Khamis, 30 Oktober 2014

Laporan Kaki Bangku: COC 2014/15 Manchester City (0) - Newcastle United (2)

Newcastle United menendang keluar juara bertahan Manchester City daripada kejohanan Piala Liga dengan kemenangan 0-2 di Etihad Stadium. Gol-gol Newcastle dijaringkan Rolando Aarons di minit ke-5 dan Moussa Sissoko di minit ke-74. Ini adalah kemenangan pertama Newcastle di Etihad dan yang pertama dalam pertembungan ini semenjak tahun 2004.

City pula yang terkena Poznan

Kecewa. Sebahagian kecilnya kerana City gagal layak ke suku akhir Piala Liga dan mempertahankan kejuaraan. Tapi biasalah juara silih berganti. Namun sebenarnya sebahagian besar kekecewaan itu adalah pada cara kekalahan City di gelanggang sendiri. Permainan yang ditonjolkan rata-rata tidak bermaya, tiada semangat juang, tiada nafsu untuk menang sehinggalah Newcastle mendapat gol kedua mereka. Selepas ketinggalan 0-2 barulah tiba-tiba City bermain pantas dan agresif mengatur gerak dan menggempur gawang lawan. Sayangnya itu semua sudah terlambat.

Semalam sekali lagi kelemahan City menangani serangan balas terbukti. Pada minit ke-5 Rolando Aarons mengambil kesempatan ke atas kealpaan Fernandinho dengan merampas bola menewaskan Mangala dan menendang bola masuk di celah kelangkang Caballero untuk gol pertama Newcastle.



Tertinggal pada minit-minit awal City tampak tidak menggelabah dan cuba mengatur langkah mencari gol penyamaan. Jovetic tampak paling menyerlah manakala Coloccini hampir menjaringkan gol sendiri. Namun tiada rentak urgency dari pihak City di sepanjang separuh masa pertama. Malahan Newcastle pula yang hampir menggandakan gol apabila Dummett membuat percubaan dari sepakan penjuru yang berjaya diselamatkan Caballero.

Jangkaan City akan membuat perubahan taktik di separuh masa ternyata meleset. City terus menggunakan posesi mencari peluang terbaik melakukan percubaan gol. Tempo City yang sabar dan perlahan memudahkan setiap gerakan mereka dibaca Newcastle. City bernasib baik Newcastle tidak dihadiahkan tendangan penalti apabila Kolarov menjatuhkan Obertan. Jika tidak bukan sahaja tendangan penalti malah Kolarov boleh dikenakan kad merah. Pellegrini cuba menaikkan tempo permainan City dengan memperkenalkan 2 pemain lipas kudung Navas dan Aguero. Selepas kemasukan Aguero pergerakan City tampak lebih pantas dan merbahaya tetapi mereka masih bermain secara selamat.

Malang sekali belum sempat mendapat gol penyamaan City dihentam dengan gol kedua Newcastle. Gol dijaringkan Moussa Sissoko yang membawa bola menewaskan 2 pemain pertahanan  City sebelum menewaskan Caballero di gawang City.



Selepas gol itulah baru pasukan City bermain habis-habisan mencari gol. Mereka berjuang untuk merampas bola dan menggempur gawang Newcastle. Seperti tiada nasib percubaan Dzeko ditampan keluar malah percubaan Aguero dan Jovetic tersasar dari gawang.

City menghumban segala-segala tetapi sudah terlambat untuk mereka merubah keputusan perlawanan. Kekalahan di Upton Park boleh dikira kerana nasib tetapi bukan untuk kekalahan semalam. City kalah kerana Newcastle membuktikan mereka lebih menginginkan kemenangan sedari wisel permulaan. Kekalahan ini membawa rekod tanpa menang City kepada 3 perlawanan. Dalam 3 perlawanan tersebut kita boleh melihat City bermain terlalu kasual dan terlalu selamat.


Dalam keadaan moral yang rendah di Etihad ditambah lagi dengan ketidakpastian kecederaan Silva, lawan yang menanti selepas ini tidak lain tidak bukan ialah seteru utama jiran berbaju merah Si Manchester United. Harap-harap Pellegrini dapat mengenalpasti kelemahan taktik City sepanjang 3 perlawanan ini dan memberi suntikan semangat kepada pemain-pemain untuk berjuang penuh kebanggaan. Bangkit City bangkit.

Fakta perlawanan:
1. Sebelum kekalahan ini City tidak kalah dalam 17 pertemuan dengan Newcastle.
2. City bolos 2 gol dalam setiap 3 perlawanan terakhir mereka.
3. Newcastle sudah menang 3 perlawanan berturut-turut.

Superbia in proelio - Blog Bulan Biru

Rujukan: DailyMail UK
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.