Ini adalah perlawanan yang berbeza dalam 2 separuh masa. Daripada suasana soap opera di separuh masa pertama ia bertukar menjadi filem penuh aksi thriller, mendebarkan hatta jiwa yang paling kental. Selepas gol pembukaan Toure, 4 gol dalam sela masa 7 minit menyaksikan City menang 3-2 ke atas Sunderland sekaligus mencatat kemenangan berganda pertama ke atas mereka semenjak musim 2008/09.
Jelas di separuh masa pertama Sunderland hanya mempunyai satu matlamat iaitu bertahan sehabis mungkin dan mencari peluang serangan kilas. Setiap kali City mendapat bola sekurang-kurangnya 9 pemain Sunderland akan berkampung di kawasan penalti menutup sebarang ruang untuk City memainkan bola. Akhirnya City terpaksa melakukan percubaan luar kotak penalti dan dari situasi bola mati.
Separuh masa kedua bermula dengan gaya yang sama sebelum Sunderland akhirnya hilang fokus di minit ke-57. Melalui pembinaan yang sabar dari sebelah kiri, City mencari peluang menembusi benteng Sunderland dan akhirnya Toure berjaya mencari sedikit pembukaan untuk melepaskan tembakan bak peluru kereta kebal ke bucu atas gawang Sunderland. Pantilimon langsung tidak berpeluang untuk menyelamatkan bola deras tersebut.
Ketinggalan satu gol Sunderland cuba menekan mencari gol penyamaan tetapi sebaliknya City yang berjaya menggandakan kelebihan. Sekali lagi melalui gerakan dari sebelah kiri, gandingan Gael Clichy dan Jovetic berjaya membuka ruang untuk Clichy membuat hantaran silang yang kemudiannya dikuis cantik oleh Jovetic untuk menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-66.
City kini dalam kedudukan yang selesa tetapi mimpi ngeri perlawanan menentang Burnley sebelum ini hampir-hampir berulang kembali. Dalam tempoh 5 minit selepas gol Jovetic, Sunderland berjaya menjaringkan 2 gol untuk menyamakan kedudukan. Terkesan dengan 2 gol City, Sunderland mula menyerang dengan lebih hebat dan di minit ke-68 mereka memotong defisit jaringan melalui tandukan bekas pemain City, Jack Rodwell hasil dari tendangan penjuru.
3 minit kemudian, satu lagi serangan Sunderland yang mengancam gawang City berakhir dengan mereka dianugerahkan sepakan penalti setelah Zabaleta mengasari pemain Sunderland. Seorang lagi bekas The Citizens, Adam Johnson tampil untuk mengambil sepakan dan mudah menewaskan Caballero.
Dari drama bosan kepada drama aksi yang kemudiannya menjadi drama seram. Tetapi drama perlawanan ini belum berakhir, hanya 2 minit selepas gol penyamaan Sunderland, City bangkit dengan satu lagi kejutan plot. Clichy sekali lagi menjadi pembekal gol City dengan hantaran lintang ke dalam kotak penalti yang tenang ditanduk Frank Lampard menewaskan Pantilimon.
Dengan gol tersebut Frank Lampard kini menjadi penjaring gol BPL keempat terbanyak selepas memotong rekod gol Thierry Henry. Selepas gol Lampard, Manchester City tidak mengulangi kesilapan awal dan terus menguasai permainan hingga ke wisel penamat. City sepatutnya boleh menambah lebih banyak gol tetapi persembahan mantap seorang lagi bekas pemain City, Costel Pantilimon di gawang Sunderland menidakkan percubaan Lampard, Fernandinho dan Navas untuk mengekalkan jaringan gol pada kedudukan 3-2.
Dengan kekalahan 5-3 Chelsea di tangan Tottenham, ini bermakna City adalah pendahulu liga bersama. Ini kerana City dan Chelsea kini berkongsi jumlah mata, perbezaan gol dan juga jumlah jaringan gol.
Fakta menarik perlawanan:
1. Jika liga berakhir sekarang, City dan Chelsea perlu bermain secara playoff di laman neutral untuk menentukan siapa juara.
Superbia in proelio - Blog Bulan Biru