Di awal musim terbit soalan tentang bagaimana Pep Guardiola mahu meletakkan Kevin De Bruyne, David Silva, Ilkay Gundogan dan Fernandinho dalam formasi Manchester City jika kesemua mereka boleh dimainkan. Dengan formasi 4-3-3 (atau 4-1-4-1 jika anda mahu) hanya ada ruang untuk 3 pemain sahaja di bahagian sentral. Satu solusi yang dilontarkan ialah untuk memainkan De Bruyne di bahagian sayap dan inilah yang yang dilakukan oleh Guardiola di Swansea. Tanpa Nolito yang digantung perlawanan, Guardiola tidak meletakkan Sane di bahagian sayap sebaliknya bermula dengan De Bruyne di sayap kiri.
Berbeza dengan perlawanan lain sebelum ini, pemain sayap De Bruyne dan Sterling kelihatan gemar bergerak masuk ke arah sentral dan ini menyebabkan hilangnya aspek lebar dalam formasi City dan menyesakkan bahagian sentral. Ini memudahkan Swansea membentuk formasi yang lebih ketat dan City sukar mencari jalan menembusi barisan pertahanan mereka. Guardiola yang menyedari masalah ini mengubah posisi De Bruyne ke bahagian sentral dan Silva beralih ke bahagian sayap di separuh masa kedua. Walaupun Silva bukan seorang pemain sayap tulen dan tidak menawarkan kelebaran sepenuhnya tetapi sekurang-kurangnya kawasan sentral di separuh masa kedua menjadi kurang sesak. Di perlawanan lain sebelum ini barisan atas City sering bermain lebar untuk meregangkan pertahanan lawan. Mungkinkah Guardiola sebenarnya bereksperimen di separuh masa pertama?
Perbandingan boleh dilihat pada peta haba (MR, ML, MC) dan posisi purata pemain City di antara 3 perlawanan berikut:
Swansea vs Manchester City
Manchester City vs Bournemouth
Manchester City vs Borussia Monchengladbach
- Bulan Biru