Isnin, 2 Januari 2017

Zon Analisis - City Lesu Di Liverpool

Badi Manchester City di Anfield gagal dihapuskan apabila tewas tipis 1-0 kepada Liverpool sekali gus memanjangkan kemarau menang di Anfield kepada 14 tahun. Liverpool kini sudah mencatatkan 4 kemenangan liga berturut-turut ke atas City buat kali pertama semenjak 1981. Bahkan City terpaksa memulakan tahun 2017 dengan menduduki tangga kelima Liga Perdana Inggeris.


Penonton neutral mungkin agak kecewa dengan pertembungan di antara dua pasukan yang mencatatkan jaringan gol tertinggi liga sebelum perlawanan. Statistik perlawanan hanya melihat 3 percubaan tepat dihasilkan sepanjang perlawanan (Liverpool 1, City 2).

Namun ianya tidak mengejutkan apabila dilihat dari sudut yang kedua-dua pasukan mengamalkan gaya bermain menekan tinggi. Perebutan berlaku dengan begitu pesat dan permainan bola lebih banyak tertumpu di bahagian tengah padang. Ini boleh dilihat daripada pola peta haba perlawanan di mana kotak penalti lawan masing-masing begitu sejuk sekali.


Pertarungan gegenpressing vs possession-pressing ini juga menyaksikan banyak bentesan dilakukan di tengah padang dan sayap dengan pemain tengah mendominasi senarai pembuat bentesan.



Liverpool menumpukan serangan mereka di bahagian sayap kiri menyerang Pablo Zabaleta yang baru kembali dari kecederaan. Ternyata gol tunggal perlawanan datang dari hantaran lintang Adam Lallana di bahagian itu yang diakhiri Georginio Wijnaldum dengan tandukan padu. City perlu segera menyelesaikan masalah mereka di bahagian pertahanan terutama sekali di bahagian kiri dan kanan di mana 4 pemain bek tepi veteran City kelihatan sukar berdepan dengan lawan yang pantas.


Pertarungan sengit di bahagian tengah ini telah mengasingkan Sergio Aguero di bahagian serangan City. Sepanjang perlawanan beliau hanya menyentuh bola sebanyak 32 kali, lebih sekali sahaja berbanding penjaga gol Claudio Bravo. Mungkin City lebih berkesan jika bermain dengan 6 orang pemain tengah seperti Liverpool menggunakan Roberto Firmino.

Secara ringkasnya, pertembungan 2 gaya menekan tinggi kedua-dua pasukan telah meneutralkan kuasa serangan masing-masing dan hasilnya ialah perlawanan yang banyak tertumpu di bahagian tengah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.