*Maaf atas keterlewatan dan hiatus berpanjangan. Banyak perihal pasca-banjir yang perlu diuruskan
Goodison Park bukanlah laman kegemaran mana-mana pasukan pelawat, termasuklah Manchester City. Malahan rekod City di laman Everton tidaklah begitu cantik. Hanya 2 kemenangan yang berjaya dikecapi oleh City dalam 10 pertemuan Liga Perdana terakhir di antara dua kelab ini.
Di sebalik dominasi tinggi Manchester City, nereka gagal mencari belakang gawang gol Everton walaupun membuat 18 percubaan di sepanjang perlawanan. Ketepatan menjadi isu pasukan City. Hanya 2 percubaan tepat berjaya dilakukan, lebih kurang 10% daripada jumlah percubaan. Pasukan Everton pula dengan posesi yang lebih sedikit berjaya membuat lebih banyak percubaan tepat. Dzeko dan Aguero sudah kembali berlatih bersama skuad utama tetapi belum cukup cergas untuk memulakan perlawanan maka Jovetic sekali lagi dipilih untuk memacu bahagian serangan. Kali ini pergerakan Jovetic dilihat lebih sinergi bersama rakan sepasukan yang lain, membolehkan posesi bola kekal bersama City namun kurangnya larian penetrasi oleh beliau menghadkan peluang jelas kepada Jovetic untuk melakukan percubaan tepat.
City mendapat beberapa peluang di separuh masa pertama. Pertamanya bila Silva melorongkan bola kepada Navas selepas Jagielka membuat kesilapan tetapi sayang tendangan Navas jauh tersasar dengan hanya Joel menjadi penghalang. Kemudiannya Silva terlepas pandang larian Nasri di belakang beliau selepas mendapat bola di dalam kotak penalti. Jika bola sampai kepada Nasri sudah hampir pasti sorakan gol yang menanti.
Everton juga berpeluang mendapatkan gol tetapi palang menjadi penyelamat City daripada percubaan Coleman selepas Hart lari dari posisi menyelamatkan percubaan Lukaku. Everton terus menaikkan tahap permainan mereka di separuh masa kedua dan tampak berbahaya dari situasi bola mati.
Dengan kesuntukan masa dan ketumpulan jentera serangan, Pellegrini akhirnya memutuskan untuk membawa masuk Aguero menggantikan Jovetic. Impak Aguero menampakkan hasil dengan beberapa percubaan segera tetapi jelas kaki beliau masih berkarat kerana berehat lama, banyak tendangan Aguero melalut dari sasaran.
Kebuntuan perlawanan terurai di minit ke-66 melalui tandukan Fernandinho. Semuanya bermula serangan Everton yang dihentikan dengan bentesan cantik Zabaleta merampas bola daripada Lukaku dan City terus melancarkan satu serangan kilas dari sayap kanan, bola berjaya dihantar kepada Silva di tengah kotak penalti dan Silva membuat percubaan tetapi bola terkena pertahanan Everton. Bola yang melambung di depan gawang disambut oleh Fernandinho untuk menjadikan kedudukan 1-0.
Tetapi kelebihan City tidak kekal lama. Everton yang tidak hilang semangat dengan gol City menyamakan kedudukan berselang 5 minit juga melalui satu tandukan. Everton mendapat sepakan bebas di sayap kiri dan hantaran cantik Leighton Baines berjaya menemui kepala Naismith yang mendahului Hart. Hart yang yang meluru keluar hanya sekadar menumbuk angin dambil menoleh ke belakang melihat bola menerjah jaring.
Biarpun kegagalan City memungut mata penuh ini agak mengecewakan, keputusan seri ini dilihat adil kerana pasukan Everton bermain penuh semangat dan lebih efektif walaupun perlawanan dikuasai City.
Superbia in proelio - Blog Bulan Biru