Selepas menjaringkan 85 gol bersama Vlf Wolfsburg, Dzeko berpindah ke Manchester City di dalam jendela perpindahan Januari 2011 dengan nilai pembelian £25.9 juta. 4 tahun setengah bersama Manchester City, Dzeko menjaringkan 72 gol dalam 189 penampilan. Daripada 72 gol itu, 50 gol dijaringkan dalam EPL. Satu nisbah yang boleh dikira hebat buat seorang penyerang.
Persembahan terbaik Dzeko boleh disaksikan ketika aksi menentang Spurs di White Hart Lane pada musim 2011/12. Dzeko menjaringkan 4 gol dalam perlawanan itu membuktikan ketajaman deria gol beliau.
Namun gol terpenting yang pernah dijaringkan beliau mungkin ialah gol penyamaan dalam perlawanan keramat menentang QPR di penghujung musim. Gol di masa kecederaan beliau itu menyemarakkan semula semangat Manchester City untuk mencari gol kemenangan dan menjulang piala kejuaraan EPL.
Mungkin antara faktor perpindahan Dzeko adalah kerana beliau tidak dipandang sebagai penyerang utama pasukan. Berada di senarai ketiga di belakang Aguero dan Tevez (2011/12 dan 2012/13), beliau kemudian terus di senarai ketiga di belakang Aguero dan Negredo pada musim 2013/14 sehingga mendapat gelaran "super-sub" kerana sering menjaringkan gol sebagai pemain gantian. Namun Dzeko tidak menyukai gelaran itu kerana merasakan selayaknya pemain seperti beliau bermain dalam kesebelasan utama.
Dzeko membuktikan kualiti beliau pada separuh kedua musim 2013/14 semasa prestasi Negredo merudum dan ketandusan gol dengan menjaringkan banyak gol yang membawa kemenangan demi kemenangan untuk Manchester City menjulang gelaran juara EPL buat kali kedua dalam 3 musim. Musim itu beliau menjaringkan 26 gol dalam semua pertandingan, prestasi terbaik beliau bersama City. Ini termasuk jaringan gol ke-100 Manchester City dalam semua pertandingan ketika menang 4-2 ke atas Norwich City menjadikan City pasukan Inggeris terpantas mencapai 100 gol dalam satu musim di era EPL.
"Saya sangat gembira kerana sayalah orang yang menjaringkan gol ke-100. Ini semestinya satu pencapaian yang hebat tetapi kami mahu memenangi sesuatu. Sesuatu yang lebih bagus daripada 100 gol ini." - Edin Dzeko.
Sumber: #Champions: The Sequel |
Malah pengurus lawan juga turut memuji kualiti yang dimiliki Dzeko:
"Dia adalah daripada jenis pemain yang bukan sahaja menjaringkan gol. Dia membantu, bermain baik, berkelakuan baik, bersemangat sukan, tidak menjatuhkan diri, tidak cuba membuat pihak lawan mendapat kad. Dia adalah penyerang pilihan ketiga di awal musim. Dia tersorok di belakang pilihan utama pengurus dan apabila pasukan memerlukan dia di saat genting musim, saya rasa dia membawa perbezaan." - Jose Mourinho.
Sumber: #Champions: The Sequel |
Sayang sekali prestasi musim 2013/14 itu tidak berlarutan ke musim 2014/15 yang melihat hanya 6 gol yang berjaya dijaringkan Dzeko dalam semua pertandingan. Ramai peminat mengkritik persembahan Dzeko yang dikatakan pemalas tetapi saya mempunyai pandangan berbeza. Dzeko dilihat kurang menyengat kerana corak permainan City musim itu yang diolah untuk mengikut rentak penyerang seperti Aguero tidak mengeksploitasi kelebihan yang ada pada Dzeko. Tidak seperti Aguero yang suka mencipta ruang dan peluang sendiri, Dzeko merupakan seorang pemain dari acuan penyerang klasik. Seorang penyudah prolifik, Dzeko memerlukan umpanan dari rakan sepasukan yang lain. Pemain seperti beliau tidak menyimpan bola begitu lama dan hanya membuat sentuhan minima sebelum membuat percubaan gol.