Dalam tempoh seminggu peminat Manchester City telah dapat menonton persembahan terbaik mereka musim ini dan juga persembahan terburuk mereka musim ini. Persembahan 5 bintang di London diganti dengan keputusan memalukan dibelasah Everton 4-0 di Goodison Park.
Manchester City sebenarnya bermula dengan baik sekali mengawal posesi dan mendominasi padang. Namun beberapa peluang yang tercipta gagal disempurnakan oleh Raheem Sterling dan David Silva.
Ronald Koeman menunggu City bersama rancangan mengawal bahagian sentral. Menggunakan formasi 3-5-2, bahagian sayap pertahanan Everton terdedah dengan larian oleh Kevin De Bruyne dan Gael Clichy namun tanpa penyerang sasaran dan ancaman udara di dalam kotak penalti gerakan City menjadi tidak begitu efektif. Everton lebih memberi fokus mempertahankan bahagian sentral bermain dengan formasi padat untuk menghalang City membuat gerakan penetrasi dari situ.
Dalam usaha City menembusi formasi Everton dengan Kevin De Bruyne, Raheem Sterling, David Silva dan Sergio Aguero mengasak di bahagian depan, bahagian belakang City terdedah kepada serangan balas pihak lawan. Nicolas Otamendi sekali lagi bergelut apabila bersaing dengan penyerang fizikal seperti Romelu Lukaku. Manakala kesan usia dapat dilihat pada Yaya Toure dan Pablo Zabaleta yang sukar mengejar dan menutup ruang pemain lawan.
Apabila pemain di hadapan terpisah terlalu jauh dengan jentera tengah dan pertahanan maka apa yang terjadi ialah City terpaksa bertahan dengan formasi yang terlalu longgar, dalam kes ini 6 orang di mana 4 daripadanya berusia lebih 30 tahun. Bezakan sahaja peta haba pemain hadapan City dalam perlawanan West Ham dan Everton.
vs West Ham (kiri) dan vs Everton (kanan) |
Terlalu banyak ruang terdedah yang boleh dimanipulasi pemain Everton yang memiliki stamina serta kepantasan tenaga muda Kevin Mirallas, Ross Barkley dan Tom Davies untuk mara ke gawang Claudio Bravo yang sekali lagi gagal mempamerkan aksi meyakinkan.