Helang Manchester jatuh ditembak meriam. Masakan tidak kalau sang helang tak terbang tinggi memang mudah menjadi sasaran musuh. Persembahan suam pasukan City mudah dikekang oleh Arsenal dan Arsenal pulang dari Manchester membawa 3 mata. 2 gol The Gunners dijaringkan Santi Cazorla dan Olivier Giroud. Kemenangan ini mengakhirkan kemarau 5 tahun Arsenal di bumi Manchester.
City menyambut kembali kepulangan Aguero dan Kompany ke dalam senarai skuad. Mereka bermula dengan baik memberi tekanan awal kepada Arsenal dengan Arsenal lebih selesa bermain rendah, berkampung dalam kawasan mereka mencari peluang serangan kilas. Formasi tengah Arsenal berjaya mengekang pergerakan Silva dan Aguero berjaya diasingkan daripada terlibat dengan dalam gerakan City. City cuba meletakkan fokus ke bahagian sayap tetapi itu membiarkan ruang kosong di bahagian tengah dan bek mendedahkan City kepada bahaya serangan kilas dari pemain Arsenal yang rata-rata memiliki kepantasan yang tinggi. Walaupun bermula baik, City kelihatan resah dengan kebuntuan mencari ruang untuk bermain. Beberapa kesilapan dilakukan oleh Demichelis, Fernando dan Kompany. Kesilapan-kesilapan ini banyak kali menyebabkan City terlepas posesi dan pasukan terpaksa bergegas membentuk formasi bertahan.
Gol pertama Arsenal di minit ke-24 boleh dikatakan bermula dengan kesilapan oleh Kompany. Beliau yang berjaya merampas bola membawa bola ke kawasan tengah permainan tetapi kemudian tergelincir dan terlepas posesi. Kompany bergegas turun untuk kembali ke posisi beliau dan ketika City sibuk bertahan Kompany dipersalahkan kerana menjatuhkan Monreal dalam kotak penalti. Siaran ulangan menunjukkan keputusan itu agak keras kerana Monreal memperbesar-besarkan pertembungan beliau dengan Kompany. Pengambil penalti Arsenal, Cazorla menendang bola masuk walaupun Hart berjaya meneka betul arah tendangan.
Separuh masa pertama berakhir 0-1. City buntu mencari penetrasi di bahagian tengah dan sebagai penyelesaian Pellegrini memperkenalkan Jovetic dengan mengeluarkan Milner. Barulah bahagian tengah City kelihatan hidup kembali dengan pergerakan dinamik Jovetic dan Silva. Namun Arsenal mempamerkan permainan pertahanan yang mantap mematikan gerakan City. Tidak lama kemudian Lampard pula dibawa masuk menggantikan Fernandinho dalam usaha City mengejar gol penyamaan.
Tetapi City mendapat hentaman kedua pada minit ke-67 apabila Olivier Giroud mudah menanduk masuk sepakan bebas Cazorla. Persis insiden gol Everton minggu lalu, pertahanan City gagal mempertahankan situasi bola mati dengan tiada pemain City mengawal Giroud atau yang berjaya membaca bola Cazorla.
City semakin tertekan selepas gol kedua Arsenal dan Dzeko akhirnya diperkenalkan sebagai percaturan terakhir menyelamatkan diri. Namun Arsenal cekal mengawal permainan untuk mendakap 3 mata penuh. Kredit harus diberikan kepada mereka kerana persembahan hebat mematikan kreativiti City mencipta peluang. Pertarungan di bahagian tengah dimenangi oleh Arsenal dengan bahagian tengah City terlalu kosong melihat Milner bermain terlalu lebar dan Fernandinho juga gagal memberi sokongan kepada Silva mencipta peluang menyerang. Di sinilah peranan yang dimainkan Toure sangat terasa kehilangannya. Satu lagi elemen kelemahan City yang terdedah dalam perlawanan ini adalah berkenaan taktik situasi bola mati mereka. Musim ini City kurang efektif dalam menyerang atau mempertahankan situasi bola mati. Dalam perlawanan ini City memperoleh 16 sepakan penjuru tetapi hanya 3 kali sahaja sepakan yang diambil berjaya menemui pemain City. Kelemahan-kelemahan ini perlu segera ditangani sebelum bertemu dengan Chelsea di Stamford Bridge hujung bulan ini.
Fakta menarik perlawanan:
2. Musim ini City tidak menang dalam mana-mana perlawanan bila masa Toure tiada dalam skuad.
Superbia in proelio - Blog Bulan Biru