Ahad, 25 Januari 2015

Laporan Kaki Bangku: FAC 2014/15 Manchester City (0) - Middlesbrough (2)

City terkejut Boro di Etihad. Laman sendiri City yang dicanang sebagai kubu kebal buat sekelian kalinya ditembusi pihak lawan. Selepas tewas kepada Arsenal 0-2 minggu lalu, jaringan yang sama berulang cuma kali ini lawannya adalah Middlesbrough dari liga Kejuaraan. Selepas aksi memberansangkan di separuh masa pertama, City terpaksa akur kepada Boro yang lebih klinikal dengan gol-gol separuh masa kedua jaringan Bamford dan Kike.


Boro memiliki rekod bolos terbaik di liga Kejuaraan dan mereka perlu berdepan jentera serangan BPL yang dikepalai Sergio Aguero. Berbanding dengan Arsenal yang berjaya mengekang Silva dan Aguero, pertahanan Middlesbrough beberapa kali berjaya dibuka City untuk percubaan gol. Tetapi aksi cemerlang penjaga gol gantian Boro, Tomas Mejias memastikan kedudukan kekal 0-0. Di separuh masa pertama sahaja beliau menyelamatkan cubaan-cubaan oleh Milner, Kolarov, Silva dan Jovetic. Tampanan terbaik beliau apabila menepis keluar tendangan Silva yang terbias. Satu lagi peluang terbaik City ialah apabila Navas membuat hantaran lintang cantik ke tengah kotak penalti hanya malangnya pemain yang menanti di situ adalah pemain terpendek pasukan City, David Silva. Boro juga beberapa kali cuba mengancam gawang City dengan peluang terbaik mereka berakhir ofsaid dan jaringan Tomlin dibatalkan.



Melihat kepada progres di separuh masa pertama, City hanya perlu menunggu masa untuk mendapatkan gol. Separuh masa kedua bermula serupa dan Boro terus bertahan berdepan tekanan City. Tetapi bandul permainan segera bertukar arah di minit ke-53. Bola tinggi Boro gagal ditangani pertahanan City dan walaupun Fernando cuba mengawal keadaan, hantaran ke belakang beliau kepada Caballero terlalu lemah. Pemain Boro, Adomah bertembung dengan Caballero yang meluru keluar dan bola seperti bergolek menuju gawang City. Fernando dan Bamford berlumba mengejar bola dan walaupun Fernando lebih dahulu sampai kepada bola, cubaan beliau untuk mengeluarkan bola berjaya ditampan Bamford lalu bola menerjah jaring.




Barisan pertahanan City yang sememangnya nampak goyah sepanjang perlawanan mula menunjukkan tanda-tanda rapuh. Boro mula merobek pertahanan City dan mendapat beberapa peluang terbaik melebarkan jaringan. Caballero melakukan tendangan lemah memaksa beliau menyelamatkan 2 percubaan Tomlin dan Leadbitter. Kemudian lob Adomah tidak kesampaian walaupun hanya berdepan Caballero Manakala Tomlin yang membuat pusingan cantik menewaskan Kompany hanya mampu melihat cubaannya terkena tiang dan melintas di depan gol City.

City yang panik selepas gol pembukaan Boro cuba mengubah perlawanan dengan beberapa pertukaran. Usaha City mengikat kedudukan melihat Aguero melakukan rembatan yang tersasar dan Lampard hanya mampu melihat tendangannya yang terbias sekadar mencium tiang gol Boro. Saki baki peluang City untuk mendapatkan perlawanan timbal semula akhirnya lebur apabila Boro mendapat gol kedua di penghujung babak kedua melalui Kike hasil bantuan Adomah dan Bamford.




Di manakah pula silapnya kali ini? Ada yang mengatakan City terlalu penat selepas perjalanan jauh dari Abu Dhabi. Ada juga yang mengatakan ketiadaan Toure menjadi punca. Apa yang jelas semalam beberapa pemain dan pasukan City secara amnya tidak bermain di tahap yang diharapkan. Kompany misalnya banyak membuat kesilapan dan tidak tenang jika dibandingkan dengan Boyata. Fernando dilihat terlalu perlahan dan berada di mana-mana mengejar bola yang tidak kesampaian. Caballero pula beraksi cemerlang dengan tampanan refleks beliau menyelamatkan gawang tetapi tahap pertimbangan, ketenangan dan posisi beliau boleh dipersoalkan. Manakala di bahagian serangan, selepas tiada percubaan tepat menentang Everton dan dikekang hebat Arsenal, City dilihat kurang klinikal berbanding lawan mereka. Jumlah cubaan, posesi dan tendangan penjuru tidak diterjemahkan menjadi jaringan gol. Boleh dikatakan sememangnya Mejias cemerlang semalam tetapi kadang-kala pembinaan permainan City terlalu kompleks jika dibandingkan permainan mudah dan terus yang sepatutnya dimainkan. Situasi bola mati sekali lagi menjadi isu. Selain peluang yang jatuh kepada Boyata, tiada ancaman yang terhasil daripada 11 tendangan penjuru City. Ini boleh dikaitkan dengan kelemahan City dalam aspek bola udara. City kurang gemar bermain bola tinggi dan sebelum kemasukan Dzeko bermakna tiadanya kehadiran fizikal di hadapan. Ini menghadkan variasi serangan City dan pihak lawan mudah membaca gerakan. Di bahagian belakang pula sememangnya bola tinggi menjadi masalah City musim ini. Lihat sahaja perlawanan sebelum ini seperti ketika menentang Burnley. Kebanyakan masalah City bermula dengan bola tinggi.



Kerunduman City kini boleh disamakan dengan aksi mereka selepas keputusan 2-2 menentang CSKA yang lalu cuma kali ini pemangkinnya adalah perlawanan Burnley (juga 2-2 dengan City mendahului 2-0). Semuanya tidak mengena dan tidak menjadi. Semangat kebangkitan ketika menentang Bayern perlu dicari kembali dan City tidak boleh memandang ringan mana-mana pelawat yang datang ke Etihad kerana kini Etihad bukanlah kubu kebal City lagi. Akhir kata, janganlah apabila keranda sudah diusung, barulah mahu bercucuran air mata.

Fakta menarik perlawanan:
1. Termasuk perlawanan ini bermakna City memboloskan 2 gol dalam setiap 4 perlawanan terakhir di Etihad. Tembok nampaknya sudah berlubang.
2. Pemain Boro, Adam Clayton adalah seorang peminat sejati Manchester City dan juga bekas pemain akademi City. Sepanjang 12 tahun bersama City beliau tidak pernah bermain dalam skuad utama. Inilah kali pertama beliau bermain di Etihad.

Superbia in proelio - Blog Bulan Biru

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.