Rabu, 17 Ogos 2016

Taktik City - Trifecta Sempurna Di Bahagian Tengah

Peminat Manchester City masih ada yang terpana dengan kehebatan cara pasukan City bermain dalam 2 perlawanan pertama musim ini. Begitu lancar sekali pergerakan bola dan mereka begitu mengancam di hadapan gol lawan. Inilah transformasi yang dibawa Pep Guardiola kepada falsafah bolasepak City.


Salah satu kekuatan City yang disedari ialah keberkesanan rangkaian 3 pemain tengah sentral mereka yang dibarisi Fernandinho, Kevin De Bruyne dan David Silva. Ini kerana gabungan mereka ini menyerupai rangkaian Sergio Busquets, Xavi Hernandez dan Andres Iniesta. Mereka ini semua mempunyai kebolehan membuat hantaran dengan baik sekali namun dalam sistem Guardiola akan membawa peranan berbeza.

Fernandinho = Sergio Busquets (No. 6)

Memegang mentaliti paling defensif dalam segitiga emas sentral. Fernandinho mengisi peranan pivot tunggal yang dipopularkan Guardiola di zaman kegemilangan beliau dan berjaya diulangi Busquets di Barcelona. Paling banyak membuat bentesan di kalangan 3 pemain tengah, Fernandinho kadang-kala akan mengisi posisi pertahanan tengah apabila formasi pasukan bertukar menjadi 3-4-3.



Kevin De Bruyne =  Xavi Hernandez (No. 8)

De Bruyne mengakui beliau agak kekok ketika aksi menentang Sunderland yang lalu. De Bruyne yang kebiasaannya digunakan sebagai No. 10 disuruh beraksi sebagai No. 8 menjadi pengantara di bahagian sentral. Beliau akan banyak berlegar di bahagian tengah menerima bola dan merancang gerakan pasukan.


David Silva = Andres Iniesta (No. 10)

Pemain tengah sentral paling ke hadapan dan ofensif. Silva akan membuat umpanan di hadapan gol dan membuat larian ke dalam kotak penalti.

Indahnya falsafah Guardiola bersama pengaruh Total Football yang kuat hasil tunjuk ajar Johann Cruyff dan pemain yang dimiliki Manchester City ialah kebolehan Silva dan De Bruyne bertukar peranan semasa dalam perlawanan mengikut keperluan. Kedua-dua mereka merupakan pemain No. 10 secara semulajadi namun mereka diberi kebebasan mengisi peranan No. 8 ataupun No. 10.

Kebebasan ini boleh dicapai kerana Fernandinho begitu berkesan sekali di peranan beliau dan penggunaan bijak pemain bek sayap membolehkan De Bruyne tidak perlu banyak membantu semasa bertahan.

- Bulan Biru



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.