Di Moscow City kena beku, di London pula City kena paku. Persembahan bersemangat pasukan Hammers berjaya menyuramkan sinaran para bintang pasukan City dan mengaut kemenangan 2-1. Gol cantik David Silva di penghujung babak kedua tidak mampu menyemarakkan kebangkitan City.
Pellegrini hanya membuat 2 perubahan pada pasukan City dengan memulakan Navas di sayap kanan dan Clichy di bek kiri. Biarpun City mempunyai rekod yang sangat bagus berdepan dengan West Ham, musim ini The Hammers menikmati kebangkitan di Liga Perdana Inggeris dan menduduki tangga keempat. Salah satu punca kebangkitan adalah penyerang berbisa Senegal mereka Diafra Sakho.
City bertandang ke Upton Park mencari kemenangan dengan 2 tujuan. Pertama sebagai penawar morale pasukan yang jatuh selepas seri 2-2 di Moscow dan keduanya sebagai mengekalkan tekanan ke atas pendahulu liga Chelsea. Tapi semangat itu tidak terpampang di separuh pertama. Saki-baki aksi Moscow masih melekat pada City. Pasukan City tidak bermain lancar dan pergerakan mereka mudah dibaca West Ham. Barisan belakang City yang rapuh sejak kebelakangan ini seringkali diuji oleh gandingan Enner Valencia dan Sakho.
Lamela rabona dia pun nak rabona |
Hasilnya West Ham mengambil kesempatan apabila Clichy yang meninggalkan posisi di bahagian kiri memberi ruang kepada Song melorong bola kepada Valencia dan Valencia mudah melepaskan diri daripada Mangala lalu membuat hantaran lintang. Malang sekali Zabaleta terlajak di hadapan gol dan hanya mampu melihat bola meleret di belakang beliau kepada Almafitano. Dengan hanya gawang kosong menanti di hadapan beliau Almafitano mudah meletakkan West Ham di hadapan.
Di separuh masa kedua City menukar strategi perlawanan dengan membawa keluar Dzeko untuk Jovetic di minit ke-60 sambil mengharapkan pasukan West Ham mula keletihan. Dan nampaknya seperti itulah yang terjadi bila City mula menaikkan rentak permainan mereka dan meningkatkan tekanan ke gawang West Ham. Tapi tuah tidak berada dengan pasukan City apabila Aguero dan Toure hanya melihat percubaan mereka terkena palang. Peluang keemasan yang dilepaskan City itu ternyata menjadi hukuman mereka apabila selang seminit selepas tendangan Toure terkena palang, Diafra Sakho menanduk bola hantaran Aaron Creswell untuk gol kedua West Ham. Joe Hart berjaya mengaut bola keluar tetapi sayang sekali teknologi garisan gol menyatakan bola sudah melepasi garisan.
Manchester City semakin terdesak terus menyerang habis-habisan. City segera mengurangkan defisit melalui gol cantik Silva yang mempamerkan aksi kawalan bola menarik sebelum melencongkan bola melepasi jangkauan Adrian.
Kenapalah Silva tak buat macam ni every game? |
Milner dan Kolarov dibawa masuk dan asakan digandakan City tetapi West Ham teguh bertahan untuk kemenangan ketiga berturut-turut musim ini. Melihat kepada keputusan seri di antara Chelsea dan Manchester United maka jurang City dan Chelsea meningkat kepada 6 mata.
Fakta menarik perlawanan:
1. West Ham sudah menang 3 perlawanan berturut-turut.
2. West Ham kini hanya satu mata di bawah Manchester City.
3. Sakho adalah pemain West Ham pertama menjaringkan gol dalam 6 perlawanan BPL berturut-turut.
4. City hanya melakar 3 cleansheet dalam 13 perlawanan musim ini (liga dan piala).
5. Ini adalah kekalahan di tempat lawan pertama City selepas tewas di Liverpool musim lepas.
6. City tewas dalam 7 perlawanan terakhir BPL di mana mereka ketinggalan di separuh masa pertama.
Superbia in proelio - Blog Bulan Biru
Rujukan: BBC Sports