Hebat betul dugaan Raheem Sterling dihentam dan dipersalahkan dalam setiap persembahan hambar pasukan. Tak kiralah untuk pasukan negara ataupun kelab Sterling sering dikritik kerana kualiti bola akhir yang lemah atau kehilangan bola semasa menggelecek.
Baru berusia 21 tahun seolah-olah sudah tiada lagi masa depan untuk anak muda tersebut. Maka tampillah Pep Guardiola menjadi penyelamat memberi sokongan dan kata-kata semangat. Baru-baru ini Guardiola telah membuat panggilan telefon kepada Sterling.
"Selagi awak bermain untuk saya, saya akan berjuang untuk awak. Jangan risau, jangan tunduk, saya tahu anda adalah pemain yang baik dan akan terlibat dalam rancangan besar saya".
Kedengaran begitu mudah sekali kata-kata Guardiola tapi impak yang dibawa kepada keyakinan seorang pemain muda semestinya begitu besar sekali. Inilah kualiti pengurusan individu yang dimiliki Guardiola.
Sterling bukanlah pemain muda pertama yang 'diselamatkan' oleh Guardiola. Semasa di Bayern Munich, Guardiola membuat perkara yang sama sebelum itu kepada Kingsley Coman. Persamaan Coman dan Sterling begitu ketara. Muda, suka menunjukkan skil atas padang, memiliki kepantasan tetapi kurang kualiti di produk akhir.
Ujar Coman perkara pertama yang diucapkan Guardiola ialah, "Saya tak akan mengajar awak bagaimana mahu menggelecek - awak tahu melakukannya". Jadi Guardiola bekerja keras melatih taktik yang menggunakan kelebihan pemain sayap seperti Coman secara efektif.
Pemain sayap diarah berdiri di posisi selebar mungkin supaya dapat mencari peluang situasi 1-lawan-1 sekerap mungkin. Bagusnya Guardiola ialah beliau tidak akan marah jika pemain gagal menggelecek bola ketika 1-lawan-1. Sebaliknya beliau terus memberi galakan, "Jika anda gagal lepas di cubaan pertama, kedua atau ketiga, anda pasti akan berjaya di cubaan seterusnya". Guardiola cukup memahami risiko permainan seorang pemain sayap bukan seperti segelintir mereka yang baru sekali dua pemain gagal menggelecek sudah menggelupur seperti cacing kepanasan.
Pesan Guardiola kepada Coman mudah, "Jangan sekali-kali berhenti menggelecek".
Kini Coman adalah antara bintang Perancis di Euro 2016 sambil dicatatkan sebagai pemain terpantas kejohanan (32.8 km/j).
- Bulan Biru