Khamis, 23 Oktober 2014

Laporan Kaki Bangku: UCL 2014/15 CSKA Moscow (2) - Manchestery City (2)

2 corak permainan berbeza di setiap separuh dan 2 keputusan penalti yang tidak adil memberikan keputusan 2-2 untuk dikongsi bersama 2 pasukan terbawah kumpulan E. Mempersalahkan pengadil perlawanan semalam memang mudah tetapi pemain City dan Pellegrini seharusnya mencermin kembali aksi pasif yang dipertontonkan mereka.


City turun dengan misi mencari kemenangan pertama mereka dan boleh dikatakan mereka turun dengan skuad terkuat mereka. Namun perlawanan ini adalah tentang cerita dua separuh masa. Di separuh masa pertama City tampak sudah menggenggam 3 mata dalam tangan. Majoriti posesi dimiliki City dan banyak gerakan serangan dilakukan ke atas gawang CSKA. Sementara CSKA pula tampak berbahaya ketika melakukan serangan balas.

2 gol diperoleh City di separuh masa pertama. Setelah hampir setengah jam memegang posesi dan menekan lawan akhirnya kebuntuan terpecah di minit ke-29. Dzeko berjaya mengelak perangkap ofsaid dan mendapat bola hantaran Silva. Berdepan dengan penjaga gol Dzeko memilih untuk tidak tamak dan melorong kepada Aguero yang dengan mudah menempek bola ke dalam gol untuk meneruskan prestasi hebat beliau.




Selang 9 minit kemudian giliran Milner pula menggandakan kelebihan City. Gerakan dominasi City membuahkan hasil apabila Zabaleta dan Aguero bergabung untuk menyampaikan bola kepada Milner yang menolak bola ke dalam gol Akinfeev yang sudah tertewas.




City sepatutnya masuk ke waktu rehat separuh masa dengan lebih daripada 2 gol. Aguero dan Dzeko terlepas beberapa peluang keemasan tetapi yang lebih utama sekali ialah apabila City ditidakkan penalti. Daripada tayangan ulangan jelas sekali Dzeko ditakik dari belakang dalam membuat percubaan gol dan sepatutnya City dianugerahkan satu sepakan penalti dan pemain CSKA dilayangkan kad merah. Apapun ia tidak diberikan dan separuh masa berakhir dengan kedudukan 0-2.

CSKA menukar formasi di separuh masa kedua dengan memasukkan Seydou Doumbia sebagai ganti pemain pertahanan Alexei Berezoutski. City kebiasaannya dapat mengeksploitasi pasukan lawan yang mara ke depan tetapi mereka tidak bermain seperti separuh masa pertama. Pergerakan City tidak setangkas dan selancar 45 minit pertama malahan pemain serangan dan tengah tidak berhubung baik. Mungkin pemain City rasa selesa dengan kedudukan 0-2. Tapi bak kata pepatah orang putih, "Don't rest on your laurels". City yang bermain tanpa urgency terhukum di minit ke-65 oleh Seydou Doumbia yang mendapat hantaran silang Ahmed Musa.




Pellegrini cuba mengubah pendekatan City dengan mengeluarkan Dzeko dan memasukkan Navas tetapi City seperti tidak bermaya dalam membuat pergerakan walaupun CSKA sudah mengurangkan seorang pemain pertahanan. Manakala CSKA pula seperti mendapat nafas baru sedikit demi sedikit mengancam gawang Joe Hart. Akibatnya Doumbia yang menjadi duri dalam daging City sejak dimasukkan berjaya mendapatkan penalti untuk CSKA. Keputusan penalti itu sememangnya tidak adil buat City kerana Doumbia dilihat jatuh penuh drama dalam pergelutan dengan Kolarov. Joe Hart yang menjadi wira City ketika menyelamatkan penalti Tottenham bagaimanapun gagal mengulanginya dan tendangan Natkho menerjah jaring untuk kedudukan 2-2.



Kontroversi ataupun tidak sebenarnya kesalahan utama terletak pada Manchester City sendiri yang membiarkan CSKA bangkit di separuh masa kedua. Jika betul mahu mengumpul mata penuh City perlu menunjukkan usaha 100% sepanjang 90 minit dan bukannya permainan pasif tidak bermaya di 45 minit kedua. Mungkin selesa mendahului atau mungkin juga cuaca sejuk mengganggu kecergasan pemain tetapi City perlu mengubah mentaliti mereka di dalam kejohanan benua seperti Liga Juara-Juara Eropah kerana isu yang sama juga timbul ketika perlawanan menentang AS Roma.

Team
PldWDLGFGAGDPts
 Bayern Munich330091+89
 Roma311179−24
 Manchester City302134−12
 CSKA Moscow301238−51

Berita baik untuk City kerana pintu ke peringkat seterusnya belum tertutup rapat kerana AS Roma kalah besar di laman sendiri kepada Bayern Munich (1-7). Syaratnya City perlu menang baki perlawanan mereka dan Roma tewas kepada Bayern di Munich. Jangan berputus asa dan berjuanglah penuh kebanggaan. Battle in pride. Superbia in proelio.

Superbia in proelio - Blog Bulan Biru

Rujukan: Mail Online, WhoScored.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.