Selasa, 31 Januari 2017

Pemain Muda Valencia Hampiri Perpindahan Ke City

Baru-baru ini Txiki Begiristain telah terbang ke Valencia untuk berbincang tentang beberapa pemain muda kelab Sepanyol itu.


Kini dilaporkan yang penyerang berusia 15 tahun, Nabil Touaizi bakal berpindah dari Mestalla ke Stadium Etihad dalam perpindahan bernilai €350,000. Jumlah ini boleh meningkat ke €2,000,000 jika Nabil membuat kemunculan bersama skuad utama. (Sumber: Super Deporte) 

Derbi Ros Piala FA - City vs Huddersfield

Undian pusingan kelima Piala FA Inggeris sudah selesai dijalankan dan melihat Manchester City bakal bertemu kelab Championship, Huddersfield Town.


Perlawanan ini akan menjadi medan Derbi Ros di antara sebuah kelab Lancashire (City) dan sebuah kelab Yorkshire (Huddersfield).

Antara topik hangat diperbualkan selepas undian ialah kelayakan Aaron Mooy untuk bermain bersama Huddersfield memandangkan beliau sedang dipinjamkan dari City.


Menurut regulasi Piala FA 2016/17, peraturan 15(j)(iv) menyatakan pihak FA tidak akan membenarkan mana-mana pemain pinjaman untuk bermain menentang kelab asal mereka.

Isnin, 30 Januari 2017

Aaron Mooy Dibida £9 Juta


Pemain Australia Manchester City, Aaron Mooy yang sedang dipinjamkan kepada Huddersfield Town mendapat tawaran bernilai £9 juta dari sebuah kelab misteri.

Prestasi memberansangkan Mooy bersama Huddersfield sememangnya sudah menarik perhatian sebilangan kelab Liga Perdana dan liga Championship. Setakat ini Mooy sudah menjaringkan 2 gol dan membuat 2 bantuan daripada 29 penampilan dan dilihat oleh peminat Huddersfield sebagai pemain terbaik mereka musim ini.

Namun begitu City telah menolak tawaran tersebut dan ini membakar spekulasi Mooy mungkin bakal dipanggil semula ke City untuk menguatkan jentera tengah mereka. Aset utama Mooy dapat dilihat pada kebolehan menyeluruh dalam serangan dan pertahanan, rajin di atas padang dan boleh bermain di mana-mana posisi tengah.

Khamis, 26 Januari 2017

City Buat Bidaan Rasmi Pemain Venezuela

Manchester telah membuat bidaan secara rasmi ke atas pemain berbakat Venezuela, Yangel Herrera. Selain City, pemain berusia 19 tahun itu turut sedang ditinjau oleh Benfica namun buat masa ini hanya City yang membuat bidaan.

Herrera boleh beroperasi di bahagian tengah ataupun sebagai pertahanan. Jika pihak Atletico Venezuela bersetuju dengan bidaan City dilihat prospek Herrera ialah untuk menyertai salah satu kelab rangkaian City Football Group atau kelab Eropah lain secara pinjaman dahulu seperti Marlos Moreno. (Sumber: El Nacional)

Rabu, 25 Januari 2017

Berita Gembira Buat Peminat Manchester City


Berita gembira untuk mata dan telinga peminat Manchester City di seluruh dunia apabila Pep Guardiola memberitahu teman-teman rapat yang beliau mahu kekal lama di kelab itu.

Guardiola mengakui perubahan yang mahu beliau bawa mungkin memakan masa yang lebih lama dari yang dijangka dan oleh itu menganggap Manchester City sebagai satu projek jangka panjang. 


Guardiola dapat melihat diri beliau berada di Etihad melangkaui tempoh kontrak 3 tahun bersama City dan akan melanjutkan legasi beliau di sana kepada sekurang-kurangnya 5 tahun selepas mendapat sokongan dari pengerusi Manchester City, Khaldoon Al-Mubarak.


Khaldoon dalam pada itu melihat Guardiola sebagai solusi jangka panjang selepas menonton persembahan 2-2 menentang Tottenham Hotspur baru-baru ini dan menyatakan komitmen untuk mendukung inisiatif Guardiola.

Buat masa ini Guardiola dan keluarganya dapat menyesuaikan diri dan selesa dengan suasana Manchester. Guardiola telah menjemput arkitek dan pereka dalaman dari Barcelona untuk mengubahsuai kediaman mereka di Manchester. (Sumber: Times) 

Heaton Calon Ganti Caballero

Manchester City melihat penjaga gol Burnley, Tom Heaton sebagai calon terbaik untuk menggantikan Willy Caballero. Caballero adalah antara pemain senior Manchester City yang akan tamat kontrak di akhir musim nanti. Andai kontrak tidak diperbaharui maka pemergian Caballero bererti City perlu mencari penjaga gol yang cukup bagus untuk menjadi timbalan kepada penjaga gol utama pasukan. Untuk musim 2016/17 ini Heaton hebat mengungguli statistik sebagai penjaga gol yang melakukan penyelamatan terbanyak dengan 95 penyelamatan.

Selasa, 24 Januari 2017

Yaya Toure Sarung Jersi Arsenal


Gambar di atas bukanlah silap mata mahupun hasil Photoshop. Itu sememangnya Yaya Toure memakai jersi Arsenal. Ceritanya pada tahun 2003, Yaya Toure mengambil sesi percubaan bersama Arsenal. Arsene Wenger menggunakan Yaya Toure sebagai penyerang dalam perlawanan pra-musim menentang Barnet. Walaupun pada awalnya Wenger berminat meneruskan tempoh percubaan namun kesukaran untuk mendapatkan permit kerja UK melihat Yaya Toure membuat keputusan menyertai kelab Ukraine, Metalurh Donetsk.

Mengapa City Lebih Rela Lepaskan Percuma

Kontrak pemain pertahanan berbakat Manchester City, Tosin Adarabioyo bakal tamat tempoh di hujung musim ini. Perbincangan demi perbincangan untuk melanjutkan kontrak sudah dijalankan semenjak tahun lepas tetapi sehingga kini ia hanya menemui jalan mati.


Menurut akhbar Telegraph punca utama kata sepakat gagal dicapai ialah disebabkan tuntutan dari pihak Adarabioyo yang mahukan pakej bayaran yang lebih lumayan. Walaubagaimanapun pihak City agak berat hati untuk menyetujui permintaan pemain muda tersebut kerana bimbang ia akan menjadi ikutan para pemain akademi yang lain. Setakat ini Adarabioyo sudah membuat 4 kemunculan bersama skuad utama Manchester City.

Celtic, Everton Tinjau Adarabioyo

Perbincangan lanjutan kontrak Tosin Adarabioyo bersama Manchester City yang tergendala nampaknya menarik minat Everton dan Celtic untuk mendapatkan pertahanan muda itu secara percuma. Everton dilihat lebih serius dengan niat memuktamadkan persetujuan sebelum jendela Januari tamat minggu hadapan. Kontrak Adarabioyo bersama City akan tamat di hujung musim nanti.

Perlawanan Belum Bermula, Isu Pengadil Sudah Ada

Manchester City dan isu pengadil berpisah tiada. Selepas insiden penalti dalam perlawanan Tottenham Hotspur kali ini timbul pula isu dalam perlawanan Crystal Palace. Eh? Tapi perlawanan Piala FA itu belum berlangsung.


Kali in isunya ialah tentang perlantikan Darren Cann sebagai pembantu pengadil perlawanan. Sebenarnya City tiada masalah pun dengan mutu pengadilan Cann. Tapi apa yang menjadi masalahnya ialah sebelum menjadi pembantu pengadil, Cann pernah menjadi pemain Crystal Palace suatu masa dahulu.

Pada tahun 80-an Steve Coppell telah membeli Cann dari Norwich City untuk menyertai Palace. Cann banyak terlibat dalam perlawanan pasukan akademi dan pasukan simpanan namun tidak pernah beraksi bersama skuad utama.


Mujurlah pihak FA menyedari kesilapan mereka dan nama Cann sudah ditarik daripada senarai pasukan pengadil untuk perlawanan itu nanti.

Ederson Lanjut Kontrak Benfica

Penjaga gol Benfica, Ederson yang kuat dikaitkan dengan Manchester City semenjak awal musim sudah melanjutkan kontrak bersama Benfica sehingga tahun 2023. Sebelum ini Ederson pernah menyatakan beliau lebih gemar memilih menyertai City berbanding Bayern Munich jika diberi pilihan di antara dua kelab tersebut.
 

City Serius Dapatkan Faouzi

Manchester City dilaporkan memulakan langkah serius untuk menandatangani Faouzi Ghulam dari Napoli. City mungkin terpaksa bersaing dengan PSG dan Bayern Munich untuk mendapatkan pemain Algeria tersebut. Jika menyertai City maka Faouzi akan mengikut jejak langkah wira City, Ali Bernabia yang juga berasal dari Algeria. (Sumber: Rai Sport)

City Mulakan Perbincangan Dapatkan Bernat

Manchester City sudah memulakan perancangan meremajakan bahagian bek kiri dengan mengadakan perbincangan bersama Bayern Munich untuk mendapatkan khidmat Juan Bernat di musim hadapan. Musim ini Bernat sudah membuat 12 penampilan bersama Bayern dan merupakan pilihan kedua di belakang David Alaba. (Sumber: AS)

City Hubungi Ejen Pemain Muda Serba Boleh

Manchester City dilaporkan sudah menghubungi ejen pemain muda Jerman, Benjamin Henrichs (19 tahun) yang kini bermain bersama Bayer Leverkusen untuk kemungkinan berpindah ke England. Antara kelebihan Henrichs ialah kebolehan beliau bermain di pelbagai posisi. Selain posisi utama sebagai bek kanan Henrichs juga boleh bermain di bek kiri ataupun sebagai pemain tengah menyerang. (Sumber: Express DE)

Isnin, 23 Januari 2017

Zon Analisis - Skrip Tipikal City Berulang Lagi

Manchester City mempamerkan aksi yang lebih positif menerima kunjungan Tottenham Hotspur selepas dibelasah teruk 4-0 di Everton. Walaupun baru mengalami kekalahan besar, Pep Guardiola tidak turun dengan formasi bertahan sebaliknya beliau memperkuatkan aspek serangan pasukan dengan menggunakan 5 pemain menyerang dalam formasi 4-1-4-1.

Sumber: 11tegen11
Yaya Toure diturunkan sebagai pivot tunggal dan pada awalnya ini dianggap berbahaya memandangkan pasukan Spurs memiliki ramai pemain yang pantas dan dikhuatiri beliau akan meninggalkan banyak ruang di bahagian tengah lebih-lebih lagi bila Spurs bermula dengan formasi 3-4-3 yang melambakkan pemain hadapan.

Pemain City membentes jauh di dalam kawasan Spurs
Namun itu tidak terjadi kerana Guardiola mengarahkan barisan pemain hadapan menekan tinggi sepanjang perlawanan mengejar bola jauh di dalam kawasan Spurs. Seperti kita lihat di dalam statistik dua pemain City yang melakukan bentesan berjaya tertinggi ialah Leroy Sane dan Kevin De Bruyne.

(Sumber: Statszone)
Satu lagi kelebihan kepada City ialah Spurs cuba bermain dengan garis pertahanan yang tinggi. Ini mungkin usaha Pochettino untuk menghentikan permainan hantaran pendek City. Sebaliknya ini mendedahkan bahagian belakang mereka kepada larian 5 pemain menyerang City yang rata-ratanya pantas. Ini disedari City yang bertindak melakukan hantaran panjang dan lambung ke dalam kawasan Spurs. Apatah lagi bila Spurs bermain dengan hanya 3 pemain pertahanan.

Satu lagi kesilapan Spurs di awal permainan ialah mereka juga cuba bermain gaya Salir Jugando memulakan gerakan dari belakang namun tekanan tinggi yang dikenakan oleh pemain City melihat mereka beberapa kali terlepas bola di kawasan bahaya.

Corak pengambilan semula dan pintasan bola oleh City
Dominasi City di separuh masa pertama sangat ketara dengan peluang demi peluang hadir kepada mereka. Tapi sayang mereka gagal mengambil kesempatan menewaskan Hugo Lloris. Spurs pula begitu dingin gagal membuat sebarang percubaan tepat sebelum masuk waktu rehat.

Di separuh kedua, Son Heung-Min dimasukkan Pochettino yang mengubah pendekatan Spurs. Kini mereka bermain dengan 4 pemain pertahanan.

Formasi Spurs lebih stabil di separuh kedua
Namun Spurs masih memainkan garis pertahanan yang sangat tinggi. Ini menjadi punca kepada gol pertama City apabila De Bruyne membuat hantaran lambung melepasi pertahanan Spurs. Lloris dan Sane sama-sama mengejar  bola 50/50 namun Lloris teragak-agak gagal menanduk bola keluar dan Sane ditinggalkan dengan tugas mudah melorong bola ke dalam gawang yang terhidang luas.


Sergio Aguero hampir mendapat peluang menggandakan gol City apabila De Bruyne melepaskan bola menembusi pertahanan Spurs tetapi kali ini Lloris dengan penuh keyakinan mara dan mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.

Tidak lama kemudian Lloris sekali lagi membuat kesilapan mudah yang menghasilkan gol kedua City. Satu hantaran lintang Sterling yang langsung tidak berbahaya gagal didakap kemas Lloris dan bola yang terlepas ditangguk De Bruyne untuk sekali lagi melorong bola ke dalam gawang yang terbiar.


Namun skrip tipikal City musim ini bermula selepas itu. Buat sekelian kalinya pihak lawan City berjaya menjaringkan gol daripada percubaan pertama mereka. Hantaran lintang Kyle Walker berjaya disudahkan Dele Ali untuk memotong defisit Spurs.


Juga tertulis dalam skrip kebiasaan musim ini ialah apabila melihat isu pengadil dan City berpisah tiada. Sepanjang perlawanan pengadil Andre Marriner beberapa kali gagal membuat keputusan yang memihak kepada City. Namun dosa terbesar beliau ialah apabila tidak mengendahkan insiden Walker yang jelas lagi bersuluh menolak Raheem Sterling yang terlepas ke dalam kotak penalti. Tiada penalti dan tiada layangan kad merah.


Masakan Guardiola tidak berang dengan keputusan itu kerana sejurus selepas itu Spurs terus menyamakan kedudukan hasil jaringan Son.


Dengan kedua-dua pasukan terikat, akhirnya tibalah masanya untuk pemain yang dinanti-nanti peminat Manchester City turun beraksi. Gabriel Jesus masuk menggantikan Sterling di 10 minit terakhir perlawanan.

Dalam masa bermain yang begitu singkat Jesus menunjukkan mengapa City begitu beriya mendapatkan tandatangannya. Tak sampai 5 minit beraksi Jesus hampir-hampir melakukan bantuan gol, percubaan tepat dan juga mendapatkan gol debut. Sayang sekali gol debut Jesus dibatalkan kerana ofsaid.


Amat dikesali buat City yang terlepas peluang menyamakan kedudukan mata dengan Spurs dan Liverpool. Begitulah bagaimana City kehilangan 2 mata berharga yang dirampas dari genggaman mereka. Tipikal sungguh tipikal. 

Sabtu, 21 Januari 2017

City Catat Rekod Bayaran Pemain 13 Tahun


Manchester City meneruskan polisi mendapatkan bakat-bakat bolasepak dari seluruh dunia. Terbaru City telah melakar rekod baru dalam pembayaran mendapatkan pemain berusia 13 tahun apabila membayar £175,000 untuk membawa Finley Burns dari Southend United. Mengikut perjanjian, bayaran itu boleh meningkat ke £250,000 jika beberapa syarat dipenuhi. Walaupun baru berusia 13 tahun namun Burns sudah pun bermain untuk pasukan bawah-16 tahun Southend United.

Sebenarnya City tidak perlu pun membayar sehingga £175,000 untuk mendapatkan Burns kerana mengikut syarat Pelan Prestasi Pemain Elit (EPPP) yang mentadbir pampasan kepada akademi kelab yang kehilangan bakat kepada kelab lain, City hanya perlu membayar £34,000. Tetapi oleh kerana benar-benar mahu mendapatkan Burns maka pihak City rela membayar lebih.

Mengapa Gabriel Jesus Pilih Nombor 33?


Gabriel Jesus akhirnya sah menjadi milik Manchester City. Gara-gara peraturan bolasepak Inggeris yang tidak membenarkan pemilikan pemain oleh pihak ketiga maka urusan perpindahan Jesus sedikit tergendala.

Seperti yang sudah diketahui semenjak awal, Jesus memilih nombor jersi 33 untuk bermain bersama City sebagaimana semasa bermain di Palmeiras. Jika bersama Brazil beliau menggunakan nombor 9 iaitu nombor keramat idola beliau, Ronaldo.


Apa cerita di sebalik nombor 33 ini? Selain mencapai banyak kejayaan bersama Palmeiras ketika memakai nombor 33, nombor itu juga ada kaitannya dengan pegangan agama Jesus. Jesus yang dibesarkan dalam keluarga Kristian yang warak memegang kepercayaan yang Jesus (Nabi Isa) disalibkan semasa berumur 33 tahun.

Ini juga adalah mengapa Jesus atau nama penuhnya Gabriel Fernando de Jesus yang dahulunya menggunakan nama Gabriel Fernando sebagai nama profesional beralih kepada Gabriel Jesus.

Sebab Mengapa Van Gaal 'Berehat'


Sebelum ini dilaporkan Louis Van Gaal mengumumkan mahu bersara dari arena kejurulatihan dan pengurusan bolasepak. Van Gaal kemudian menjelaskan beliau sebenarnya mahu mengambil sabatikal tanpa tempoh selepas kematian anak menantunya baru-baru ini. Beliau mengakui yang ada menerima tawaran dari China namun mahu memberi fokus kepada keluarganya buat masa ini.

Mungkinkah Van Gaal akan kembali ke dunia bolasepak? Kita tunggukan sahaja..

Van Basten Lempar Idea Radikal Bolasepak


Penyerang legenda Belanda dan AC Milan, Marco van Basten yang kini merupakan pengarah teknikal FIFA telah menyenaraikan 5 cadangan radikal dalam peraturan bolasepak.

Ujar van Basten, "Kita mesti mencari jalan untuk memperbaiki permainan bolasepak, menjadikannya lebih tulus, lebih dinamik, lebih menarik supaya apa yang kita tawarkan mencuri minat".

1. Tiada Ofsaid


"Bolasepak kini menyerupai bola baling bila semua pemain berkumpul di kotak penalti dan membentuk tembok besar. Sangat sukar untuk menembusinya. Semua pasukan bergantung kepada taktik yang sama; membentuk pertahanan yang stabil", ulas van Basten berkenaan peraturan ofsaid.

Tambah beliau, "Ini akan menjadikan perlawanan lebih menarik, penyerang mempunyai lebih banyak peluang dan lebih banyak gol dijaringkan. Ini yang dimahukan peminat. Hoki sudah lama memansuhkan peraturan ofsaid dan tiada sebarang masalah pun".

2. Shoot-out

Seperti yang pernah digunakan Major League Soccer (MLS), van Basten mahu menggunakan shoot-out untuk menggantikan sistem penalti tradisional.


Berbanding mengambil sepakan dari dalam kotak penalti, pemain bermula 25 meter dari luar kotak penalti dan diberi 8 saat untuk menewaskan penjaga gol.

Menurut van Basten cara itu lebih menyerupai situasi permainan sebenar dan lebih adil kepada kedua-dua pemain terlibat.

3. Kad Jingga Menggantikan Kad Kuning

Van Basten melihat kad kuning tidak memberi sebarang hukuman kepada pasukan yang melakukan kesalahan. Beliau mahu memperkenalkan sistem penalti masa atau 'sin bin' seperti dalam permainan rugbi.


Hanya kapten pasukan sahaja yang boleh bercakap dengan pengadil dan pemain yang bersalah perlu meninggalkan padang selama 5 atau 10 minit.

"Barulah pasukan akan takut. Sukar untuk bermain 10 menentang 11 apatah lagi 8 atau 9 (pemain).", ujar van Basten. Cadangan ini jika direalisasikan pasti akan menyukarkan pasukan yang banyak mengumpul kad kuning seperti West Ham, Watford, Crystal Palace dan Manchester United.

4. Kesalahan Maksimum

Buat masa ini 2 layangan kad kuning atau 1 kad merah bererti pemain perlu meninggalkan padang. Tapi van Basten mahu memperkenalkan sistem kesalahan maksimum di mana setiap pemain diberi kouta 5 kesalahan dan jika kouta ini habis maka pemain itu mesti diperintah keluar padang.

5. Tambah Pertukaran Pemain

"Kami juga mahu memperkenalkan lebih daripada 3 pertukaran pemain simpanan. Bulan lepas aya berjumpa dengan Pep Guardiola dan beliau bertanya, 'Mengapa tidak boleh lakukan 6 pertukaran pemain?'", van Basten berkata berkenaan kouta pertukaran pemain simpanan.

Idea ini membolehkan lebih ramai pemain mendapat peluang bermain di samping mengurangkan beban kepada pemain yang berhadapan jadual padat sepanjang musim.

6. Tiada Lagi Buang Masa


Dalam menangani pasukan yang sering membuang masa di 10 minit terakhir perlawanan, van Basten mahu mencadangkan selepas minit ke-80 bola mesti sentiasa digerakkan dan tidak duduk diam melebihi 10 saat. Dengan cara ini 10 minit terakhir perlawanan akan menjadi lebih menarik dan tidak membosankan.

Jumaat, 20 Januari 2017

Txiki Ke Valencia Bincang 3 Pemain Muda

Txiki Begiristain dilihat berada di Valencia untuk memulakan perbincangan berkenaan perpindahan beberapa pemain muda kelab tersebut. Dilaporkan Manchester City berminat untuk memperkasakan posisi pertahanan sisi dan bahagian tengah. 3 nama dibincangkan ialah Jose Luis Gaya (21), Joao Cancelo (22) dan Carlos Soler (20).



2 Kelab Manchester Panjat Tangga Pendapatan

Menurut laporan kewangan terbaru oleh Deilotte, Manchester United kini menduduki tangga teratas dalam senarai perolehan pendapatan musim 2015/16. United mengumpul €689 juta untuk naik dari tangga ketiga merampas tempat pertama daripada Real Madrid. Manchester City pula naik satu tangga dari tempat keenam ke tempat kelima selepas memperoleh €524.9 juta. Secara keseluruhan pencapaian kelab Inggeris musim 2015/16 adalah lebih baik dengan West Ham dan Leicester City menyertai United, City, Arsenal, Chelsea, Liverpool dan Tottenham Hotspur dalam senarai 20 teratas.
 

Rabu, 18 Januari 2017

Josep "Pep" Guardiola Sala - Dari Budak Bola Kepada Juara

Selamat hari lahir kepada Pep Guardiola! Di hari istimewa ini dikongsikan siri gambar istimewa perjalanan karier Guardiola.
Teka di mana Guardiola?

City Sedia Penuhi Klausa Pelepasan N'zonzi

Manchester City dan Juventus dikhabarkan sanggup memenuhi syarat pelepasan untuk mendapatkan pemain tengah Sevilla, Steven N'zonzi dalam jendela perpindahan Januari ini. Bekas pemain Stoke City itu mempunyai klausa pelepasan bernilai €30 juta. Namun begitu N'zonzi dilaporkan sangat gembira dengan prestasi Sevilla di saat ini dan tidak berminat untuk berpindah.

City Mahu Dapatkan Jan Oblak

Nama Jan Oblak yang bermain bersama kelab Sepanyol, Atletico Madrid adalah nama terbaru dalam senarai calon penjaga gol yang dikaitkan dengan Manchester City dalam usaha mereka menyelesaikan masalah di bahagian gawang mereka. Namun begitu City hanya bercadang untuk membuat sebarang bidaan selepas tamat musim. Oblak baru-baru ini diumumkan sebagai penjaga gol keenam terbaik dunia oleh IFHHS di belakang Claudio Bravo yang menduduki tangga keempat.

Jersi Konsep Juventus Bersama Lencana Baharu



Lencana baharu Juventus mencetuskan pembahagian pendapat di kalangan peminat. Tapi cuba tengok rekaan konsep jersi Juventus di bawah. Terbaik.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.