Rabu, 8 Oktober 2014

Laporan Kaki Bangku: BPL 2014/15 Aston Villa (0) - Manchester City (2)

City mengambil sedikit masa untuk mematahkan pertahanan Villa tetapi ia merupakan antara permainan terbaik yang ditunjukkan City musim ini. City mempamerkan penguasaan permainan di sepanjang perlawanan dan pulang dengan habuan 3 mata.


Statistik perlawanan
Buat pertama kali seleksi Blog Bulan Biru menepati pemilihan Pellegrini. Navas dan Clichy digugurkan memberi laluan kepada Milner dan Kolarov. Pada pandangan penulis ini memang patut kerana Kolarov adalah penghantar-silang terbaik City dan Milner merupakan pemain yang lebih versatil berbanding Navas.


Villa bermula agresif di awal permainan. Mereka berusaha memenangi posesi bola daripada City dan menekan permainan ke hadapan. City pula bertenang mengekalkan tempo mereka dan bermain secara posesi. Selepas 10 minit tekanan daripada Villa mulai reda dan City sudah mendapat cengkaman perlawanan. Manchester City membuat banyak percubaan ke gawang Villa tetapi tidak satu pun mengenai sasaran. Dzeko beberapa kali merembat ke langit. Manakala peluang terbaik City hadir kepada Kolarov yang menyaksikan rembatannya terkena tiang dan tandukan Aguero yang sipi sahaja dari gol Villa.


Di akhir babak pertama City mendapat 4 tendangan sudut berturut-turut namun setiap satunya berjaya dihadang pertahanan Villa. Villa pula yang bahaya dari serangan kaunter mendapat peluang daripada percubaan N'Zogbia tetapi tendangan jarak jauhnya tersasar ke tepi.

Di separuh masa kedua Villa terus berkampung di kawasan sendiri sambil dibedil City. Aguero mendapat hantaran cantik daripada Milner dan dengan gawang terbuka hanya menyaksikan bola terkena tiang dan dikeluarkan dari kawasan bahaya. Daripada gerakan itu bola sampai kepada Richardson yang terus membuat serangan kaunter tetapi percubaan beliau digagalkan Zabaleta dan Hart yang menyerbu keluar dengan lompatan tapak sulaiman.



Tidak lama kemudian City terpaksa membuat pertukaran pemain apabila Fernandinho mengalami kecederaan hamstring. Lampard dimasukkan dan kemudian disusuli Fernando yang masuk menggantikan Dzeko. Dzeko dilihat kurang efektif dalam perlawanan ini dengan penyudah yang tidak mengena dan sentuhan pertama yang lemah. Jika di separuh masa pertama banyak percubaan City tidak mengenai sasaran, di separuh masa kedua banyak pula percubaan mereka tepat ke sasaran tetapi malangnya sasaran itu adalah Guzan. Mangala, Aguero, Lampard dan Silva semuanya membuat percubaan tetapi semuanya tepat ke dangkapan Guzan.



Villa mendapat insentif morale dengan kembalinya Christian Benteke daripada kecederaan lama tetapi sebenarnya Villa lebih mengancam sebelum kemasukan beliau. Sementara itu, percubaan Silva hampir memecah kebuntuan tetapi bola beliau terus sipi ke tepi tiang. City terpaksa menunggu hingga ke minit ke-82 untuk mendapat gol sulung mereka. Toure yang mendapat bola dari Fernando membuat larian ke kawasan penalti Villa dan membuat tendangan placing cantik dengan kaki kiri untuk melencongkan bola ke bucu bawah gawang.



Kualiti Toure memang tidak boleh disangkal. Beliau yang dikritik tidak mempamerkan persembahan 100% ketika menentang AS Roma dan juga di separuh masa pertama tiba-tiba seperti bangun menunjukkan kuasa sebenar beliau. Tidak lama selepas itu giliran Aguero pula untuk menggandakan  gol City. Seperti peluang awal yang terkena tiang Aguero mendapat bola hantaran Milner dari tengah padang dan selepas sentuhan pertama yang cantik melepaskan rembatan yang gagal diselamatkan Guzan.
  


Superbia in  proelio - Blog Bulan Biru

Rujukan: Tengok Astro live la bro dan WhoScored.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.