Kini dengan pembelian Leroy Sane dan John Stones ia jelas menunjukkan komitmen City untuk membentuk pasukan masa depan yang baharu. Purata umur skuad utama City sekarang ialah 27.6 tahun. Daripada 28 pemain hanya 10 pemain yang berumur 25 tahun dan ke bawah iaitu Eliaquim Mangala (25), Jason Denayer (21), John Stones (22), Ilkay Gundogan (25), Bruno Zuculini (23), Kevin De Bruyne (25), Oleksandr Zinchenko (19), Raheem Sterling (21), Leroy Sane (20) dan Kelechi Iheanacho (19).
Sebagai persediaan, muka-muka baharu dari skuad akademi harus diberi lebih banyak peluang supaya ada kesinambungan dengan skuad masa kini dan peralihan boleh dilakukan dengan lancar. Semasa perlawanan menentang Bayern dan Dortmund tempohari ramai pemain akademi yang berjaya mempamerkan persembahan baik tetapi di sini dicalonkan 3 pemain akademi teratas yang boleh diserapkan ke dalam skuad utama.
Angelino Tasende: Pemain akademi paling menyinar di siri pra-musim. Rajin naik dan turun di bahagian sayap membantu serangan dan bertahan. Persembahan beliau terus berjaya menawan hati para peminat. Malahan beliau dilihat sangat fleksibel dan tidak bermasalah mengisi posisi berlainan. Beliau dikatakan menolak tawaran pinjaman dari kelab luar dan mahu kekal di Etihad dan berjuang untuk mendapatkan tempat di skuad utama. Terlibat dengan gol pembukaan City menentang Dortmund sebaik sahaja dimasukkan ke dalam padang.
Aleix Garcia: Dalam ramai-ramai pemain yang dicuba membawa peranan pivot, Garcia didapati paling selesa di posisi tersebut. Kelebihan paling ketara Garcia ialah kebolehan beliau membaca permainan yang membolehkan beliau mencari kedudukan terbaik di atas padang. Mantap ketika membuat hantaran dan juga semasa membantu bahagian pertahanan. Garcia turut terlibat dalam gol menentang Dortmund apabila membuat lorongan cantik kepada David Silva. Gaya permainan Garcia sangat mirip dan mengingatkan kita kepada Sergio Busquets. Adakah Guardiola sudah berjaya menemui Sergio Busquets yang baharu?
Tosin Adarabioyo: Pemain tinggi lampai ini sudah berjaya menarik perhatian peminat semenjak musim lalu lagi apabila menyinar dalam pertembungan Piala FA menentang Chelsea. Tenang dan tangkas di bahagian bek tengah, kehadiran fizikal Adarabioyo turut boleh memperkasakan penguasaan bola udara pasukan. Dengan kontrak yang akan tamat musim depan, City mesti menunjukkan komitmen untuk memberi lebih peluang kepada Adarabioyo dan tidak mensia-siakan bakat besar yang mereka miliki.
- Bulan Biru