyaksikan rembatan beliau ditampan Courtois. Sejurus kemudian Chelsea pula mendapat peluang apabila Kompany hilang kawalan bola kepada Remy dan umpanan beliau sampai kepada Oscar. Namun percubaan Oscar terlalu lemah dan mudah didakap Hart. Kemudian di minit ke-32, sedang pemain-pemain Chelsea sibuk meminta dihadiahkan sepakan penalti, Demichelis menendang bola jauh ke hadapan ke arah gol Chelsea. Terry yang terkejut sudah terperangkap kerana beliau naik ke atas dan bola terlepas ke kaki Aguero. Namun nasib menyebelahi Chelsea kerana nampaknya kaki Aguero masih berkarat lagi. Dalam keadaan satu lawan satu dengan Courtois, Aguero hanya mampu melihat bola tendangannya meleret ke tepi tiang gol dan keluar.

Akhirnya gawang City ditembusi pada minit ke-42. Ivanovic melihat ruang kosong di bahagian bek kanan City menghantar bola lambung kepada Hazard yang terus membuat hantaran silang voli ke tengah kotak penalti. Walaupun Kompany ada menunggu di situ tetapi kaki beliau tidak kesampaian dan Remy yang menunggu di belakang mudah menewaskan Hart dari jarak 5 ela.




Kedudukan 1-0 sememangnya memberi kelebihan kepada pasukan yang memiliki disiplin tinggi dalam bertahan seperti Chelsea. Tetapi kesilapan Courtois di minit ke-45 membuka ruang kepada City. Bermula dengan gerakan Sagna dan Navas dari sebelah kanan, Navas membuat hantaran lintang ke kotak penalti City. Courtois yang melihat ancaman Milner terus meluru keluar dan cuba menumbuk bola keluar. Tetapi bola melewati kedua-dua mereka dan jatuh kepada Aguero yang membuat cubaan ke arah gol. Percubaan Aguero itu pula ditampan masuk oleh Silva ke dalam gol Chelsea yang kosong. Mujurlah ada Silva untuk menampan masuk bola kerana percubaan Aguero mungkin terkeluar atau boleh ditahan pemain Chelsea yang menunggu di atas garisan gol.




Kedudukan 1-1 ini kekal sehingga ke wisel penamat. Di separuh masa kedua, Chelsea langsung tidak membuat percubaan gol ke gawang City. Manakala City terus menekan Chelsea yang kelihatan selesa berkampung di kawasan sendiri. Aspek situasi bola mati masih menjadi isu skuad City dengan tiada ancaman daripada 8 sepakan penjuru yang diperoleh City. Navas pula yang berkali-kali berjaya melepaskan diri di sayap kanan gagal mengekspoitasi kelebihan untuk mencipta peluang gol kepada rakan-rakan. Lampard, Dzeko dan Jovetic dibawa masuk untuk cuba mencari gol kemenangan tetapi akhirnya City terpaksa akur dengan sekadar keputusan seri.


Superbia in proelio - Blog Bulan Biru
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.