Ahad, 28 September 2014

Laporan Kaki Bangku: BPL 2014/15 Hull City (2) - Manchester City (4)

Pepatah moden ada mengatakan, "Masuk kandang kambing kita mengembek, masuk kandang harimau kita skor 4 biji". Semalam City berjaya menjinakkan harimau Hull City di laman mereka sendiri dengan jaringan 2 gol berbalas 4. Jangan terpedaya dengan 4 gol yang dijaringkan City kerana bukan mudah menjinakkan Sang Harimau ini. Bermula cemerlang mendahului 0-2, City tersentak apabila Hull mengejar kembali kedudukan sebelum City memperkemaskan langkah mereka untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan 2-4.


Kesebelasan utama pilihan Pellegrini tidak jauh berbeza dengan jangkaan prebiu. Yang berbeza adalah Caballero turun menjaga gawang dan Clichy di bek kiri berbanding Hart dan Kolarov. City turun dengan kekuatan penuh meletak 2 penyerang (Aguero dan Dzeko) dalam formasi 4-4-2 dan penyerang muda Pozo diletakkan di bangku simpanan. Jelas Pellegrini mahu mengejar 3 mata dan mengekalkan tekanan kepada pendahulu liga; Chelsea.

Bermula wisel pembuka Manchester City terus mengasak kawasan gol Hull. Percubaan awal Aguero menyaksikan rembatan beliau ke tiang dekat Hull berjaya ditepis McGregor. Tidak lama selepas itu City membuka jaringan melalui Aguero di minit ke-7 untuk gol ke-10 beliau daripada 12 perlawanan di tempat lawan. Pasukan Hull gagal mengeluarkan bola dari kawasan gol mereka hasil gerakan City yang mengasak dari kanan dan bola akhirnya melambung ke arah Aguero. Aguero secara nalurinya berputar melakukan volley deras menerjah gawang Hull dengan McGregor hanya mampu terpaku.

Naluri penyudah
City terus menguasai rentak perlawanan dan bermain jauh ke dalam kawasan Hull. Hull yang cuba bertahan daripada dibolosi lagi telah gagal apabila di minit ke-11 rembatan Dzeko pula yang menerjah gawang McGregor. Aguero mengawal bola dari bahagian tengah membawa bola kepada Silva yang menghantar kepada Dzeko di bucu kotak penalti. Selepas mendapat sedikit ruang Dzeko terus meledakkan rembatan yang tidak dapat diselamatkan McGregor.

Ini bukan foto gol - sekadar gambar hiasan
Selesa dengan kelebihan 2 gol City mula memperlahankan tempo namun masih menguasai permainan. Mungkin kerana terleka dan hilang fokus pemain City mula melakukan beberapa kesilapan dalam membuat hantaran dan juga melepaskan posesi bola. City terhukum di minit ke-21 apabila Rosenior yang berjaya melepaskan diri daripada Clichy mara ke bahagian kiri kawasan gol City. Beliau membuat satu hantaran lintang ke kotak penalti. Mangala cuba menanduk keluar bola itu tetapi sebaliknya bola masuk ke dalam gol City. Mangala berjaya menjaringkan gol pertama beliau bersama City cuma malangnya ia adalah gol sendiri.

Mangala meraikan gol pertama beliau
Tersentak dengan gol itu, City cuba mendapatkan kembali jurang 2 gol dan mereka hampir berjaya melalui Aguero yang berjaya melepaskan diri ke dalam kotak penalti Hull tapi malang sekali percubaan beliau tersasar sedikit. Pasukan Hull pula mula menjumpai rentak dan melakukan beberapa gerakan merbahaya dari sayap kanan mereka. City yang masih terkejut terus melakukan kesilapan-kesilapan mudah yang akhirnya memakan diri apabila Hull dihadiahkan penalti pada minit ke-32 selepas Mangala membuat kekasaran. Penalti diambil oleh Hernandez yang mudah menewaskan Caballero.


Sang Harimau mula menunjukkan belang. Tampak yakin dengan gol penyamaan, mereka cuba menekan pasukan City yang seperti hilang fokus. Mereka hampir berjaya apabila Abel Hernandez yang mendapat bola lintang yang cantik membuat tandukan ke arah gol namun tandukannya tepat kepada Caballero. Separuh masa pertama: 2-2.

City kembali fokus di separuh masa kedua. Mereka mengatur semula langkah dan menguasai sebahagian besar posesi bola. City mengasak mencari gol ketiga dan Toure hampir berjaya di minit ke-50. Toure mendapat hantaran di bahagian tengah dan membuat rembatan deras menewaskan McGregor. Malangnya rembatan itu terkena tiang gol dan keluar. Gerakan demi gerakan dicipta City namun gagal mencari gol. Kadang-kala City dilihat terlalu kompleks dalam melancarkan gerakan dan mensia-siakan peluang melakukan percubaan gol.

Pellgerini membawa masuk Navas menggantikan Fernandinho untuk membawa fokus serangan di bahagian sayap kanan. Strategi beliau berhasil di minit ke-68. City memulakan serangan dari sayap kanan dan pertahanan Hull yang tertumpu di situ meninggalkan ruang kosong di sebelah kiri. Silva yang mendapat bola membuat hantaran kepada Dzeko yang menunggu di bahagian kiri dan menendang masuk menewaskan McGregor untuk gol ketiga City dan gol kedua peribadi beliau hari itu.

Golek.. Golek.. Gol
Pellegrini menukar formasi City dalam usaha mempertahankan kedudukan mereka dengan mula-mula membawa masuk Lampard menggantikan Aguero dan kemudiannya Demichelis menggantikan Silva. City kini bermain 4-5-1 dengan Toure bermain di belakang Dzeko. Dalam pada itu Hull juga memperoleh beberapa peluang gol. Peluang terbaik mereka tiba kepada Gaston Ramirez yang mendapat hantaran daripada Brady dari sayap kiri tetapi tendangannya diselamatkan Caballero. City mengakhirkan perjuangan Hull di minit ke-87 dengan mendapatkan gol ke-4 mereka. Toure berjaya melepaskan Zabaleta yang membuat overlap di sayap kanan dan Zabaleta mara membawa bola ke dalam kotak penalti sebelum menghantar bola ke tengah yang disudahkan Lampard untuk gol ke-4 beliau daripada 3 perlawanan. Kedudukan jaringan kekal ke wisel penamat.

Di mana ada Lampard di situ ada gol
Dengan kemenangan ini City mengekalkan jurang 5 mata di belakang Chelsea dan juga mengekalkan momentum kemenangan sebelum bertemu AS Roma di dalam Liga Juara-Juara.

Fakta menarik perlawanan:
1. Ini adalah kemunculan ke-250 buat Vincent Kompany sebagai pemain Manchester City.
2. David Silva sudah mencapai 40 bantuan gol sebagai pemain City. Kedua tertinggi selepas beliau hanya merekod 24 bantuan gol.
3. Peratusan hantaran berjaya oleh Silva di separuh masa pertama ialah 100% (41 daripada 41).
4. 30 daripada 47 (64%) gol BPL Dzeko adalah di tempat lawan.

Superbia in proelio - Blog Bulan Biru

Rujukan: Tengok Astro live la bro.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Bulan Biru ManCity - Kolumnis Laman Web Rasmi Manchester City Bahasa Melayu. Dikuasakan oleh Blogger.