Dalam perlawanan derbi Manchester ke-172 yang dimenangi Manchester City, salah satu medan pertempuran taktikal utama adalah di bahagian tengah sentral. Manchester City dengan sistem pivot tunggal manakala Manchester United menggunakan sistem dwi-pivot.
Secara logiknya sistem dwi-pivot yang lebih defensif sepatutnya mampu menguasai pertarungan di bahagian tersebut tetapi sebaliknya pergerakan bebas 2 pemain tengah ofensif David Silva dan Kevin De Bruyne dengan mudah menembusi gandingan Marouane Fellaini dan pemain termahal dunia, Paul Pogba. Penguasaan 3 pemain City begitu ketara sehingga memaksa trio sentral United bergerak ke bahagian sayap untuk mencari ruang.
Pertembungan di antara Fernandinho dan Pogba juga sudah dijangka akan menjadi antara penentu keputusan perlawanan. Fernandinho sekali lagi mengisi peranan pivot tunggal dengan begitu berkesan sekali menjadi penggerak utama pasukan dari bahagian bawah dan tengah membuat 57 hantaran sempurna berbanding Pogba yang tenggelam dengan hanya 35 hantaran sempurna sepanjang perlawanan.