Manchester City telah didakwa oleh pihak FA Inggeris bahawa mereka telah membuat kesalahan di bawah peraturan anti-doping. Pihak City diberikan peluang sehingga 19 Januari 2017 untuk memberikan respon mereka terhadap dakwaan tersebut.
Sekali baca seperti Manchester City sudah membuat dosa besar dalam dunia persukanan. Adakah City telah menyalahgunakan bahan terlarang? Sehinggakan timbul khabar angin yang City bakal ditolak mata kerana kesalahan tersebut.
Sebenarnya tiada sebarang penyalahgunaan bahan terlarang berlaku dalam kes ini. Pihak City hanya melakukan salah laku melanggar regulasi 14(d) dalam peraturan anti-doping.
Apakah regulasi 14(d)?
Regulasi no. 14 di dalam peraturan anti-doping secara khususnya meliputi hal pembekalan maklumat terhadap permintaan pihak FA berkenaan lokasi semasa mana-mana pemain kelab.
Apabila pihak kelab menerima permintaan daripada pihak FA mereka mesti membekalkan maklumat-maklumat berikut:
- Tarikh latihan.
- Masa bermula dan berakhirnya latihan.
- Alamat latihan dijalankan.
- Alamat rumah pemain atau mana-mana alamat pemain tinggal semalaman.
Bahagian (d) menyatakan ianya adalah melanggar regulasi jika didapati pihak kelab gagal memberikan maklumat yang tepat atau gagal mengemaskini maklumat untuk memastikan ia tepat.
Pihak FA hanya memberi mana-mana kelab 3 kali peluang melanggar regulasi ini dan memandangkan ini adalah kesalahan ketiga City dalam tempoh 12 bulan maka pendakwaan pun terpaksa dilakukan. Jika City didapati bersalah maka berkemungkinan besar hukuman yang bakal diberikan ialah sekadar denda sahaja.